- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sasaran Tahun 2010, Keselamatan Jalan Raya

Must read

Malaysia Setaraf Negara Maju
(Bahagian 1)

Sedarkah anda bahawa setiap kemalangan maut yang berlaku akan mendatangkan kerugian yang amat besar? Kerugian itu bukan sahaja kepada keluarga mangsa, bahkan kepada kerajaan dan negara keseluruhannya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sarawak, Encik Rano Alwino Akat memberitahu RAKAN Sarawak bahawa bagi setiap kemalangan yang dilaporkan, secara umumnya, akan memberi implikasi yang amat besar ke atas ekonomi negara.

Menurutnya, bagi setiap kematian yang dilaporkan, ekonomi negara sebenarnya telah kerugian sebanyak kira-kira RM1.2 juta. Nilai itu adalah berdasarkan kepada angka yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan digunapakai oleh kerajaan kita. Bagi kecederaan parah, nilai kerugian adalah RM120 ribu, manakala sejumlah RM12 ribu pula adalah nilai kerugian bagi kecederaan ringan.

Nilai yang amat tinggi itu sebenarnya melibatkan perkiraan secara menyeluruh terhadap tuntutan dan perbelanjaan kes di mahkamah, pembayaran tuntutan insuran, kehilangan sumber pendapatan bagi individu, organisasi dan produktiviti kepada negara, kos perubatan, bedah siasat, pengebumian dan sebagainya. Sehubungan itu katanya, amat wajar jika setiap kemalangan yang berlaku itu dianggap sebagai telah mendatangkan kerugian yang tidak terkira nilainya.

Menurut Encik Rano, sebanyak 65 peratus kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh sikap para pemandu (road user behaviour), sejumlah 27 peratus  disebabkan oleh keadaan persekitaran dan jalan (road environment & design), manakala lapan peratus pula disebabkan oleh tahap keselamatan kenderaan yang digunakan (vehicle roadworthiness).

Berdasarkan perangkaan yang dikumpul, Sarawak berada pada kedudukan ke-8 dari segi jumlah kematian tahunan yang dicatatkan di negara ini. Pada tahun lalu, Sarawak mencatatkan sejumlah 318 kes kematian daripada sejumlah 6,527 kematian di seluruh negara.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, jumlah kematian itu amat merisaukan. Jumlah yang besar menunjukkan bahawa negara turut berdepan dengan kehilangan sumber ekonomi yang tidak terkira nilainya. Dibandingkan dengan negara maju seperti Sweden, Australia dan Eropah, jumlah kematian yang dicatatkan adalah rendah.

Antara faktornya ialah keadaan serta sistem jalan raya yang mencapai standard dunia, kemajuan dalam sistem pengangkutan awam, kekurangan kenderaan berusia di atas jalan raya, penguatkuasaan undang-undang yang baik serta sistem pengeluaran lesen memandu yang ketat. Namun, kerajaan kita amat optimis untuk mencapai seperti yang terdapat di negara maju tersebut suatu hari nanti.

Cabaran Mengurangkan Kecelakaan
Sejak tahun 2006, Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010 (PKJR) yang dilancarkan oleh mantan YAB Perdana Menteri, iaitu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya pada 15 Mei 2006, telah dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara. 

Tujuan jangka panjangnya adalah untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya bagi jangka masa lima tahun.

Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang telah ditubuhkan pada tahun 2004, mempunyai tugas getir iaitu bagi menyahut cabaran pelaksanaan PKJR 2006-2010 yang telah dilancarkan itu.


Di samping itu, “Wawasan Sifar Kematian 2020” ataupun “Zero Fatality Vision 2020” telah dilancarkan di seluruh negara sebagai pendukung kepada usaha yang sedang dilaksanakan melalui PKJR sejak 2006.

Kedua-dua usaha jangka masa pendek dan jangka masa panjang itu melibatkan penumpuan perhatian kepada empat teras utama atau dikenali juga sebagai “4E”. Empat teras itu ialah Pendidikan (Education), Penguatkuasaan (Enforcement), Kejuruteraan (Engineering) dan Persekitaran (Environment).

Jika kedua-dua usaha yang dirancangkan itu dapat mencapai hasil yang dirancangkan, JKJR amat berkeyakinan bahawa tahap keselamatan jalan raya negara akan setanding dengan negara-negara maju. Namun, adakah ia semudah yang dirancangkan untuk dijayakan? Persoalan itu kini membawa kita untuk merenung kembali semua cabaran dan kejayaan JKJR semenjak penubuhannya. 

Di bawah Rancangan 5 Tahun PKJR, JKJR sedang berdepan dengan beberapa cabaran serius untuk melaksanakan semua program yang dirancangkan. Begitu juga dengan usaha agensi itu untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Namun begitu, menurut Encik Rano, dalam tempoh setahun penubuhannya, JKJR telahpun berjaya mengurangkan kadar kematian jalan raya sebanyak 4.2 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada tahun 2005 kepada 3.95 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada tahun 2006. Ia merupakan pencapaian yang amat menggalakkan walaupun pada dasarnya kita mengetahui bahawa bilangan kenderaan dan pengguna jalan raya meningkat dari tahun ke tahun.

Di samping itu, jumlah kemalangan ringan yang melibatkan kecederaan juga telah menurun sebanyak 11,454 kes di antara tahun 2005 dan 2006. Pada tahun 2005, jumlah kemalangan adalah sebanyak 31,429 dan telah menurun dengan begitu ketara kepada sejumlah 19,884 pada tahun 2006.

bersambung ke bahagian 2

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article