- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Memperkasa pembangunan luar bandar melalui NKRA

Must read


Luar Bandar, antara cabaran signifikan tahun 2010


Tahun 2010 merupakan tahun yang cukup signifikan, disebabkan ia tahun penentu kejayaan Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9) yang juga tahun terakhir pelaksanaannya.


Malah tahun ini (2010), bermulanya pendekatan kerajaan melaksanakan National Key Result Area (NKRA) Infrastruktur Luar Bandar yang diperkenalkan buat pertama kalinya tahun ini, disamping Minister Key Result Area (MKRA), persediaan RMK10 dan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar  baru (dijangka siap September 2010).


Demikian menurut Menterinya, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Y.B. Dato’ Seri Hj Mohd Shafie bin Hj Apdal ketika menyampaikan  amanat Tahun Baru 2010 kepada kementerian beliau baru-baru ini.


Menurut beliau, seperti mana yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, terdapat 6 NKRA yang ditetapkan dan di bawah NKRA luar bandar, terdapat 4 sub-NKRA yang diberi fokus iaitu Jalan Perhubungan, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Program Bantuan Rumah.


Secara perbandingan dengan yang lain, NKRA Luar Bandar merupakan yang paling mencabar dengan peruntukan yang terbesar menghampiri RM 17 billion ringgit dan perlaksanaannya akan mengambil masa yang agak begitu panjang.


Jelas beliau, malah, jika diukur dari segi kuantitinya, setiap satu dari 4 sub NKRA menuntut usaha, masa dan kewangan yang berlipat ganda lebih tinggi daripada apa yang pernah lakukan sebelum ini.


Contohnya, bagi Jalan Luar Bandar, selama 5 tahun di bawah RMK-9, di Sabah dan Sarawak, kementerian merancang untuk membina 350km jalan. Manakala di bawah NKRA, dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu hanya 3 tahun, kementerian akan membina Jalan Luar Bandar sepanjang 1,500km iaitu lebih daripada 4 kali ganda panjangnya.


Selain NKRA, jelas beliau, mulai tahun 2010 ini, Kementerian juga akan melaksanakan Minister Key Result Area (MKRA) dengan penetapan 3 sub-MKRA iaitu: Peningkatan Pendapatan Pekebun Kecil, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Masyarakat Orang Asli.


Berkaitan dengan RMK9, yang juga merupakan tahun terakhir pelaksanaannya, jelasnya lagi KKLW telah diperuntukkan sejumlah RM16.47 bilion (di bawah RMK-9), merupakan satu jumlah yang amat besar.


Daripada jumlah tersebut, sehingga 31 Disember 2009, sebanyak RM12.07 bilion atau 73.26 peratus telah dibelanjakan yang  bererti lebih 25 peratus daripada peruntukan RMK-9 masih belum dibelanjakan.


Lantas menurutnya lagi, Kementerian dan agensi di bawah kementerian tersebut dikehendaki memastikan semua program dan projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan bagi mencapai matlamat RMK-9.


Mengenai Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Kementerian telah membuat persediaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang memberi tumpuan terhadap pembangunan manusia dan usahawan bagi memastikan negara mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi.


Penekanan seterusnya pula, menurut beliau adalah Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar dengan KKLW sedang dalam proses menggubal Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2010 pada Oktober 2009.


Pelan Induk tersebut  akan menjadi garis panduan pembangunan luar bandar secara menyeluruh sepanjang tempoh 10 tahun akan datang, iaitu sehingga negara mencapai Wawasan 2020. Ia akan  menentukan hala tuju pembangunan luar bandar disamping menjadi garis panduan untuk pelaksanaan pembangunan oleh agensi-agensi berkaitan.


Ia dijangka siap  pertengahan tahun 2010, di mana ia akan menjadi tumpuan dalam penyelarasan pembangunan luar bandar dengan mengambil kira rancangan pembangunan fizikal semasa seperti Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Dasar Perancangan Desa Negara oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).


Pelan Induk ini juga akan mengintegrasikan dasar-dasar pembangunan baru dan yang sedia ada termasuk juga keputusan-keputusan Kabinet.


Mengulas mengenai pencapaian tahun lepas (2009) menurutnya buat pertama kali dalam sejarah, peruntukan yang sangat besar iaitu RM3.581 bilion telah disediakan kepada KKLW yang membuktikan komitmen jitu Kerajaan dalam usaha membantu masyarakat luar bandar.


Walaubagaimanapun, prestasi pelaksanaan projek dan kewangan tahun 2009 boleh dibanggakan dengan setakat  31 Disember 2009 sejumlah RM3.51 bilion atau 97.97% telah berjaya dibelanjakan.


