- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bulan Bahasa Kebangsaan

Must read


Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) adalah kesinambungan kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BSsN) yang diadakan sebelum ini.  Ia mula diperkenalkan pada tahun 1999 dengan tujuan untuk membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera.  Peranan Bahasa kebangsaan sebagai salah satu asas pembinaan tamadun negara bangsa malaysia masih lagi relevan dengan era globalisasi dan permodenan yang diharungi kini.  Justeru, bahasa dan sastera perlu berperanan seagai unsur yang dapat membentuk peribadi, menyuburkan nilai murni, memantapkan rasa kesamaan dan mengeratkan perpaduan dalam jiwa setiap warga merdeka.
    Tahun 2009 ialah tahun ke-11 program BBK diadakan.  Antara matlamat acara tahunan negara ini termasuklah memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.  Memperkuat kecintaan dan kemegahan pada bahasa dan sastera kebangsaan, mengerat dan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan, dan menjadikan bahasa dan sastera sebagai salah satu asas pembinaan tamadun bangsa.
    Acara BBK diadakan sepanjang tahun, tetapi kemuncak sambutannya berlangsung setiap bulan September, selama sebulan dengan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dalam pelbagai aktiviti bahasa dan sastera yang diaturkan.  Pada tahun ini, pelancaran BBK diadakan pada bulan Oktober.  Usaha ini dapat menyuburkan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan di samping dapat menyemai penghayatan rakyat Malaysia terhadap bahasa dan sastera kebangsaan.
    Program BBK ini hasil gabungan kempen Gerakan Cintailah Bahasa Kebangsaan (GCBK), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) dan Minggu Sastera Negara (MSN). Semoga acara tahunan ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat melalui bahasa kebangsaan.

PERKEMBANGAN KEGIATAN KEBAHASAAN

Kini negara kita terus membangun untuk menjadi sebuah negara yang teguh ekonominya dan stabil politiknya.  Salah satu faktor yang menjadi pemangkiin kepada kemajuan ini ialah dengan adanya Dasar Bahasa Kebangsaan.  Menurut Perlembagaan Persekutuan 1957, Perkara 152 (1), taraf bahasa Melayu adalah sebagai bahasa kebangsaan negara, dengan pengertian bahawa bahasa melayu menjadi lambang jati diri dan citra negara, dan agen pemersatuan masyarakat berbilang kaum melalui satu bahasa kebangsaan. Perpaduan yang wujud daripada adanya Dasar Bahasa Kebangsaan ini ternyata menjadi salah satu faktor kejayaan ekonomi negara pada masa ini.
    Berdasarkan salah satu matlamat yang terkandung dalam Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, iaitu memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan, Jabatan Bahasa telah menggerakkan jentera pentadbiran dan pengurusannya supaya kegiatan kebahasaan dapat dijalankan dengan terancang.

KEMPEN KESEDARAN BAHASA

Minggu Bahasa Kebangsaan

Gerakan yang bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat dilancarkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 30 Januari 1960 dan berakhir pada 6 Februari 1960.  Gerakan ini dicadangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada kerajaan melalui Kementerian Pelajaran. DBP diberi mandat untuk merancang dan mengatur persiapan dan mengumpul segala tenaga untuk melaksanakan rancangan itu.  Tun Syed Nasir Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pusat Minggu Bahasa Kebangsaan.  Gerakan ini diadakan juga di setiap negeri Persekutuan Tanah Melayu.  Pada tahun 1961 gerakan ini diperbesar menjadi gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Bulan Bahasa Kebangsaan

Pada tahun 1961, sekali lagi DBP menerima tugas daripda Kementerian Pelajaran untuk menangani gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan pada 28 Januari 1961.  Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan selama enam tahun, iaitu dari tahun 1961 hingga 1966.  Bulan Bahasa Kebangsaan mempunyai dasarnya yang tersendiri, dikukuhkan dengan cara kerja dan acara yang bersepadau pada peringkat negeri dan daerah.

Gerakan Cintailah Bahasa Kita

Program Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 oleh Perdana Menteri Malaysia bertujuan untuk membina kesedaran dan mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan di kalangan masyarakat pengguna bahasa di Malaysia.
Sempena pelancaran Gerakan Cintailah Bahasa Kita, beberapa kegiatan dilaksanakan.  Antaranya termasuklah penyiaran lagu tema Gerakan Cintailah Bahasa Kita melalui RTM dan TV3; risalah dan bahan-bhan panduan bahasa terbitan DBP kepada masyarakat; pengedaraan poster dan pelekat kemen; penayangan filem lagu tema di pawagam; promosi kempen melalui media cetak dan elektronik; pembinaan papan iklan besar di tempat strategik di Wilayah Persekutuan; dan pameran buku pengajian tinggi.

Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN)

Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dilancarkan pada 2 September 1999.  Program ini bertujuan untuk mengajak semua lapisan rakyat Malaysia mengadakan dan melibatkan diri dalam kegiatan bahasa dan sastera.
    Gerakan yang diadakan pada peringkat pusat dan peringkat negeri ini telah memberikan kesan yang positif terhadap beberapa golongan masyarakat pengguna bahasa di negara kita, termasuklah sektor perundangan dan kehakiman secara langsung atau tidak langsung menghasilkan pindaan terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, yang menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah bermula pada bulan Jun 1990.

Pengantarabangsaan Bahasa Melayu

Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai institusi bahasa yang berwibawa di Malaysia memang sentiasa proaktif mengembangkan dan mencitrakan bahasa Melayu diperingkat ASEAN, dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.  Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) menjadi tapak langsung kerjasama kebahasaan pada peringkat ASEAN, khususnya dalam bidang penyelarasan peristilahan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
    Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengadakan kerjasama kebahasaan dengan pelbagai institusi di peringkat antarabangsa dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU).
    Dengan menandatangani memorandum persefahan serta kerjasama kebahasaan, kesusateraan dan penerbitan, bersama-sama pelbagai institusi luar negara, maka Malaysia kini telah melangkah ke satu lagi era pemantapan diaspora dan pengantarabangsaan bahasa Melayu ke seantero dunia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article