- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

2010 -Tahun Inovasi dan Kreativiti

Must read

Tahun 2010, telah diisytiharkan sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti Malaysia. Ia bakal menyaksikan gandingan lapan buah kementerian untuk menggalakkan inovasi kepada semua sektor ekonomi dan masyarakat umum. Walaupun kita belum melangkah ke tahun 2010, kesungguhan kerajaan telah diperlihat melalui pelbagai persiapan dan usaha yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu. Ia terus diperhebat sejak kebelakangan ini untuk menyedarkan serta menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti di dalam negara.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 pada April 2009, telah menggesa supaya penjawat awam melakukan anjakan paradigma pemikiran kepada produktiviti yang diiringi dengan inovasi dan kreativiti. Hasrat tersebut ditegaskan sekali lagi ketika beliau membuat Pembentangan Bajet 2010 yang lalu. Beliau mahu anjakan kepada satu bentuk ekonomi baru yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi diusahakan agar negara kekal relevan dalam persaingan di peringkat global.

Sehubungan itu, amat bertepatan apabila kerajaan mengumumkan bahawa Hari Kualiti Negara yang dilaksana dalam sektor awam pada ketika ini akan diganti dengan Hari Inovasi bermula pada tahun 2010 untuk disesuaikan dengan Tahun Inovasi dan Kreativiti 2010.

Di Mana Kita Sekarang? 

Mengapa agaknya inovasi dan kreativiti itu amat penting dalam ekonomi baru sedangkan negara sudahpun memiliki sumber kekayaan? Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama perkembangan ekonomi negara dipacu oleh aktiviti seperti perladangan, perusahaan, hartanah dan pembinaan. Dalam suasana ekonomi baru dunia, inovasi dan kreativiti menyediakan keuntungan yang berlipatganda dan lebih cepat berbanding aktiviti ekonomi tradisional. Sehubungan itu, inovasi dan kreativiti harus menjadi fokus pada ketika ini agar negara terus mengekalkan tempatnya di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

Inovasi sebenarnya bukanlah perkara baru di kalangan rakyat Malaysia. Saban tahun diadakan Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi sempena Pameran Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan. Dalam Malaysia Technology Expo 2009  lepas, sejumlah 460 penyertaan reka cipta dan inovasi dicatatkan, meningkat 600 peratus lebih tinggi berbanding penyertaan 75 reka cipta dan inovasi pada ekspo 2002. Sekaligus, ia menggambarkan aktiviti inovasi dan reka cipta telahpun bergiat aktif di Malaysia. Multimedia Super Coridor (MSC) Malaysia pula telah mewujudkan lebih 2,300 buah syarikat berstatus MSC yang menghasilkan 80,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta berkaitan dengan inovasi dan kreativiti.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diperuntukkan RM2.5 bilion untuk melaksanakan pelbagai program dan dasarnya untuk menggalakkan inovasi serta kreativiti.

Peruntukan berjumlah RM12.86 juta juga telah disediakan kepada Multimedia Development Corporation (MDeC) di bawah pakej rangsangan kedua bagi pelaksanaan program MSC Malaysia ICON bagi sektor swasta. MDeC bertanggungjawab menerajui inisiatif sektor swasta di dalam pembangunan kandungan pembangunan, manakala MAMPU diberi kepercayaan menerajui inisiatif sektor awam. Program MSC Malaysia ICON merupakan pemberian geran kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk memajukan kandungan bagi pengupayaan dalam talian. 

Baru-baru ini juga, (MDeC) mengumumkan peruntukan di bawah Dana Penerbitan Bersama bernilai RM75 juta sepanjang tempoh dua tahun akan datang kepada syarikat berstatus MSC yang terlibat dalam bidang animasi dan permainan digital tempatan. Dana berkenaan merupakan antara pakej rangsangan ekonomi kedua yang disasar untuk memacu pertumbuhan industri isi kandungan kreatif negara ini.

