- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Jurang Pendidikan Dirapatkan Pemantapan Prasarana, Insentif Jadi Strategi

Must read

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hampir ke penghujung lima tahun pelaksanaannya. Begitu juga dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dimulakan pada 2006, akan berakhir pada tahun hadapan untuk kita sama-sama jayakan objektif serta matlamatnya. Sejauh mana agaknya pencapaian kita setakat ini?  Yang pastinya, banyak projek serta program yang telah dirancangkan, telah berjaya dilaksanakan. Manfaat daripadanya juga telah mula dirasai oleh semua.

Begitu juga dengan Jabatan Pelajaran Sarawak dalam usahanya memastikan jurang pendidikan di antara kawasan bandar dan luar bandar dirapatkan, serta murid daripada keluarga kurang berkemampuan dapat turut sama menikmati arus pendidikan perdana negara.

Berdasarkan data pada Jun 2008, terdapat sejumlah 1,439 buah sekolah di Sarawak. Seramai kira-kira 507,731 orang murid sedang menuntut di pelbagai peringkat persekolahan serta kira-kira 36,557 orang guru sedang berkhidmat di semua peringkat dan jenis sekolah.

Bilangan Dan Jenis Sekolah, Jumlah Guru Dan Murid Di Sarawak Pada Jun 2008

Jenis Sekolah Bilangan Sekolah Jumlah Pelajar Jumlah Guru
SK 1,039 219,633 17,926
SJK (C) 219 74,111 4,442
SK (Khas) 4 183 79
SMK 159 202,934 12,926
SM Berasrama Penuh 2 975 109
SMK Agama 8 5,273 482
SM Teknik 7 4,419 555
Sekolah Seni 1 203 38
JUMLAH 1,439 507,731 36,557

Usaha menaiktaraf kemudahan fizikal untuk sekolah-sekolah di seluruh negeri Sarawak melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM106.4 juta pada tahun 2008. Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM31.01 juta adalah peruntukan untuk perolehan harta modal (perabot sekolah), manakala RM75.39 juta adalah peruntukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.

Manakala dari tahun 2006 hingga 2008, Jabatan Pelajaran Sarawak telah diperuntukkan sejumlah kira-kira RM941.3 juta untuk tujuan pembangunan. Dalam tempoh yang sama, sejumlah kira-kira RM732.9 juta telah dibelanjakan untuk tujuan pelbagai jenis pembangunan.

Dalam usaha membawa pendidikan ke seluruh pelusuk negeri serta lebih dekat kepada masyarakat, pembinaan sekolah merupakan langkah yang terbaik kea rah merealisasikan hasrat berkenaan. Dalam RMK-9, sejumlah 137 buah sekolah telah dirancangkan untuk dibina. Daripada jumlah itu, sejumlah 15 buah adalah dalam kategori pendidikan rendah dan 53 lagi merupakan pendidikan menengah. Selebihnya adalah Program Luar Bandar yang merangkumi 59 buah untuk pendidikan rendah dan 10 buah lagi adalah untuk pendidikan menengah.

Mengikut pecahannya, sejumlah 31 buah adalah di bawah kawasan pentadbiran Pejabat Pelajaran Gabungan (PPG) Kuching, 12 buah di PPG Sri Aman, 5 buah di PPG Sibu, 16 buah di PPG Miri, 12 buah di PPG Limbang, 5 buah di PPG Sarikei, 4 buah di PPG Kapit, 25 buah di PPG Samarahan, 8 buah di PPG Bintulu, 11 buah di PPG Betong dan 8 buah di PPG Mukah.

Kepentingan pendidikan awal kanak-kanak diakui oleh semua pihak, termasuk ibu bapa yang semakin menyedari keperluan menghantar anak-anak mereka menjalani sistem pendidikan prasekolah. Dari tahun 1992 sehingga tahun 2009, bilangan kelas prasekolah di bawah Jabatan Pelajaran Sarawak meningkat dengan begitu ketara, seiring dengan kesedaran yang ditunjukkan oleh ibu bapa itu tadi. Dari sejumlah 154 buah kelas di 154 buah sekolah pada tahun 1992, bilangannya meningkat mencapai 1,093 buah kelas di sebanyak 924 buah sekolah pada tahun ini.

Meningkatnya bilangan kelas dan sekolah seperti yang dinyatakan bermakna bilangan tenaga kerja untuk menguruskan sistem pendidikan di peringkat akar umbi atau sekolah akan turut sama meningkat. Berdasarkan data pada 30 Jun 2008, seramai 14,111 orang guru berkhidmat di sejumlah 177 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini. Sementara itu, 22,446 orang guru pula berkhidmat di sejumlah 1,258 buah sekolah rendah (tidak termasuk 4 buah Sekolah Pendidikan Khas). Sungguhpun demikian, dalam tempoh yang sama Sarawak masih kekurangan kira-kira 880 orang guru di sekolah menengah, manakala 1,193 orang guru lagi di sekolah rendah.

Bagi mengatasi kekosongan yang agak tinggi itu, Jabatan Pelajaran telah mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk berkhidmat di sekolah-sekolah yang terlibat. Pada Oktober 2008, seramai 1,958 orang GSTT telah diambil untuk bertugas di sekolah-sekolah terlibat. Pengambilan GSTT itu, telah membantu pihak Jabatan menangani kekurangan guru terlatih di sekolah-sekolah, di samping mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh guru yang melanjutkan pengajian atau cuti panjang seperti cuti bersalin.

Bagi menggalakkan guru berkhidmat di kawasan luar bandar pula, kerajaan telah menyediakan bayaran khas untuk guru-guru yang berkhidmat di kawasan yang terlibat. Ada dua jenis elaun yang disediakan iaitu Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesukaran.

Bagi BIP, bilangan guru sekolah rendah yang menerimanya ialah seramai 988 orang dan untuk sekolah menengah ada 31 orang. Manakala untuk Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan (Pedalaman 1 (RM500), Pedalaman 2 (RM1,000), dan Pedalaman 3 (RM1,500)), seramai 4,601 orang guru sekolah rendah dan 350 orang guru sekolah menengah yang telah menikmati kemudahan itu pada tahun 2008.

Daripada segi bekalan elektrik pula, sejumlah 851 buah sekolah rendah (67.4%) dari jumlah keseluruhan sebanyak 1,262 buah sekolah rendah telah dihubungkan dengan elektrik yang disediakan oleh Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO). Sebanyak 409 buah sekolah pula menggunakan janakuasa, manakala masing-masing sebuah sekolah mendapat sumber tenaga elektrik daripada pihak swasta 24 jam dan swasta 12 jam.

Bekalan elektrik swasta 24 jam digunakan di SK Bukit Kinyau di Sarikei iaitu ia mendapat sumber bekalan elektrik dari sebuah kilang papan yang berhampiran. Bekalan elektrik swasta 12 jam pula terdapat di SK Ng. Tada, Kanowit di mana bekalan elektriknya selama 12 jam adalah dari rumah panjang di situ.

Bagi sekolah menengah pula, daripada sejumlah 177 buah sekolah yang ada, 169 buah atau 95.48% mendapatkan tenaga elektrik daripada SESCO manakala 8 buah sekolah pula menggunakan janakuasa (generator set). Usaha masih diteruskan oleh Jabatan Pelajaran untuk menghubungkan sekolah-sekolah dengan jaringan kemudahan elektrik 24 jam dan janakuasa bagi sekolah yang jauh daripada sistem grid SESCO.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article