- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sepintas Lalu…Pendidikan di dalam RMK10

Must read

Teras Strategik Keempat : Membangun Dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia

Sistem pendidikan dan latihan akan diperkukuhkan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan juga akan memastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.
 
Peningkatan Kualiti Pelajar
 
Nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan dipertingkatkan.
 
Bagi merealisasikannya, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan, termasuk menjadikannya sebagai syarat kelayakan pelantikan guru di peringkat prasekolah.
 
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditubuhkan untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.
 
Setakat ini, sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT dan bilangannya akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012, terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh. Sekolah Amanah, atau Trust Schools, akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian “awam – swasta” dalam pengurusan sekolah-sekolah Kerajaan yang terpilih.
 
Sekolah-sekolah itu akan diberi autonomi bagi meningkatkan prestasi pelajar. Antaranya, keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.
 
Sekolah bantuan modal akan dibantu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah. Bagi mengubah suai dan menaik taraf sekolah berkenaan, peruntukan sebanyak RM280 juta akan disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012.
 
Dengan ini, setiap kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangssan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh akan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012.
 
Bagi membiayai pembayaran utiliti, Kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap sekolah berkenaan. Ia akan mememberi manfaat kepada hampir 1,900 buah sekolah bantuan modal. Kerajaan menjadikan pendidikan awal kanak-kanak sebagai agenda penting nasional melalui program PERMATA.
 
Mengikut kajian pakar tentang kanak-kanak, secara amnya terdapat seorang yang pintar cerdas dari kalangan 10,000 kanak-kanak. Mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta. Secara rasionalnya, terdapat sekurang-kurangnya 900 orang pintar cerdas dari kalangan kanak-kanak di Malaysia.
 
Penyertaan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67 peratus pada tahun 2010 kepada 87 peratus pada tahun 2012. Penambahan kelas prasekolah di sekolah rendah kerajaan akan dilaksanakan, di samping menggalakkan sektor swasta menyediakan pendidikan prasekolah. Insentif sebanyak RM10 ribu akan diberi kepada sektor swasta yang menubuhkan institusi prasekolah swasta.
 
Umur persekolahan formal prasekolah juga akan dikurangkan dari 6 tahun kepada 5 tahun menjelang 2015 untuk meningkatkan akses kepada pendidikan formal pada peringkat awal kanak-kanak.
 
Mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional
 
Seramai 100,000 lepasan SPM atau 22 peratus memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran. Oleh itu, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan dipertingkatkan. Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional.
 
Sijil Kemahiran Malaysia pula akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi.
 
Hanya 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja Malaysia merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Negara perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju.
 
Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, Kerajaan akan mengambil enam langkah berikut.
 

  • Pertama, memperluas liputan geran sepadan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu majikan industri kecil juga sederhana melatih pekerja mereka;
  • Kedua, menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk peningkatan kelayakan;
  • Ketiga, menubuhkan tabung untuk pembiayaan bersama, iaitu kerajaan dan majikan sama-sama membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang yang berkaitan dengan industri di mana pekerja itu bekerja;
  • Keempat, memperluas pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70 peratus secara hands on di tempat kerja dan 30 peratus latihan teori di institusi latihan;
  • Kelima, mempergiat pelaksanaan pengiktirafan pencapaian terdahulu, iaitu menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja; 
  • Keenam, menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional.
 
Peningkatan Kompetensi Graduan
 
Employability atau boleh upaya diambil kerja graduan akan dijadikan satu daripada KPI universiti untuk meningkatkan kompetensi graduan. Penyediaan peruntukan kewangan kepada universiti akan bergantung kepada sejauh mana universiti mencapai KPI yang ditetapkan. Kerajaan juga akan memberi autonomi kepada universiti secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.
 
Kualiti staf akademik akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD, iaitu 75 peratus bagi Universiti Penyelidikan atau Research University, dan 60 peratus bagi universiti awam lain.

Pelaksanaan program MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dengan matlamat meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 pada tahun 2015, akan dipergiatkan untuk mencapai sasaran itu.

 
Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan di antara pertumbuhan ekonomi dan kegiatan R&D pengajian tinggi. Sehubungan itu, kerajaan telah mengiktiraf UM, UKM, UPM, USM dan UTM sebagai universiti penyelidikan.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article