Peruntukan yang besar itu tidak akan mendatangkan impak maksimum jika negara tidak bergerak untuk mencipta inovasi dan kreativiti, ataupun sekadar menjadi pengubah suai teknologi semata-mata. Sebagai contoh, tumbuhan ‘Tongkat Ali’ yang tumbuh dengan subur dan digunakan secara tradisional oleh masyarakat kita, telah dibawa keluar oleh orang luar untuk dikaji di negara mereka. Akhirnya, banyak penemuan yang diperoleh mereka telah dipatenkan dan kita sendiri pula yang terpaksa membeli semula penemuan itu untuk dikomersilkan di dalam Negara.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut tidak ketinggalan dalam usaha mempromosikan inovasi dan kreativiti sebagai pendekatan terbaik untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam negara, khususnya dalam perkhidmatan awam serta sektor swasta. Sesungguhnya, strategi untuk mengubah sikap dan minda (mindset) setiap individu memakan masa yang panjang dan kos yang besar bagi melaksanakan pelbagai program. Namun, matlamat akhirnya iaitu negara berupaya menjadi sebuah negara berdaya saing serta sebaris dengan negara yang tinggi tahap kompetensinya, serta perkhidmatan awam yang cekap dan kompetitif, akan menjadi pulangan yang lebih bermakna bagi semua itu.

Pendapat bahawa inovasi dan kreativiti itu hanya sesuai bagi sektor swasta juga harus dikikis kerana sebenarnya kerjasama di antara kedua-dua pihak awam dan swasta harus diwujudkan untuk melahirkan negara yang berproduktiviti tinggi. Perkhidmatan awam yang produktif akan menggalakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan dalam negara. Suasana itu akan menguntungkan negara dan keuntungan itu akan turut dirasai oleh sektor awam dan seluruh rakyat. Jadi, kerjasama awam-swasta itu harus terus dipertingkat dan sudah semestinya semua itu bermula dengan perubahan sikap setiap individu.

Sebenarnya, inovasi yang dicanangkan oleh kerajaan itu adalah menyeluruh. Ia merangkumi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan (societal innovation), inovasi bandar, inovasi desa, inovasi korporat, inovasi industri, inovasi pendidikan, inovasi penjagaan kesihatan, inovasi pengangkutan, inovasi jaringan keselamatan sosial dan inovasi penjenamaan. Sekaligus, ia bermakna inovasi yang dimahukan itu melibatkan semua sektor tidak mengira awam atau swasta, kerana kedua-duanya harus bergerak seiringan untuk kemajuan negara.

Inovasi dan Kreativiti Dalam Sektor Awam

Di dalam sektor awam, inovasi tadbir urus bermakna pendekatan, strategi, usaha dan tindakan baru yang boleh menganjak perkhidmatan awam ke arah pencapaian yang lebih tinggi. Jika duhulu, kaunter bayaran bil setempat sudah dianggap sangat baik, tetapi kini sudah ada inovasi yang berupaya menyediakan maklumat pelbagai agensi dan bayaran pelbagai bil dalam satu laman portal kerajaan iaitu “www.malaysia.gov.my”. Adakah kita sudah boleh berpuas hati? Sudah tentu tidak kerana kerajaan mahu memperkasakan lagi perkhidmatan awam kepada orang ramai dan ia bertepatan sekali dengan salah satu teras dalam Tonggak 12 iaitu “Nikmat Mencipta” yang telah diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk membudayakan nilai-nilai mulia dan murni dalam perkhidmatan awam.

Ketika ini, sebahagian daripada proses inovasi sektor awam negara sedang dilaksanakan melalui pelbagai prakarsa seperti Gagasan Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Penunjuk Prestasi Utama (KPI), model ekonomi baru dan pewujudan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) dan National Economic Advisory Council (NEAC).

Enam NKRA yang ingin dicapai negara ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, mencegah jenayah, memerangi rasuah, menaik taraf isi rumah berpendapatan rendah, menaik taraf infrastruktur asas di kawasan pedalaman dan menaik taraf sistem pengangkutan awam. Bagi mencapai hasrat tersebut, sudah tentu kejayaan perkhidmatan awam merupakan mekanisme penentu kepada pencapaian NKRA. Antara faktor kejayaan pelaksanaannya sudah tentunya budaya inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam.

