- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Konvensyen Industri Sukan Malaysia (KISMAS 09)

Must read

Konvensyen Industri Sukan Malaysia (KISMAS 09) – 7 Ogos 2009
 

Di Malaysia terdapat pelbagai pihak, syarikat dan organisasi yang terlibat di dalam industri sukan. Namun begitu, sehingga kini negara tidak mempunyai sebarang data mengenainya secara khusus. Ketiadaan direktori ini telah menyebabkan kita mengalami kesukaran untuk mendapatkan maklumat dan mengumpulkan pihak-pihak terbabit yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam Industri ini di bawah satu bumbung.

 

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) melalui Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) menganjurkan Konvensyen Industri Sukan Malaysia 2009 (KISMAS 09) pada 7hb dan 8hb Ogos 2009. Konvensyen ini diadakan di Berjaya Times Square Convention Centre, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

 

Penganjuran konvensyen ini adalah permulaan untuk era baru pembangunan sukan Negara. Minat dalam sukan akan sentiasa bercambah walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan industri sukan masih mampu berkembang. Unjuran industri sukan di Asia Pasifik dikatakan akan berkembang sebanyak 6.5 peratus tahun hadapan yang merupakan satu pertanda positif untuk industri ini.

 

 

Pada konvensyen yang diadakan buat kali pertama ini kira-kira 500 peserta telah dijemput yang merangkumi pemimpin, pentadbir, pengurus dan pegawai dari persatuan-persatuan sukan, syarikat-syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pengeluar, pembekal, bank, insuran dan guaman serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai konvensyen ini.

 

Para jemputan juga dari kalangan wakil semua kementerian berkaitan, agensi kerajaan, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Exco Majlis Belia Malaysia, Exco Sukan Negeri, blogger, editor sukan dari media cetak dan media elektronik.

 

Objektif utama penganjuran konvensyen ini ialah untuk menjana pembangunan sukan sebagai suatu industri di Malaysia dengan lebih professional, teratur, berkualiti, kompeten dan menguntungkan bagi semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung. Selain itu, ia juga diharap dapat menggalakkan rakyat terlibat secara aktif di dalam sukan dan rekreasi agar faedahnya dapat dirasai seluruh negara sekaligus membentuk “1 BELIA 1 MALAYSIA”.

 

Konvensyen Industri Sukan yang pertama ini telah berjaya menarik penajaan dari beberapa syarikat yang terlibat langsung dalam industri sukan di negara ini iaitu antara lain F&N Coca Cola (M) Sdn. Bhd., WRL Advertising, Koop Smart Partnership, Nestle Products Sdn. Bhd, Bata Marketing, Universal Fitness & Leisure dan syarikat pembekal suplimen makanan kesihatan Horleys.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article