- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Meluaskan akses pendidikan yang berkualiti :

Must read

tumpuan khusus 4  sub-NKRA pendidikan


Tahun 2010 turut memperlihatkan cabaran yang menuntut komitmen dan iltizam semua warga pendidik adalah meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan sebagaimana yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.


Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, ada menyatakan bahawa kementerian akan memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk mencapai sasaran awal empat sub-NKRA pendidikan.


Pertama, untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, sasaran Kementerian bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, malah juga meliputi kanak-kanak yang berumur 4 tahun. Penyertaan kanak-kanak seawal umur 4 tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.


Setakat ini, sejumlah 67 peratus kanak-kanak telah mengikuti prasekolah kerajaan dan swasta. Sasaran bagi tahun 2010, iaitu peningkatan 5 peratus kepada 72 peratus bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, kerana tanggungjawab ini akan dipikul bersama oleh agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Selaras dengan ini, Kementerian telah menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun 2010 ini. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta, akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).


Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid.


Sasaran Kedua, adalah penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira murid akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS) pada peringkat sekolah rendah.


Pada masa kini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu kepada 90 peratus. Sasaran tersebut  akan disokong dengan menempatkan guru-guru yang terbaik untuk mengajar Tahun 1, menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah 1 guru kepada 15 orang murid daripada nisbah sedia ada iaitu 1 guru kepada 1 sekolah.


Ia akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program ini juga akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.


Sasaran seterusnya Ketiga, adalah  untuk melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi akan dicapai dengan mewujudkan sekolah berkesan atau effective schools yang mempunyai identiti tersendiri yang unik, berbudaya kerja sangat tinggi dengan modal insan yang berkembang secara holistik, berdaya saing serta diiktiraf dalam dan luar negara.


Sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini agar matlamat menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012 tercapai.


Kementerian tersebut, turut berharap agar hasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah sebegini menjadi realiti dan seterusnya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam mencipta kecemerlangan institusi masing-masing.


Sasaran terakhir, keempat, Kementerian telah merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah yang telah berusaha memajukan serta menyumbang kepada profesionalisme pengurusan dan kesejahteraan institusi masing-masing.


Bermula tahun 2010 juga, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran yang perlu dicapai dengan persetujuan bersama Kementerian. Pencapaian prestasi sekolah adalah berdasarkan skor komposit iaitu kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai kedudukan tertinggi akan layak menerima ganjaran.


Kementerian berharap agar ganjaran ini menjadi pendorong kepada semua pemimpin sekolah untuk terus berusaha dengan gigih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kualiti sekolah sehingga menjadi sekolah berprestasi tinggi.
 
Dalam usaha Malaysia untuk menjadi negara maju, negara  perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi.


Menyedari hakikat tersebut, Kementerian telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka.


Selain itu, kementerian juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Langkah ini diyakini mampu meningkatkan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, seterusnya membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh negara.


Salah satu aspek penting, melakukan penandaarasan pendidikan negara bagi memastikan pendidikan negara kita setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Dengan mengambil kira kesesuaian konteks pendidikan Malaysia, Kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama UNESCO bagi membolehkan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambahbaik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran dan aspek-aspek lain secara keseluruhannya. 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article