PEMUDAH yang ditubuhkan pada 2007 dianggotai oleh 23 pakar dari sektor awam dan swasta. Ia bertujuan untuk mengenalpasti birokrasi di dalam kerjasama “perniagaan – kerajaan” seterusnya mengurangkan karenah birokrasi untuk menggalakkan perniagaan berkembang dengan lebih baik. PEMUDAH juga bermatlamat untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara bagi membolehkan setiap rakyat turut menikmati kekayaan sama seperti masyarakat perniagaan. PEMANDU pula berperanan meningkatkan prestasi penyampaian kerajaan serta menyelia pelaksanaan KPI.

Sementara itu, NEAC yang dianggotai oleh sembilan orang pakar berperanan mengkaji bentuk model ekonomi baru negara. Majlis berkenaan akan menasihati kerajaan tentang bentuk ekonomi baru yang akan membawa negara dari status negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi serta ke arah mencapai status negara maju pada 2020.

Perdana Menteri juga telah mencadangkan dasar pintu terbuka di mana pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan pegawai GLC ke perkhidmatan awam supaya mereka dapat menimba pengalaman, menggilap kemahiran dan menambah pengetahuan dalam bidang tugas masing-masing. Dasar pintu terbuka itu telah membolehkan kakitangan di kedua-dua organisasi bekerja dengan lebih rapat seterusnya mendalami proses kerja yang melibatkan urusan harian di antara kedua-dua organisasi. Proses itu seterusnya menyediakan sinergi dan ruang untuk kedua-dua organisasi melaksanakan penambahbaikan serta mempermudah birokrasi di antara kedua-dua organisasi.

Pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri November 2009, Perdana Menteri turut menggesa agar Perkhidmatan Awam menitikberatkan budaya berprestasi tinggi atau “high performance culture” di setiap agensi sektor awam. Bagi tujuan itu, ganjaran yang lumayan dengan mengambil kira sumbangan daripada segi penjimatan perbelanjaan serta penambahan kepada hasil negara, pembangunan dan penyelidikan yang berimpak tinggi serta bentuk budaya berprestasi tinggi lain diberikan.

Buktinya, MOSTI pada 2008 telahpun melalui penstrukturan semula pegawai-pegawainya di semua peringkat membabitkan pertambahan jawatan yang dinaik taraf bagi membolehkan golongan professional termasuk pakar sains dan ekonomi menyertai sektor awam seterusnya melaksanakan tugas-tugas bagi menjana peluang ekonomi baru berasaskan ilmu pengetahuan.

Perkhidmatan awam negeri juga memainkan peranan penting dalam perkara ini. Sebuah pasukan berprestasi tinggi sedang dibentuk yang dicirikan dengan tujuh kriteria. Kriteria ketujuh iaitu inovatif, kreatif dan bermaklumat, adalah bertepatan dengan penekanan perkhidmatan awam di seluruh negara pada ketika ini. Ia dijelaskan sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani pada Perhimpunan Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri 2009. Perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi amat diperlukan oleh kerajaan negeri yang kini sedang mengharungi cabaran untuk mencapai matlamat arus kedua gelombang politik pembangunan negeri yang diilhamkan oleh YAB Ketua Menteri. Sarawak kini sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyatnya.

Memantapkan Inovasi dan Kreativiti Kerajaan


Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang dilengkapi dengan satu rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi (i-CoE) di bawah MOSTI, serta diselaraskan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diumumkan penubuhannya di dalam Bajet 2010. Ia merupakan usaha penting ke arah penyerapan inovasi sebagai satu amalan di kalangan rakyat, di samping memastikan usaha lebih terselaras dalam penghasilan ciptaan baru yang boleh dikomersilkan serta tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi sahaja.

