- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak akan berjaya

Must read

Lepasi Segala Perubahan dan Cabaran Mendatang : KM


 

Para penjawat awam di Sarawak harus bersedia untuk menghadapi perubahan yang kian pantas berlaku dalam globalisasi dunia kini serta juga menyesuaikan diri dalam trend terkini sekiranya ingin berada sebaris dengan rakan-rakan di negara-negara maju lain.

 

Demikianlah amanat Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud semasa merasmikan Anugerah Kualiti Ketua Menteri 2009 dan Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010 di Kuching pada 5 Mei lalu.

 


“Kita hidup dalam dunia yang mengalami globalisasi, jadi kita harus bijak menyesuaikan diri demi untuk terus kekal relevan”, kata Pehin Sri Haji Abdul Taib dalam perasmian persidangan yang bertemakan “Perkhidmatan Awam yang Inovatif dan Kreatif: Menanda-aras Amalan Bertaraf Dunia” itu.


 


Biarpun mengakui dunia sekarang sememangnya amat mencabar, Pehin Sri Haji Abdul Taib menyuarakan keyakinan beliau bahawa Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak akan berjaya melepasi segala perubahan dan cabaran mendatang yang mereka bakal hadapi.


 


Beliau berkata juga biarpun para penjawat awam telah berjaya melaksanakan tugas-tugas mereka lebih cekap dan pantas dilaksanakan melalui penyesuaian diri mereka dengan teknologi-teknologi terkini, terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Pehin Sri Haji Abdul Taib mencadangkan agar Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak mewujudkan satu sistem bagi menambahbaik tugas-tugas pentadbiran dan perkhidmatan mereka.


 


Mereka perlu terus memperbaiki sistem perkhidmatan yang ditawarkan mereka, dan tidak sepatutnya mudah berpuas hati dan merasakan mereka sudah mencapai sepenuhnya transformasi yang disasarkan bagi organisasi serta pihak pengurusan mereka.


 


“Perubahan-perubahan pasti akan datang dan kita harus menerimanya. Kita harus mampu mempelajari perkara-perkara terkini bagi menggunakan sepenuhnya proses-proses yang berjaya serta amalan-amalan pengurusan yang boleh membantu kita dalam menjalani proses transformasi berterusan,” jelas beliau.


 


“Kita perlu faham transformasi adalah sesuatu yang harus ditangani secara berterusan. Kita telah lihat pada peringkat Pusat, pelbagai masalah telah dikenalpasti oleh Kerajaan dan pelaksanaan banyak rancangan pembangunan kadangkala tidak berlaku sepantas yang diharapkan,” tambah beliau


 


Oleh sebab itulah, kata beliau lagi, Perdana Menteri telah cuba untuk memperjelaskan kepada orang ramai bahawa perubahan-perubahan yang perlu tidak boleh berlaku secara kecil-kecilan atau sedikit demi sedikit, namun secara menyeluruh.


 


Disebabkan itu, perkhidmatan awam bukan sahaja harus menjalani transformasi segera, namun juga harus berfungsi sepantas yang boleh bagi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat secara keseluruhannya.


 


Biarpun begitu, proses transformasi juga harus ditangani dan diuruskan dengan penuh berhati-hati agar tidak menjejaskan kelancaran usaha-usaha pembangunan.


 


YAB Pehin Sri Abdul Taib juga turut melahirkan rasa puas hati beliau dengan proses tranformasi yang telah dilaksanakan oleh para penjawat awam di negeri ini.


 


“Sebagai pemimpin negeri ini, saya cukup berbangga atas kerjasama para penjawat awam kita sehingga mampu meletakkan Sarawak berdaya saing dalam pembangunan ekonomi secara globalisasi,” jelas Ketua Menteri.


 


Beliau memberikan contoh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Negeri Sarawak yang telah berjaya melaksanakan satu proses transformasi jabatan tersebut melalui pengenalan Sistem Maklumat Tanah dan Survei (LASIS) yang cepat pelaksanaan dan fungsinya, sehingga berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.


 


Ketua Menteri juga mengingatkan para penjawat awam yang mereka harus mengubah pandangan mereka agar peka terhadap perubahan politik untuk terus kekal relevan.


 


“Untuk itu, anda harus mewujudkan suatu ‘antena’ di peringkat akar umbi perkhidmatan anda, bermaksud pandangan perkhidmatan awam harus berubah, dari yang peka kepada perubahan politik, biarpun anda tidak terlibat dalam politik” kata beliau.


 


Tambah beliau, ia adalah satu cabaran yang perlu dikaji perkhidmatan awam demi untuk memberikan perkhidmatan terbaik.


 


Mendapatkan maklumbalas dari rakyat di peringkat akar umbi boleh menjadi salah satu kaedah berinteraksi yang harus dilaksanakan dalam proses mentransformasikan perkhidmatan awam.


 


“Ini adalah sesuatu yang memerlukan orang-orang tertentu untuk menjadi cukup peka bagi mengenalpasti perubahan cara rakyat untuk berinteraksi dengan kita, dan saya boleh lihat contoh di peringkat akar umbi sekarang, yang orang ramai bukan sahaja inginkan perkhidmatan bagi mereka, namun mereka juga inginkan perkhidmatan yang sepantas mungkin,” jelas YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib.


 


Biarpun para penjawat awam tidak sepatutnya terlibat dengan politik secara nyata, mereka harus memahami aspirasi kerajaan yang sering turun padang bagi mendekati dan memahami perubahan pandangan dan sikap rakyat bagi memahami perasaan mereka, beliau berkata.


 


Menurut Ketua Menteri, segala kritikan dan aduan yang dibuat terhadap perkhidmatan awam haruslah dikaji secara profesional serta ditangani dengan cara yang imaginatif.


 


“Kerajaan negeri tidaklah meminta para penjawat awam sentiasa melakukan sesuatu yang mustahil. Cukuplah untuk mereka menyampaikan perkhidmatan mereka secara berkesan dengan sebaik mungkin,” kata beliau lagi.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article