- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Majlis Penasihat Kemahiran Diaktifkan

Must read

Kementerian Belia dan
Sukan akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Kemahiran di bawah
seliaannya dan bakal dianggotai wakil alumni Institut Kemahiran Belia
Negara (IKBN), kata timbalan menterinya, Datuk Razali Ibrahim di Miri,
seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Beliau berkata, majlis penasihat itu juga akan membabitkan wakil
daripada pelbagai sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan
sektor awam.

Katanya, majlis ini berperanan memberi pandangan dan khidmat nasihat
kepada kementerian dalam menggubal dasar dan menentukan hala tuju
program pembangunan latihan kemahiran belia.

“Kementerian juga bercadang meningkatkan lagi pengambilan pelatih
IKBN kepada 10,760 orang tahun depan, berbanding 10,030 pelajar tahun
ini,” katanya selepas merasmikan Konvokesyen ketiga IKBN Miri di sini,
semalam (1 November 2009).

Katanya, semua 15 IKBN yang sedia ada mempunyai kapasiti yang
mencukupi untuk menerima jumlah pelajar yang lebih ramai selain
rancangan kementerian untuk mewujudkan enam buah lagi IKBN baru, tahun
depan.

Antara latihan kemahiran yang ditawarkan di IKBN termasuk
penyelenggaraan automotif, kejuruteraan marin, mekanikal, kejuruteraan
sivil, elektrik dan elektronik dan teknologi makanan.

Razali berkata, pertambahan jumlah pelajar ini akan memberikan hasil
positif kerana berdasarkan pencapaian sebelum ini, kira-kira 85 peratus
daripada pelajar IKBN sudah mendapat tawaran pekerjaan sebelum mereka
menamatkan latihan.

“Saya beri jaminan pelajar IKBN ini sentiasa mendapat tempat di hati sektor swasta kerana kemahiran yang mereka ada,” katanya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article