Inovasi dan kreativiti sektor awam juga terus dimantapkan melalui Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang mula diperkenal pada tahun ini. KIK sebenarnya merupakan penjenamaan semula bagi menggantikan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja atau KMK. Sebelum ini, KMK lebih memfokus kepada penyelesaian masalah terhadap isu-isu utama yang dihadapi dalam jabatan. Sementara KIK pula akan menyediakan ruang yang lebih baik dan terancang kepada warga organisasi untuk berinovasi dan berkreatif.

Oleh itu, Konvensyen KIK merupakan landasan kukuh yang dapat membudayakan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam, seterusnya ruang untuk menambah baik sistem penyampaian ke aras lebih tinggi. Di samping itu, Konvensyen KIK juga akan menjadi platform penting bagi mempromosi produk inovasi yang dihasilkan dalam perkhidmatan awam supaya penggunaannya dapat diperluas, dipaten mahupun dikomersilkan.

Sebagai contoh, johan kategori pengurusan Konvensyen KMK Kebangsaan 2008, iaitu Kumpulan EFFI TEXTS dari Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia telah ditanda aras oleh pihak Kementerian Pelajaran dari negara Singapura, Brunei, Sri Lanka dan Mesir daripada aspek pengurusan pinjaman buku teks yang berkesan dengan menggunakan Sistem Pengagihan dan Pengurusan Buku Teks Sekolah yang dibangunkan sendiri.

Pada konvenyen itu, kumpulan “Tidal Bore” dari Jabatan Pengairan dan Saliran Betong yang memenangi Anugerah KMK Ketua Pengarah MAMPU (kategori teknikal) juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menunjukkan inovasi tinggi dalam projek “Papan Injap 2R” yang berjaya meningkatkan keberkesanan sistem pengairan kawasan pertanian. Ia bukan sahaja mudah untuk dipasang berbanding papan tandop, tetapi juga dapat menurunkan kos penyelenggaraan seterusnya meningkatkan hasil pertanian. Jika inovasi itu dapat dipaten atau dikomersilkan, sudah tentu banyak hasil yang dapat dijana oleh organisasi berkenaan.

Bermula pada tahun 2010, Konvensyen KIK Peringkat Bahagian akan dimulakan di Sarawak sebagai pemantapan kepada konvensyen peringkat negeri pada ketika ini. Perkara itu diumumkan oleh SUK, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani pada Perhimpunan Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri baru-baru ini. Tujuannya agar pasukan yang berinovatif dan produktif dapat dibentuk di peringkat setiap bahagian.

Dalam usaha kerajaan menghasilkan lebih banyak idea baru, semua ketua jabatan juga akan digalakkan untuk menghadiri persidangan yang berkaitan dengan tugas mereka. Ia bertujuan agar setiap maklumat baru itu dapat disampaikan oleh ketua jabatan kepada kakitangannya setelah kembalinya mereka ke pejabat.

Di samping itu, satu inisiatif baru “Sarawak Civil Service Innovative Ideas Portal” (SCS-ii) juga baru dilancarkan. Tujuannya untuk menggalakkan pegawai kerajaan atau agensi untuk memperkenal atau mengetengahkan idea inovatif yang boleh mengubah suasana dan imej perkhidmatan awam negeri. Ia juga akan menjadi dalam kriteria pengukuran prestasi pegawai dan agensi kerajaan. Inisiatif itu amat bertepatan dengan masanya kerana kerajaan negeri harus lebih strategik, inovatif dan kreatif dalam merangka projek dan program dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang akan membuka tirainya pada 2011.

Kedudukan Negara dan Sektor Swasta

Meskipun negara mencatatkan banyak kemajuan dalam membangunkan ekonomi baru berasaskan ilmu pengetahuan seperti yang telah dibincangkan, namun ia masih ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi (S&T). Pada ketika ini, negara berada di tempat ke-24 di dunia dalam perbelanjaan untuk R&D sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perbelanjaan R&D adalah 0.6 peratus daripada KDNK berbanding 3.0 peratus di Amerika Syarikat, 3.5 peratus di Republik Korea dan 2.4 peratus di Taiwan.

