- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

SDSI galak peningkatan jumlah usahawan

Must read

di Sarawak Program Showcase, promosi produk tempatan ke peringkat antarabangsa

Program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang bermula pada 2006 telah menampakkan kejayaan nyata dalam trend peningkatan minat untuk menjadi usahawan, selain dari segi kewangan serta pembangunan keusahawanan di negeri ini.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Pembangunan Usahawan Bumiputera), YB Haji Mohd Naroden Majais, peningkatan dari segi jumlah usahawan sejak bermulanya program tahunan itu empat (4) tahun lalu dapat dilihat dengan wujudnya kira-kira 90,000 orang usahawan di seluruh Sarawak yang telah memulakan perniagaan mereka dengan bantuan agensi-agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN.

“Sejak kita bermula pada tahun 2006, kita telah melihat pertambahan jumlah usahawan yang mendadak, termasuk kira-kira 50,000 orang usahawan bagi sebuah syarikat jualan langsung. Itu baru sebuah syarikat sahaja,” jelas YB Haji Naroden dalam satu sidang akhbar mengenai Program Showcase SDSI Peringkat Zon Sarawak/Sabah 2010 di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada 29 Jun lalu.

Di samping itu, kata beliau lagi, dari segi kewangan, para usahawan telah mencatatkan kejayaan, seperti lahirnya pengusaha perusahaan kek lapis Sarawak yang menjadi jutawan, selain dari kejayaan pembangunan bidang keusahawanan di Sarawak, yang meliputi semua rakyat negeri ini tidak kira Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Beliau juga menjelaskan banyak produk-produk usahawan negeri ini telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, seperti kerepek, yang menurut beliau amat popular di London, dengan adanya permintaan untuk lima (5) buah kontena kerepek dari sana setiap bulan, sedangkan Sarawak hanya mampu membekalkan satu kontena sahaja.

Lain-lain produk dari para usahawan Sarawak yang laris dan mempunyai permintaan yang memberangsangkan termasuk ‘umai’, ‘tebaloi’, sesar udang, sos lada Sarawak serta ikan keli dalam tin, yang menurut beliau mungkin masih baru namun mempunyai potensi yang amat besar.
 
Program Showcase SDSI merupakan pameran tahunan terbesar yang menghimpunkan produk-produk dan perkhidmatan SDSI dari seluruh Malaysia dalam usaha untuk memasarkan dan mempromosikan keluaran SDSI di peringkat domestik dan global.

Ianya adalah satu program yang dianjurkan selaras dengan tanggungjawab Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai Pengerusi Pelaksana Pemasaran dan Promosi SDSI di bawah Jawatankuasa SDSI Peringkat Kebangsaan yang diketuai YAB Timbalan Perdana Menteri.

YB Haji Naroden memberitahu akan terdapat satu kelainan bagi Program Showcase SDSI pada tahun ini, iaitu tidak seperti pada tahun-tahun lalu di mana ia telah berlangsung di Tebingan Kuching, ia akan diadakan di Perkarangan Dewan Undangan Negeri Lama, pada 2 hingga 4 Julai (10 pagi hingga 10 malam setiap hari).

“Selain dari itu, projek-projek SDSI yang akan diketengahkan semasa program tidak akan berasaskan kepada 32 buah daerah di seluruh Sarawak, namun berdasarkan kepada bahagian-bahagian, iaitu 11 buah projek khas semuanya,” jelas beliau.

Program SDSI mempunyai objektif untuk mempromosi serta memasarkan produk-produk usahawan tempatan selain dari para usahawan itu sendiri, selain dari memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk dipilih menyertai program serupa di peringkat nasional yang merupakan acara kemuncak, yang akan dianjurkan pada setiap penghujung tahun (selepas Hari Raya Aidilfitri di Melaka).

Ia juga disasarkan dapat membantu dan memudahkan pemasaran produk-produk dan perkhidmatan SDSI yang berkualiti, serta mempertingkatkan imejnya, dan memberikan pendedahan kepada umum bahawa produk SDSI adalah berpotensi dan berkualiti.

“Di samping itu, kita juga ingin menggalakkan pembinaan rangkaian niaga (business networking) di kalangan para usahawan yang terpilih bagi memajukan produk-produk mereka kepada para usahawan yang menyaksikan sendiri produk-produk tersebut semasa Program Showcase,” kata YB Haji Naroden.

Program Showcase yang bertemakan “Satu Daerah Satu Industri Satu Malaysia, Dari Malaysia Ke Persada Dunia” itu juga diharap dapat mewujudkan dan memperluaskan rantaian perniagaan di antara usahawan SDSI dengan para pembeli, pengedar, ejen pemasaran, stokis, pengimport dan hypermarket dari dalam dan luar negara.

Semasa program tiga hari itu juga, agensi-agensi seperti SME Bank dan Perbadanan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEC) akan menawarkan pinjaman dan geran-geran kepada bakal-bakal usahawan.

YB Naroden berkata lagi, kira-kira 100 buah petak pameran dijangka akan dibuka semasa program, termasuk 68 petak oleh para usahawan terpilih dari seluruh Sarawak, 12 oleh usahawan-usahawan dari Sabah serta 20 oleh agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan.

Program Showcase SDSI 2010 akan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada petang 2 Julai, dan di sepanjang tiga hari penganjurannya, pelbagai aktiviti seperti pameran dan jualan, dialog/seminar keusahawanan, bicara tokoh, pemadanan perniagaan (business matching), khidmat nasihat dan perundingan, serta acara tarikan pengunjung (seperti pertandingan karaoke, demonstrasi masakan, pertunjukan fesyen dan bergendang).

Turut akan diadakan ialah Program Menu Malaysia, iaitu acara promosi dan jualan makanan-makanan popular dari setiap bahagian di seluruh Sarawak.

YB Haji Naroden berkata Program Showcase SDSI pada tahun lalu mencatatkan kedatangan kira-kira 30,000 pengunjung, dengan jualan semasa berlangsungnya program itu berjumlah hampir RM100, 000 keseluruhannya.

“Bagi tahun ini kita mensasarkan jualan mencecah RM150, 000, namun yang lebih penting adalah apa yang diperolehi oleh para usahawan melalui persetujuan bagi kontrak-kontrak di antara mereka dan bakal-bakal pelanggan mereka setelah tamat program,” kata beliau, selain dari menyatakan harapan beliau agar jualan produk-produk usahawan di peringkat domestik dan antarabangsa akan meningkat.

Jumlah usahawan juga dijangka akan meningkat, terutamanya bagi mereka yang beroperasi di luar bandar, khasnya dengan adanya tiga bidang yang dilaksanakan oleh badan-badan dan agensi-agensi kerajaan terlibat, iatu pembinaan keupayaan, promosi dan pemasaran, serta tawaran sokongan kewangan.

YB Haji Naroden juga berkata selain dari Program Showcase SDSI seperti yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Julai nanti, akan dianjurkan juga acara-acara di peringkat bahagian bagi mempromosi produk-produk dari setiap daerah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article