Dengan adanya persediaan rapi fizikal dan mental, kesan dunia tanpa sempadan terutama yang melibatkan generasi muda akan dapat ditangani dengan bijaksana.
Demikian ujar ADUN Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi ketika merasmikan Majlis Penutupan Karnival Sepakat Bestari di pantai Kampung Buntai, petang semalam.
“Sekiranya anak-anak kita mempunyai kekentalan diri dan kekuatan rohani dan minda, mereka akan dapat mengasingkan perkara yang negative daripada mempengaruhi mereka, sekaligus mengelak mereka terlibat dalam gejala-gejala sosial yang tidak sihat.”
“Penglibatan mereka dalam mana-mana program kemasyarakatn akan dapat membentuk kekuatan dalam diri mereka agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara negatif kesan daripada perkembangan dunia pada hari ini”, tambah beliau lagi.
Beliau turut melahirkan sokongan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan program kemasyarakatan yang dapat membawa setiap lapisan masyarakat bergerak bersama-sama dalam memajukan masyarakat itu sendiri dan negara.
Menurutnya lagi, program seumpama ini bukan sahaja mewujudkan satu hubungan yang akrab dalam masyarakat itu sendiri malah dapat membentuk masyarakat yang berkebolehan dan berketrampilan.
Justeru, Abdul Rahman berkata mana-mana pertubuhan dan persatuan dalam sesebuah kawasan harus bertanggungjawab untuk memantau program-program yang dapat mengisi dan memanfaatkan anak-anak muda pada hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Encik Zaini Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan, berkata pihak Jabatan Penerangan Negeri Sarawak akan mewujudkan Komuniti Broadband yang menempatkan beberapa computer di Anjung Bestari yang terpilih di Sarawak agar dapat memperkasakan ahli-ahli Komuniti Bestari dalam usaha menyebarkan maklumat kepada setiap lapisan masyarakat melalui Komuniti Bestari yang mewujudkan sejak tahun 2007 lagi di setiap Dewan Undangan Negeri.
Karnival Sepakat Bestari 2009 ini telah melibatkan sebanyak lapan Komuniti Bestari dalam Daerah Kuching iaitu Kampung Buntal, Kampung Bako, Kampung Semariang Baru Fasa III, Kampung Lintang, Kampung Sagah, Kampung Paroh, Kampung Tabuan Hilir dan Kampung Telaga Air.
Pelbagai acara telah diadakan sepanjang satu hari karnival ini berlangsung, antaranya, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan bola sepak pantai, poco-poco, karaoke dewasa dan acara sukaneka selain pameran dan jualan daripada lapan buah Komuniti Bestari yang terlibat dan agensi-agensi jabatan yang turut serta seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertanian, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), dan pihak RELA.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Kuching, Encik Abdul Rahman Mohamad, Pegawai Daerah Kuching, Encik Habari Bakar, Pegawai Penerangan Bahagian Kuching/Samarahan, Encik Ambrose Cheng Loi Hee dan Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Puan Maryati Oerip Marsono.
Tangani Kesan Dunia Tanpa Sempadan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
You must sign in to vote