Dalam tahun 1970-an, kedudukan Malaysia dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan dan Singapura lebih kurang sama. Namun, selepas hampir 40 tahun, jurang negara kita dengan negara-negara tersebut dapat dirasai. Jika tiada usaha berganda untuk mengupayakan inovasi dan kreativiti dalam negara, tidak mengira sektor awam atau swasta, matlamat Wawasan 2020 Malaysia tidak akan tercapai sepenuhnya.

Syarikat kecil dan sederhana (SKS) di Malaysia mewakili 92 peratus syarikat di Malaysia tetapi, menyumbang cuma enam peratus kepada KDNK dan 7.7 peratus daripada keseluruhan gunatenaga. Ia amat rendah berbanding purata global sebanyak 80 peratus SKS yang menyumbang kepada 50 peratus daripada KDNK.
 

Sememangnya, kerajaan telah menyedari peralihan paksi pertumbuhan ekonomi global ke rantau Asia terutama membabitkan negara seperti India dan China, telah menyebabkan Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada ekonomi sedia ada seperti sektor perladangan, hartanah dan pembinaan. Negara perlu beralih kepada ekonomi cara baru yang berpaksikan inovasi dan kreativiti yang lebih lumayan serta berdaya saing. Negara India dan China telah membuktikan bahawa dengan sedikit inovasi dan kreativiti, rakyatnya dapat memajukan serta mencipta banyak produk dan perisian baru yang kemudiannya dipaten dan dikomersilkan. Hasilnya dijual di serata dunia dan telah mendatangkan keuntungan berganda.

Di Amerika Syarikat, 500 syarikat terkaya di negara itu, merupakan syarikat yang ditubuhkan di bawah 30 tahun yang lalu dan kebanyakannya adalah syarikat yang berasaskan ilmu pengetahuan seperti teknologi maklumat dan bioteknologi. Keadaannya jauh berbeza di negara ini jika kita menyelidiki senarai syarikat tempatan dalam bursa saham yang rata-ratanya merupakan syarikat berteraskan aktiviti ekonomi tradisional (hartanah, perladangan dan pembinaan) dan telah beroperasi lebih 50 tahun.

Pakar ekonomi sering mengingatkan bahawa hanya pihak yang berupaya menghasilkan inovasi dan kreativiti, sama ada dalam produk dan perkhidmatan yang disediakan sahaja akan mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin kompetitif. Ini bermakna hanya syarikat yang meletakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai agenda penting pertumbuhan, di samping keupayaan sumber manusianya untuk menghasilkan inovasi dan kreativiti dalam produk dan perkhidmatannya sahaja yang akan dapat menembusi persekitaran perniagaan dan ekonomi baru pada masa hadapan. Pengurangan kos, penjimatan masa, memudahkan kerja, bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan terkini serta diminati ramai, akan menjadi agenda sektor swasta untuk memantapkan perniagaan masing-masing dalam persekitaran ekonomi baru itu.

Peranan Kita Sebagai Penjawat Awam

Semua perancangan dan tindakan yang telah dibincangkan menunjukkan kerajaan amat komited dan serius untuk melakukan inovasi secara menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju. Untuk mencapai hasrat itu, negara memerlukan jentera perkhidmatan awam yang berilmu pengetahuan dan berinovatif, khususnya dalam menjayakan transformasi ekonomi negara berpendapatan pertengahan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Oleh itu, setiap penjawat awam perlu melipatgandakan usaha ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan dengan berfikir secara kreatif bagi menghasilkan inovasi yang boleh memberi impak berganda dan pembaharuan dalam perkhidmatan awam. Sistem dan tatacara rumit diubah kepada yang lebih mudah dan ringkas. Semua ini memerlukan inovasi dan kreativiti yang tinggi.

Selama lebih lima dekad perkhidmatan awam telah menjadi tunjang kepada pembangunan negara. Jika tiada perubahan dilakukan, sumbangannya akan seperti sediakala dan sukar untuk disesuaikan dengan harapan dan agenda negara. Sehubungan itu, perkhidmatan awam perlu terus menerajui perubahan bagi memastikan ia sentiasa memberi sumbangan yang signifikan dalam merealisasikan agenda negara iaitu “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.






Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article