- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

JKJR Sarawak Mantapkan Program Untuk tahun 2009

Must read

Capai Sasaran  Yang Telah digaris dalam PKJR

(Bahagian 2)

(Bahagian 1)

Di peringkat negeri pula, JKJR Sarawak telah berjaya mencapai kejayaan yang amat membanggakan. Antara kejayaannya ialah

  • Pelaksanaan modul RSE (Road Safety Education) untuk diajar selama 30 minit seminggu di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 di semua sekolah kebangsaan di Negeri Sarawak. Pelaksanaan modul ini melibatkan lebih 2,000 guru dan lebih 54,000 pelajar.
  • Pelaksanaan modul rintis RSE untuk Tahun 2 dan Tahun 4 di semua 68 buah sekolah kebangsaan di Bahagian Miri.
  • Pelaksanaan modul Keselamatan Jalan Raya (KJR) kepada 2,400 wirawan dan wirawati Pusat Latihan Khidmat Negara di 8 buah kem di seluruh Sarawak.
  • Advokasi pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk bahagian belakang kenderaan di seluruh Sarawak.      

Walaupun telah mencapai pelbagai kejayaan, JKJR Sarawak akan terus memantapkan programnya untuk mencapai sasaran yang telah digariskan di dalam PKJR. Sehubungan itu, beberapa program telah dilaksanakan dalam tahun 2009. Program-program yang dimaksudkan ialah

  • Pelaksanaan modul RSE (Road Safety Education) untuk diajar selama 30 minit seminggu di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 2 dan 4 di semua sekolah kebangsaan di Sarawak.
  • Pelaksanaan modul rintis RSE untuk Tahun 3, Tahun 5 dan Tingkatan 1 di 68 buah sekolah di Bahagian Miri.
  • Pelaksanaan modul KJR kepada 7,200 wirawan dan wirawati Pusat Latihan Khidmat Negara di 8 buah kem di seluruh Sarawak.
  • Advokasi pemakaian topi keledar di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak.      
  • Pengumpulan maklumat 'blackspot area' atau kawasan kerap kemalangan di seluruh Sarawak untuk tujuan kajian jangka panjang.


Melalui semua usaha yang telah dirancangkan dan dalam pelaksanaan, JKJR berharap impian untuk meletakkan kedudukan Malaysia agar sebaris dengan negara-negara maju yang mempunyai tahap keselamatan jalan raya yang tinggi akan tercapai tidak lama lagi.

Namun, JKJR amat menuntut kerjasama daripada semua pihak, khususnya para pengguna jalan raya di negara ini dalam usaha menjadikan impian itu suatu realiti.

Apabila tercapai, kita bukan sahaja akan berasa lebih selamat dan tenteram ketika berada di atas jalan raya, tetapi juga dapat mengelakkan kehilangan nilai ekonomi yang dipunyai oleh setiap pengguna jalan raya.


INFO

Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010

Mengandungi sembilan strategi yang melibatkan 52 program bagi mencapai tiga sasaran utama menjelang tahun 2010 iaitu, dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar berbanding dengan 4.2 kematian bagi tahun 2005; 10 kematian bagi setiap 100,000 populasi penduduk berbanding dengan 23.5 kematian bagi tahun lalu dan 10 kematian bagi setiap satu bilion vehicles kilometer travel (VKT) berbanding 18 kematian bagi tahun yang sama.

Sembilan strategi yang ditetapkan ialah:-

1.    Penambahan dan pengekalan pendidikan serta langkah-langkah psikologi dalam menangani isu keselamatan jalan raya.

2.    Mengurangkan kecuaian manusia dengan menggabung dan mengguna pakai kepakaran teknologi.

3.    Mempertingkat dan meneruskan program-program kejuruteraan.

4.    Mempertingkatkan pelaksanaan program keselamatan jalan raya melalui komuniti dengan melibatkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, golongan pendidik, badan-badan profesional, badan-badan sukarelawan dan kumpulan-kumpulan belia.

