dan bersabar dalam berhadapan dengan orang ramai
Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, YBhg Md Yahya Basimin mengingatkan para penjawat awam yang mereka perlu sedar dan sensitif terhadap keluhan dan kritikan orang awam, memandangkan mereka bukan sahaja terdiri dari ‘orang biasa’ namun juga termasuk mereka yang berpendidikan dan berjawatan tinggi dalam sektor swasta.
Golongan tersebut, kata YBhg Md Yahya semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi-agensi Persekutuan Negeri Sarawak di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kota Samarahan pada 4 Mei lalu, semakin kritikal dengan pelbagai dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan serta menuntut penjelasan yang logikal dan meyakinkan.
“Justeru itu, pegawai awam perlu lebih proaktif dalam memberi penjelasan supaya gambaran yang menyeluruh mengenai rasional dan faedah sesuatu dasar dilaksanakan,” kata YBhg Md Yahya semasa majlis yang bertemakan “Gunatenaga Mahir Memacu Ekonomi Negara” itu.
Selain dari itu juga beliau berkata orang ramai mempunyai ekspektasi tinggi terhadap mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan dan mereka perlu bersikap terbuka sama ada untuk mengkritik mahupun menyampaikan maklum balas yang positif terhadap perkhidmatan yang diberikan.
“Dalam hal sedemikian, penjawat awam perlu bersikap responsif dan sensitif terhadap setiap maklum balas orang ramai supaya dapat menangani sebaik-baiknya walau perkara sekecil mana sekalipun,” YBhg Md Yahya menjelaskan.
Anggota perkhidmatan awam juga perlu mempunyai kemahiran yang tinggi untuk berinteraksi dengan orang ramai, bersedia untuk mendengar keluhan, rintihan dan rungutan mereka dan mempunyai sifat penyabar yang tinggi untuk menghadapi orang awam.
“Anggota perkhidmatan awam juga perlu mempunyai daya responsif yang tinggi kepada masalah-masalah yang dibangkitkan oleh orang ramai,” tambah beliau.
YBhg Md Yahya juga berkata ketua-ketua jabatan perkhidmatan awam perlu mengubah cara berfikir (mindset) mereka supaya menjadi lebih kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah da meningkatkan sistem penyampaian tanpa perlu melibatkan pertambahan sama ada dari segi perbelanjaan atau perjawatan.
“Contoh inovasi yang dilaksanakan oleh Perkhidmatan Awam yang membolehkan 7,402 anggota Polis Di-Raja Malaysia kembali bertugas menjaga keselamatan awam dengan menggantikan mereka yang melaksanakan tugas-tugas perkeranian di balai-balai polis seluruh negara dengan hanya digantikan 4,200 orang kakitangan awam PT (P/O) Gred N17. Inilah satu contoh yang tidak melibatkan peruntukan kerajaan yang banyak dan pertambahan jawatan,” beliau memperjelaskan.
YBhg Md Yahya Basimin seterusnya mengingatkan yang sememangnya adalah lazim dan menjadi satu lumrah alam bahawa setiap perubahan yang dilaksanakan akan menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak tertentu.
“Namun demikian, penambahbaikan dan pembaharuan perlu dilakukan di mana adakalanya memerlukan tindakan-tindakan yang dianggap radikal di peringkat permulaan,” kata beliau. “Perasaan tidak puas hati tetap akan timbul walaupun penambahbaikan dalam perkhidmatan awam telah dilaksanakan namun diyakini bilangannya akan berkurangan dengan signifikan.”
Setiap pihak juga, beliau mengingatkan, perlu sentiasa melaksanakan inisiatif-inisiatif penambahbaikan terhadap proses kerja dan sistem penyampaian masing-masing selaras dengan pendekatan yang ditekankan oleh Perdana Menteri, ‘business is not as usual’, dan setiap prosedur atau proses kerja yang sedia ada hendaklah diteliti dan sebarang pertindihan yang dikenalpasti harus dihapuskan.
Beliau juga menegaskan berkenaan penggunaan maklumat data yang dipunyai oleh sesebuah jabatan bukanlah kepunyaan hak mutlak jabatan berkenaan, dan ia sepatutnya dapat dikongsi dengan jabatan-jabatan lain, serta maklumat yang dibangunkan itu juga boleh digunakan oleh mengatasi kekurangan atau kelemahan yang ada.
Ia juga seterusnya boleh digunapakai untuk mewujudkan pangkalan maklumat yang bersepadu bagi membolehkan perkongsian maklumat yang tepat, cepat dan telus di kalangan jabatan dan agensi kerajaan.
“Saya berharap suatu hari nanti pejabat-pejabat Persekutuan di Sarawak akan menggunakan sistem perkongsian maklumat maklumat di antara agensi di negeri ini dengan berkesan. Saya ingin mengingatkan bahawa setiap ketua jabatan dan anggota perkhidmatan awam Persekutuan di Sarawak mempunyai peranan masing-masing dan mereka diperlukan untuk melaksanakan segala dasar dan program yang telah dilancarkan,” YBhg Md Yahya Basimin berkata.