- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Empat (4) Insentif Jalur Lebar Negara

Must read

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan empat insentif dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.

Pengumuman tersebut penting memandangkan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) diyakini menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi negara. Insentif yang diumumkan sempena majlis pelancaran NBI dan HSBB di Dataran Merdeka adalah:

  • Pelaksanaan pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) ke rumah yang akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 isi rumah di 246 lokasi membabitkan peruntukan RM60 juta;
  • Penubuhan pusat internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberikan liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna;
  • e-kiosk yang akan disediakan di pusat kemasyarakatan dan pejabat mukim di 1,105 mukim di seluruh negara membabitkan peruntukan RM40 juta dan
  • Liputan selular awam di 873 menara baru telekomunikasi yang akan dibina di seluruh negara termasuk 278 di Sabah dan 257 di Sarawak.

Selain itu, Perdana Menteri turut berkata sebagai tambahan kepada insentif berkenaan, RM1 bilion akan digunakan daripada Dana Khidmat Sejagat (UPS) dengan persetujuan penyedia perkhidmatan untuk digunakan bagi mengagihkan komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Ia akan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menentukan pembahagian komputer riba tersebut.

Jelasnya lagi, Telekom Malaysia (TM) juga bersetuju memperkenalkan pakej jalur lebar berserta rangkaian dengan bayaran dikurangkan daripada RM50 kepada RM38 manakala kawasan Penyedia Perkhidmatan Universal (USP), jumlahnya dikurangkan lagi kepada RM20.

Pada majlis yang sama, ketika mengadakan sesi sidang video bersama Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin kaum di kawasan Kota Samarahan selepas pelancaran NBI dan HSBB, Perdana Menteri berkata kerajaan pusat akan berusaha menyegerakan lagi pembangunan di Sarawak.

Menurut beliau, kerajaan akan menyegerakan serta mempercepatkan pembangunan IT (teknologi maklumat) di seluruh Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article