- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Berfikir di luar dari kebiasaan

Must read


untuk selesaikan masalah


Rentetan dari pengumuman Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani semasa sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai pendekatan bagi mencapai Budaya Pasukan Berprestasi Tinggi (HPT), dan salah satu usaha yang telah dikenal pasti adalah melalui Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK).

Salah satu dari ciri yang mampu menjana penghasilan idea dan keupayaan para penjawat awam adalah dengan berfikiran di luar dari kebiasaan.


Hal ini ditekankan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YBhg. Datu Ose Murang semasa Majlis Penutupan Bengkel KIK Siri 4 pada 7 Mac lalu.


Beliau menjelaskan, bagi seorang anggota KIK untuk kelihatan atau menjadi berbeza, dan untuk menjadi inovatif dan kreatif, mereka perlu mampu meletakkan sasaran-sasaran yang boleh jadi sukar untuk dicapai.


Jelas beliau lagi, dengan itu mereka perlu berfikir secara inovatif dan kreatif, selain dari bersifat artistik, berimaginasi dan mampu menghasilkan idea-idea yang akan dapat menarik rakan sekumpulan.


“Untuk menjadi kreatif, anda perlu menghasilkan banyak idea, dan untuk itu anda semua harus menggalakkan satu sama lain untuk menghasilkan buah fikiran. Anda juga perlu merangka rancangan untuk melaksanakan idea-idea yang terhasil, dan bukan hanya bermimpikan idea-idea tersebut semata-mata. Semua itu tidak akan berguna sekiranya tidak digunakan,” kata YBhg Datu Ose Murang.


Tambah beliau lagi, hanya sekiranya hasil-hasilnya menjadi nyata, barulah idea-idea yang menjadi puncanya boleh dianggap inovatif, dan impak darinya juga haruslah mampu membawa perubahan agar bukan sahaja para penjawat awam, malah rakan-rakan sektor berkenaan dan seterusnya orang ramai akan mengiktiraf sistem penyampaian perkhidmatan mereka.


“Jika tidak umum akan berkata kita berbuat sesuatu yang tidak begitu betul. Adalah penting bagi kita untuk menjadi kreatif dan inovatif, serta menterjemahkan idea-idea kita bagi membawa manfaat kepada orang ramai, dan juga digunakan bagi memperkukuhkan kehidupan kerja seharian kita,” kata YBhg Datu Ose Murang.


Seramai 75 orang pegawai dari pelbagai agensi menghadiri bengkel 2 hari yang merupakan yang keempat setelah yang pertama bagi Zon Selatan diadakan di Kuching pada 18 hingga 19 Mac lalu, seterus Zon Tengah di Sibu (22 hingga 23 Mac) dan Zon Utara di Miri (25 hingga 26 Mac).


YBhg Datu Ose Murang memberitahu segala tindakan yang dilakukan adalah melambangkan pemikiran atau minda.


Beliau menggalakkan mereka yang menghadiri bengkel kali ini sentiasa mempraktikkan apa yang dipelajari dan mengubah cara berfikir, agar mereka akan terus kekal inovatif dan kreatif.


“Harapannya bengkel ini akan menjadi titik permulaan kita berfikir secara luar dari kebiasaan, atau ‘think outside the box’. Teruskanlah menghasilkan idea-idea baru, janganlah menganggap sasaran-sasaran anda sentiasa mudah dicapai dan jangan mengongkong pemikiran anda, bukan sahaja untuk manfaat jabatan-jabatan anda, malahan orang ramai secara amnya. Hasilnya nanti, ia akan membawa kebaikan kepada semua,” nasihat beliau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article