Secara lebih terperinci, antara pencapaian kementerian tersebut  bagi tahun 2009 adalah:
• Membina jalan sepanjang 228.91km untuk Jalan Luar Bandar dan 1,095.95km untuk Jalan Kampung.
• Sebanyak 19,664 unit rumah telah mendapat manfaat bekalan air bersih di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar, manakala sejumlah 14,966 unit rumah telah menerima bekalan elektrik 24 jam di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar.
• Sebanyak 38,121 unit rumah telah menerima faedah daripada pelbagai projek-projek kecil di bawah Program Ameniti Sosial seperti membina/ membaik pulih Balai Raya/ Dewan Orang Ramai, kemudahan hentian bas dan kemudahan rekreasi (gelanggang sukan/ futsal).
• Sebanyak 12,105 buah rumah telah dibina di bawah Program Bantuan Rumah Pakej Rangsangan Ekonomi 1.
• 8,995 projek pembasmian kemiskinan bagi membantu seramai 63,379 keluarga miskin tegar.
• Medan Infodesa – Sejumlah 17 buah MID dibina pada tahun 2009 menjadikan bilangan MID 176 buah.
• Pembiayaan Perniagaan di bawah MARA dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) sejumlah RM267 juta kepada 5,648 usahawan menjadikan sehingga kini 37,889 usahawan mendapat pembiayaan berjumlah RM1.73 bilion.
• Latihan dan bimbingan kepada seramai 16,580 usahawan.
• Penyediaan ruang-ruang perniagaan kepada usahawan Bumiputera yang mana kini jumlahnya telah pun mencecah 6,407 lot premis.
• Latihan kepimpinan kepada 6,772 orang JKKK/JKKKP.
• Di bawah program Tanam Semula Getah dan Kelapa Sawit, RISDA telah berjaya menanam semula getah seluas 19,944 hektar dan 10,145 hektar kelapa sawit yang melibatkan 33,157 pekebun kecil.
• FELCRA pula berjaya membangun tanah seluas 566 hektar dengan getah dan 8,931 hektar dengan kelapa sawit yang melibatkan 6,689 peserta (95% daripada sasaran 10,000 hektar). FELCRA juga berjaya menanam semula tanah seluas 859 hektar getah dan 10,616 hektar kelapa sawit yang melibatkan 4,334 peserta (164% daripada sasaran 7,000 hektar).
• Pendidikan – sejumlah 189,047 kanak-kanak mendapat pendidikan Pra Sekolah di 8,316 buah Tabika KEMAS dan sejumlah 28,380 pelajar di 43 buah MRSM.


Dari segi pencapaian dan perubahan Dasar pula, Kementerian tersebut telah berjaya menubuhkan Flying Squad bagi membuat pemantauan dan mengambil tindakan serta-merta dalam pelaksanaan projek-projek. Pihak JPA telah meluluskan perjawatan KKLW di peringkat negeri bagi memantapkan struktur organisasi Kementerian.


Kementerian tersebut juga berjaya membuat beberapa perubahan dasar dan pindaan akta pada dalam tahun 2009 antaranya pindaan Akta RISDA telah diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-12, Dasar Pembangunan dan Pemberimilikan Tanah Orang Asli telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-65.


Selain itu, penubuhan Focus Group Membasmi Kemiskinan di Peringkat Daerah telah diluluskan oleh Jemaah Menteri yang  melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai Daerah dan para pegawai yang berkaitan.


Apa yang paling penting, usaha perlu dipertingkatkan bagi memastikan  masyarakat luar bandar negara setaraf dengan masyarakat luar bandar di negara maju dari aspek kesihatan, pendidikan, sikap dan cara hidup, perlu dilakukan sekarang.


Segala persepsi negatif mengenai luar bandar yang  digambarkan banyak kemiskinan dan tiada peluang pekerjaan perlulah diubah dan dikikis.


Malaysia perlu mencontohi bagaimana negara-negara maju telah berjaya mengubah imej luar bandar. Kawasan luar bandar yang berimejkan mundur, tidak maju dan tidak mempunyai nilai kekayaan telah berjaya ditukar menjadi tempat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa disertai dengan peluang-peluang dalam bidang perekonomian dan industri.


Kita hendaklah mencontohi  negara Jepun, kawasan luar bandar bukan hanya sebagai tempat melancong, malahan menjadi pilihan penempatan bagi golongan elit dan penduduk berpendapatan tinggi.


Dalam perkara berkaitan, langkah untuk memperkasa pembangunan usahawan juga perlu diteruskan. Mengambil contoh kejayaan Amerika Syarikat, hampir 80 peratus daripada syarikat yang menggerakkan ekonomi negara tersebut adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana atau EKS.


Di negara kita juga terdapat bilangan usahawan EKS yang sangat besar  boleh menjadi  peneraju dalam mencipta kekayaan.  Sehubungan itu, jelas beliau  program pembangunan usahawan yang akan digerakkan selepas ini, mestilah bersifat bersepadu, holistik dan berterusan dan boleh mencapai matlamat tersebut


Jelas beliau, satu kajian keberkesanan perlu dijalankan segera bagi menambah baik program pembangunan usahawan ke arah melahirkan usahawan yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan selaras dengan lanskap perniagaan kini yang telah berubah.


Sehubungan itu, pelaksanaan program perlu lebih fleksibel supaya dapat  menepati kehendak komuniti usahawan di semua peringkat.


Produk atau perkhidmatan boleh hanya terhad untuk dipasarkan di dalam negara malah boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article