- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Program Sejiwa Senada, Inisiatif Terkini

Must read

Selain dari mengenalpasti Aktiviti-aktiviti Fokus Utama (KFAs) serta penganjuran Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) yang diadakan pada tahun ini, perkhidmatan awam negeri ini akan melaksanakan Program Sejiwa Senada sebagai salah satu inisiatif terkini dalam proses transformasinya agar menjadi lebih responsif dan berkesan.

 

Ini dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani semasa berucap dalam Majlis Penutupan Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2009 pada 6 Mei lalu.

 

Program Sejiwa Senada, jelas beliau adalah satu program Kerajaan bersama rakyat yang akan diadakan di setiap bahagian negeri Sarawak bermula pertengahan tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

 

“Setiap jabatan dan agensi kerajaan kerajaan negeri dan Persekutuan akan berpeluang untuk mempamerkan pencapaian dan penambahbaikan jabatan masing-masing serta perkhidmatan yang ditawarkan Kerajaan kepada rakyat,” YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi menjelaskan.

 

Tambah beliau, rakyat juga akan berpeluang melalui program tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan agensi-agensi dan jabatan-jabatan terlibat semasa ianya dijalankan serta berpeluang memberikan pendapat mereka mengenai penambahbaikan perkhidmatan itu.

 

Program Sejiwa Senada, yang selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, mempunyai konsep-konsep sebagai satu platform bagi agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Sarawak untuk menyebarkan pelbagai maklumat terkini dan relevan kepada rakyat, memaklumkan juga mereka mengenai inisiatif-inisiatif inovasi dan kreativiti dan penambahbaikan dalam sistem dan proses penyampaian perkhidmatan awam.

 

Selain dari itu, program itu juga mempunyai objektif antaranya merapatkan hubungan Kerajaan dengan rakyat, melibatkan rakyat dalam proses transformasi PANS, mendapatkan maklumbalas rakyat berhubung penyampaian perkhidmatan dan membantu rakyat menyelesaikan masalah-masalah semasa di peringkat Bahagian/Daerah mereka.

 

Program yang mempunyai format aktiviti yang termasuk sukan dan rekreasi, pertandingan, hiburan, pendidikan dan pameran itu mempunyai kumpulan sasaran yang meliputi rakyat, para penjawat awam, pemimpin masyarakat, belia, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para pelajar sekolah dan lepasan sekolah.

 

12 buah program jerayawara Program Sejiwa Senada dijangka akan berlangsung di seluruh negeri Sarawak bermula Jun hadapan hingga Mac 2011.

 

YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi seterusnya menjelaskan mengenai inisiatif KFA semasa berucap dalam majlis yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan itu, yang merupakan satu proses kerja yang telah dikenalpasti dan perlu ditambahbaik oleh agensi-agensi kerajaan agar para penjawat awam dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap dan pantas

 

“Untuk tahun ini kita telah meminta setiap agensi untuk mengenalpasti sekurang-kurangnya dua proses kerja yang perlu ditambahbaik. Kita setakat ini telah mencapai jumlah 129 KFA yang harapannya akan berjaya dicapai menjelang hujung tahun ini,” kata beliau.

 

Beliau juga menyatakan harapan agar persidangan julung kali yang bertemakan “Perkhidmatan Awam yang Inovatif dan Kreatif: Menanda-Aras Amalan Bertaraf Dunia” itu telah mencapai objektifnya di mana para peserta telah mendapat pengetahuan baru atau mendapat anjakan minda.

 

“Saya juga berharap semua peserta akan kembali ke organisasi masing-masing dengan membawa pengetahuan, perubahan minda dan paradigma baru bagi meningkatkan dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan kita kepada rakyat,” YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi berkata.

 

Beliau juga berharap persidangan yang berlangsung sempena Majlis Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak 2009 (AKKMS 2009) yang diadakan setiap tahun, telah membolehkan para peserta berpeluang memperolehi maklumat terkini dan menghayati amalan-amalan kreatif dan inovatif dalam perkhidmatan awam, seterusnya membolehkan perkongsian pengetahuan tersebut dimanfaat sepenuhnya oleh semua peserta.

 

Tema untuk persidangan tahun ini, juga kata beliau amat bertepatan dengan era globalisasi yang mencabar, yang memerlukan para penjawat awam untuk membuat anjakan kepada satu bentuk ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi agar Sarawak khususnya dan negara ini amnya akan meningkat maju dan berdaya saing menjelang tahun 2020.

 

“Usaha seperti ini hanya akan berjaya sekiranya perkhidmatan awam kita lebih fokus kepada ilmu pengetahuan tinggi dan berinovatif khususnya dalam menjalani transformasi perkhidmatan awam untuk mencapai hasrat kita bagi mencapai status negara yang berekonomi berpendapatan tinggi,” beliau menyatakan.

 

Persidangan kali ini juga mempunyai objektif mempelajari cara pengurusan, amalan-amalan serta cabaran pengurusan terkini dan bertaraf dunia dan mengadakan perbincangan mengenai inisiatif-inisiatif, strategi-strategi serta program-program masa kini berkaitan dengan penjayaan Model Ekonomi Baru dan transformasi berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif.

 

Ia juga memungkinkan perkongsian, penjanaan dan percambahan idea di antara organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan dan prestasi tinggi serta merangka strategi serta melaksanakan amalan-amalan bertaraf dunia bagi organisasi-organisasi berkenaan.

 

“Semua objektif ini adalah selaras dengan usaha kita untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang memberi impak berganda kepada rakyat secara keseluruhannya,” kata YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi.

 

 

 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article