Kabinet telah meluluskan pengajaran dan pembelajaran (P & P) Matematik dan
Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dilaksanakan dalam Bahasa
Melayu berkuatkuasa pada 2012.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaannya bermula berperingkat mulai
2012 bagi Tahun Satu dan Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan
Empat.
Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan
Tamil, pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu akan dilaksanakan
dalam bahasa ibunda masing-masing.
Berikutan dengan pemansuhan PPSMI tersebut, Menteri Pelajaran, berkata penguasaan bahasa Inggeris akan terus dipertingkatkan dengan menambah baik p & p subjek berkenaan.
Menjelas lebih lanjut, beliau berkata pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi
Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.
Katanya lagi bagi memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.
Keputusan tersebut diambil setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.
Berdasarkan hasil pemantauan kementerian tersebut pada tahun 2008, telah mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam P & P Sains dan Matematik.
Malah, Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menunjukkan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007 dan subjek matematik pula, menunjukkan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.
Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003.