5.    Menggalakkan penggunaan kenderaan awam.

6.    Fokus kepada perbezaan jurang keselamatan jalan raya (selain daripada yang dinyatakan) dengan matlamat untuk mencapai faedah kos yang optimum dalam pengagihan sumber.

7.    Menumpu perhatian kepada pengguna jalan raya yang kerap terbabit dengan kemalangan iaitu penunggang dan pembonceng motosikal, pemandu dan penumpang kenderaan dan pejalan kaki.

8.    Mengkaji semula dan mempertingkatkan peraturan-peraturan keselamatan jalan raya.

9.    Mempromosi perkongsian dana di antara orang awam dan pihak swasta bagi menjalankan program keselamatan jalan raya.


JKJR

  • Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) ditubuhkan pada 2004 melalui Waran Perjawatan Bil. K 78 bertarikh 15 September 2004 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
  • Kali terakhir penyusunan semula JKJR telah diadakan pada Mei 2006 melalui Waran Perjawatan Bil. K 37 bertarikh 11 Mei 2006. Melalui waran itu, JPA telah meluluskan penubuhan JKJR Negeri dengan sebanyak 98 jawatan dan 1 jawatan Penolong Pegawai Perangkaan di Ibu Pejabat JKJR.  
  • Pada 16 Februari 2007, Waran Perjawatan untuk 14 jawatan pemandu di JKJR Negeri telah diluluskan. Jumlah perjawatan sedia ada di ibu pejabat JKJR pada masa sekarang adalah sebanyak 32 dan 112 lagi adalah di JKJR Negeri.
  • YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Ak. Numpang merupakan Pengerusi MKJR Negeri. Sementara itu, Encik Rano Alwino Akat adalah Pengarah JKJR Sarawak.  


Visi JKJR

“Kematian Sifar Akibat Kemalangan Jalan Raya”.


Misi JKJR

Menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalan raya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu:-

•    10 kematian setiap 100,000 penduduk

•    2 kematian setiap 10,000 kenderaan yang berdaftar

•    10 kematian setiap satu billion kilometer perjalanan kenderaan


Objektif JKJR

Menjadi "One Stop Agency" bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalan raya daripada aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran atau singkatannya 4E (Education, Enforcement, Engineering and Environment).


JKJR akan berusaha untuk mengurangkan kadar kematian, cedera parah dan cedera ringan akibat kemalangan jalan raya di Malaysia melalui:

1.     Perancangan dan pelaksanaan dasar Malaysia Zero Fatality Vision;

2.  Memberikan khidmat nasihat, perundingan dan menjalankan program-program advokasi kemasyarakatan mengenai faktor keselamatan jalan raya dengan fokus utama kepada tiga golongan pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada risiko kemalangan iaitu:

•      penunggang/pembonceng motosikal;

•      pemandu kereta;  dan

•      pejalan kaki.

3.     Menjawab aduan yang diterima dalam tempoh 2 minggu;

4.     Melaksana dan memantau program di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 – 2010 dengan matlamat mengurangkan kadar kematian kepada

•    10 kematian setiap 100,000 penduduk;

•    2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar;  dan

•    10 kematian setiap satu billion kilometer jarak perjalanan kenderaan.

5.     Menangani isu–isu semasa mengenai keselamatan jalan raya berdasarkan Key Performance Index (KPI) jabatan sebagai alat pengukur prestasi;

6.     Sebagai agensi utama bagi mendidik pengguna-pengguna jalan raya dan menyemai budaya bersopan di kalangan pengguna-pengguna bagi mencapai perubahan sikap dan amalan;

7.     Mempromosikan penggunaan sistem pengangkutan awam;

8.     Mendorong penyertaan sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam agenda keselamatan jalan raya melalui penyertaan mereka dalam aktiviti Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Malaysian Global Road Safety Partnership (MGRSP); dan

9.     Memberikan perkhidmatan dengan jujur, amanah dan efisyen kepada para pengguna jalan raya.


Maklumat lebih lanjut sila layari laman sesawang berikut ;

•    www.panducermat.org.my

•    www.jkjr.gov.my

•    www.miros.gov.my

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article