Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-10, Fokus Membawa Negara Ke Mercu Kejayaan
Bagi memastikan negara terus ke mercu kejayaan, kerajaan telah mengariskan 4 Tonggak Utama iaitu Pertama, satu falsafah induk sebagai panduan yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan yakni 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Kedua, satu prakarsa teras peranan kerajaan yakni Program Transformasi Kerajaan dan dua inisiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana juga jangka pendek negara yakni Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia ke-10.
Demikian menurut Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak ketika Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas (Ke 11) baru-baru ini.
Melalui Tonggak Pertama iaitu : Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat gagasan 1Malaysia adalah perpaduan nasional.
Jelasnya, sudah tiba masanya, rakyat Malaysia untuk bergerak ke hadapan, perlu berubah dari mendefinasikan diri mereka berasaskan perbezaan yang wujud kepada mencari kesamaan yang ada.
Beliau menyifatkan usaha merealisasikan perpaduan nasional adalah usaha berterusan semenjak negara mencapai kemerdekaan dan akan menjadi perjuangan dari generasi ke generasi.
Tonggak Kedua: Melalui Program Transformasi Kerajaan, apa yang diinginkan Kerajaan menjadi lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat. Kata beliau, kerajaan perlu bersifat sebagai pemudahcara dan bukannya “absolute arbiter of wisdom”.
Melalui enam bidang keberhasilan utama atau NKRA dan Indeks Petunjuk Prestasi atau NKPI pula, kerajaan akan bersifat lebih telus dan kuantitatif. Kini, menurutnya rakyat bukan sahaja akan dapat mengetahui apakah matlamat kerajaan dan kaedah pelaksanaanya tetapi juga turut memainkan peranan dalam menggubalnya.
Seterusnya, Tonggak Ketiga dan Keempat adalah dua prakarsa penting ekonomi yakni Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Dua prakarsa tersebut penting bagi mencapai cita-cita nasional bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Tegas beliau, untuk mencapainya bukanlah satu tugas yang mudah dan cabaran yang dihadapi amat berbeza iaitu bagaimana untuk meningkatkan taraf ekonomi negara daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada negara berpendapatan tinggi.
Bagi mencapai matlamat tersebut, iktisad negara perlu meningkat dalam rantaian nilai ekonomi serta berjaya menarik pelaburan dalam sektor yang mampu menjana pulangan yang besar. Hari ini, jelas beliau bidang ekonomi yang terbabit bergantung kepada input kreativiti, inovasi dan nilai tambah yang tinggi.
Pada tahun ini juga, kerajaan akan menzahirkan Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai siri mutakhir rancangan pembangunan lima tahun negara yang juga permulaan kepada “road map” Model Baru Ekonomi.
Tambah beliau lagi, ia akan menjadi jendela sulung, negara ke arah Wawasan 2020. RMK-10 ini yang akan berjalan dari tahun 2011 hingga 2015 akan diikuti kemudiannya oleh jendela kedua dalam bentuk Rancangan Malaysia Ke-11.