- Advertisement -spot_img
4,836
published news
and counting

Yayasan Sarawak Pindah ke Ibu Pejabat Baru

Must read

Visi Yayasan Sarawak untuk menjadi organisasi terunggul sebagai pemangkin pembangunan pendidikan dalam perkhidmatan bagi pembangunan modal insan berkualiti ke arah sebuah negara maju kian kukuh dengan adanya lokasi ibu pejabat sendiri mereka sekarang.

Yayasan Sarawak yang sebelum ini beribu pejabat di Wisma Satok, Kuching kini sudah berpindah pusat pentadbiran mereka ke ibu pejabat di Jalan Cahaya Indah, off Jalan Sultan Tengah, Kuching, dan ibu pejabat baru itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 27 Mei nanti.

Pada pagi 15 April lalu, Yayasan Sarawak yang diterajui oleh Pengarahnya, Encik Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengadakan satu sesi taklimat bagi pihak media bagi memperjelaskan perpindahan ibu pejabat baru yayasan tersebut di samping membawa para wakil media melawat kawasan sekitar ibu pejabat yang mempunyai keluasan 18 hektar dan telah menelan perbelanjaan sebanyak RM18 juta untuk disiapkan.

Ibu Pejabat Yayasan Sarawak yang baru itu bukan sahaja menempatkan blok pentadbiran yayasan tersebut, malah juga asrama pelajar, sebuah auditorium yang boleh menempatkan kira-kira 210 orang serta kemudahan-kemudahan sukan seperti padang bola sepak, futsal, sepak takraw dan lain-lain yang bukan sahaja digunakan oleh Yayasan Sarawak tetapi juga oleh orang awam.

“Ini adalah satu kompleks pendidikan, satu manifestasi fungsi Yayasan Sarawak,” kata Encik Mohamad Abu Bakar semasa sesi taklimat itu yang diadakan di dalam auditorium yang digunakan untuk mengadakan seminar dan ceramah pendidikan.

Encik Mohamad Abu Bakar seterusnya memberitahu Yayasan Sarawak sekarang bukan lagi hanya menyediakan bantuan, pinjaman atau biasiswa pelajaran kepada para pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah, sehinggalah ke peringkat universiti semata-mata, namun juga turun ke kampung-kampung dan kawasan luar bandar yang lain bagi mengadakan program-program komuniti kepada para ibu bapa agar mereka akan sedar akan kepentingan pendidikan.

“Kita tidak mahu para pelajar kita yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tidak melakukannya kerana mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan atau tidak mempunyai kemudahannya. Kita ingin memberikan kesedaran kepada mereka dan ibu bapa mereka bagaimana kita boleh membantu,” katanya.

Yayasan Sarawak katanya lagi, bukan sahaja menawarkan bantuan kepada para pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi, namun juga bagi mereka yang memilih untuk menghadiri kursus kemahiran demi untuk memajukan peluang pekerjaan mereka.

Encik Mohamad Abu Bakar juga menyatakan cabaran-cabaran yang dihadapi Yayasan Sarawak sekarang, termasuklah bilangan permohonan bantuan yang kian meningkat, tahap kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan yang masih kurang, penggantungan masyarakat sekarang kepada bantuan kewangan, perlunya untuk menanam sikap menabung untuk pendidikan sekarang selain dari kekurangan minat lepasan sekolah terhadap kursus kemahiran.

Menurutnya lagi, Yayasan Sarawak yang ditubuhkan pada 27 Mei 1971 mempunyai tanggungjawab yang ada bukan sahaja semasa waktu pejabat dan Encik Mohamad Abu Bakar juga meminta pihak media untuk membantu menyebarkan kepada masyarakat mengenai perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan Yayasan Sarawak.

Fokus dan rancangan yayasan tersebut sekarang adalah untuk meningkatkan dan mengukuhkan sistem penyampaian, program “Yayasan Sarawak masuk kampung, menggalakkan para pelajar menceburi kursus-kursus kritikal, meningkatkan peluang pendidikan untuk semua dan menambah kesedaran mengenai pentingnya pendidikan.

Biarpun sudah berpindah ke ibu pejabat yang baru, orang ramai masih lagi boleh berurusan dengan Yayasan Sarawak di Bandar Raya Kuching dengan adanya ‘pejabat bandar raya’ yayasan berkenaan di Tingkat 1, Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Masjid, 93100 Kuching.
 

 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article