- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PLKEM Jamin Tiada Golongan Terpinggir Dapatkan Akses Kemahiran

Must read

Tidak akan wujud golongan yang terpinggir daripada menikmati akses pendidikan tersebut, biar golongan minoriti sekalipun.

Malah, langkah untuk memberi latihan kemahiran  kepada sumber manusia lepasan sekolah etnik minoriti yang berpendapatan rendah disifatkan merupakan usaha yang paling berkesan untuk mewujudkan masyarakat minoriti yang berdikari.

Demikian jelas,  YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) ketika merasmikan Program Latihan Kemahiran Etnik Minoriti (PLKEM) di Sarawak bagi ambilan Kumpulan 1 di Pusat Latihan Pembangunan Belia  (PLPB) di Kuching baru-baru ini.

Beliau yang juga  Pengerusi Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah Negeri Sarawak berkata PLKEM sebagai contoh adalah sebahagian daripada usaha kerajaan  mengenalpasti dan membantu golongan minoriti ini.

Tambah beliau lagi, lepasan sekolah termasuk golongan etnik minoriti kita yang tinggal jauh di pedalaman perlu didedahkan dengan peluang-peluang latihan, pendidikan, pembangunan dan kerjaya kerana mereka merupakan aset sumber manusia pada masa depan.

Golongan etnik minoriti di Sarawak (mengikut statistik etnik yang rendah di Sarawak) merangkumi kaum Penan, Tagai, Bukitan, Bisaya, Lun Bawang, Kenyah, Kedayan, Punan, Bidayuh,Melanau, dan lain-lain kumpulan minoriti yang termiskin.

PLKEM menurutnya adalah satu program khas yang dibiayai oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan bagi membolehkan kumpulan etnik minoriti yang berpendapatan rendah mengikuti kursus-kursus latihan kemahiran yang diperlukan.

Ia diharap mampu meningkatkan lagi keupayaan dalam mendapat peluang pekerjaan dan menjana pendapatan mereka.

Jelasnya lagi, latihan yang dihadiri adalah di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2,  enam (6) bulan bagi setiap Tahap Kemahiran yang berkenaan mulai Julai 2009 ini.

Beliau  berkata, PLKEM dibiayai melalui Peruntukan Khas Penyusunan Semula Masyarakat, yang disediakan di bawah  Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9).

Pembiayaan yang diberi adalah dikira sebagai bantuan kewangan untuk setiap pelatih dari kalangan etnik minoriti di Sarawak. Kadar bantuan maksimum bagi mengikuti kursus-kursus latihan kemahiran adalah bergantung kepada kos kursus serta tempoh kursus seperti yang dipersetujui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Mengenai bantuan yang disediakan, jelasnya lagi terdapat juga bantuan kewangan termasuklah yuran latihan, makan dan minum, pengangkutan pergi balik, tempat tinggal, pakaian latihan, insurans, elaun sara diri dan peralatan yang diperlukan semasa latihan.

Jelasnya lagi, kini juga sudah mempunyai laluan tersendiri bagi mencapai tahap yang sama taraf dengan diploma dan ijazah. Selepas SKM Tahap 1 dan Tahap 2 ini, pelatih yang berjaya mampu meneruskan pengajian ke Tahap 3 dan Tahap 4 yang sama peringkat dengan diploma. Tahap 5 hingqa ke Tahap 8 pula bersamaan dengan peringkat ijazah.

Seramai 600 orang pelatih dari Sarawak bakal dilatih oleh PLPB (300 orang pelatih) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) (300  orang pelatih) melalui PLKEM pada tahun ini.

Tahun lepas (2008), seramai 111 orang pelatih bagi ambilan pertama (54 orang pelatih) dan ambilan kedua (57 orang pelatih) sedang menjalani latihan di Koiej Yayasan Sabah (KYS) dan Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS) dalam pelbagai jurusan latihan kemahiran dan teknik.

Pada tahun ini, bagi ambilan pertama di Sarawak Sesi Julai 2009 ini, 300 orang pelatih etnik minoriti adalah di PLPB, dan 90 lagi adalah di PPKS di Miri. Antara jurusan atau bidang kemahiran yang ditawarkan di PLPB, PPKS, KYS, ITYNS ialah: Kimpalan, Kerja Paip, Binaan, Perabot, Menjahit Pakaian, Elektronik, Instrumen, Perladangan, Pentadbiran, Pejabat, IT dan Otomotif.

Pelbagai usaha, menyebarkan maklumat mengenai program ini telah dilaksanakan antaranya, beberapa siri promosi telah diadakan oleh Urusetia PLKEM di Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri sempena pesta  bagi kumpulan etnik minoriti dan juga majlis-majlis keramaian di  beberapa daerah.

Info :

  • Kerajaan Negeri Sarawak menyedari bahawa terdapat pelajar lepasan sekolah yang  terkeluar daripada sistem pendidikan formal awam setiap tahun.
  • Pada tahun 2008, seramai kira¬-kira 34,014 pelajar di Sarawak telah tamat SPM dan kira-kira seramai 9,000 pelajar lepasan STPM. Daripada bilangan pelajar SPM tersebut, hanya 60 peratus sahaja yang mampu meneruskan semula ke alam pendidikan formal awam iaitu ke Tingkatan 6, matrikulasi atau ke peringkat diploma dan Sijil di IPT Awam.
  • Memandang tempat yang terhad dan syarat pengambiian yang kompetitif, kira-kira 40 peratus pelajar lepasan SPM dan STPM akan terkeluar daripada sistem formal pendidikan pra universiti dan kemasukan ke universiti awam.

Info:

  • Jawatankuasa Pemantauan Program Latihan Kemahiran untuk Etnik Minoriti dipengerusikan oleh Unit Perancangan Negeri (SPU) Negeri Sarawak.
  • Sekretariat Tetap, Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah terletak di Unit Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article