- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Usahawan IKS harus kikis persepsi negatif

Must read

mengenai proses perlindungan harta intelek


Kebanyakan usahawan kecil dan sederhana (IKS) tidak mengeksploitasi sepenuhnya keperluan perlindungan harta intelek, dan ini menghadkan daya saing, kapasiti inovatif dan akses pasaran mereka.

 


“Majoriti mereka lebih menumpukan kepada pengurusan aset ketara seperti kewangan dan infrastruktur, dan mengabai aset tidak ketara seperti modal insan dan pengetahuan berkaitan idea, jenama, reka bentuk dan lain-lain hasil kreativiti dan inovatif,” kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Pembangunan Usahawan Bumiputera), YB Haji Mohd Naroden Haji Majais.


 


Akibatnya, kata beliau semasa merasmikan Kursus Kesedaran Harta Intelek di Pustaka Negeri Sarawak pada 30 Jun lalu, para usahawan IKS bukan sahaja gagal memanfaatkan nilai komersial harta intelek mereka, malah terdedah kepada risiko pelanggaran harta intelek milik pihak lain yang seterusnya membawa kepada implikasi perundangan dan penalti kewangan yang serius.


 


Jelas beliau, antara sebab utama mereka tidak berbuat demikian adalah kerana kekurangan pengetahuan tentang harta intelek produk mereka selain dari mempunyai persepsi bahawa proses perlindungan harta intelek adalah rumit, mengambil masa lama dan juga melibatkan kos tinggi.


 


“Sesungguhnya persepsi sedemikian harus dikikis dari minda para usahawan IKS. Pengurusan harta intelek seharusnya menjadi aktiviti utama dan berterusan bagi setiap usahawan IKS kerana setiap hari produk, jenama dan reka bentuk baru memasuki pasaran dan ini semua harus dilindungi,” kata YB Haji Mohd Naroden.


 


Kata beliau lagi, pendaftaran harta intelek boleh membantu mereka dalam pelbagai aspek pembangunan perniagaan supaya ia menjadi lebih kompetitif, dengan apabila produk dan perkhidmatan mereka dilindungi secara sah, ia akan mendapat tempat yang lebih baik di pasaran, serta membolehkan produk dipasarkan dengan lebih meyakinkan sama ada dengan menggunakan paten, reka bentuk perindustrian, cap dagangan atau cap khidmat.


 


“Dengan adanya perlindungan, produk dan perkhidmatan anda semua menjadi aset yang bernilai kerana ia dikembangkan secara perlesenan atau francais. Para pelabur dan institusi kewangan pula akan meletakkan nilai yang lebih tinggi ke atas barangan dan perkhidmatan yang dilindungi undang-undang,” YB Haji Mohd Naroden menjelaskan.


 


Kursus sehari anjuran bersama Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sarawak dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu disertai oleh 95 orang peserta yang terdiri dari para usahawan, pegawai-pegawai kerajaan, para pelajar IPTA dan IPTS serta pengamal-pengamal harta intelek.


 


Ia mempunyai objektif antara lainnya memberikan pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendaftaran harta intelek dan proses serta prosedur yang terlibat, menggalak usahawan dan mereka yang terlibat untuk mendaftar dan memperolehi hak eksklusif terhadap sesuatu produk atau ciptaan, dan juga bagi meningkat kesedaran tentang pentingnya untuk menghormati hak harta intelek, melindungi dan menguruskan harta intelek sebagai satu aset strategik.


 


Lima ceramah disampaikan semasa kursus, iaitu “Peranan Perbadanan Harta Intelek Malaysia” oleh Timbalan Ketua Pengarah (Industrial Property) MyIPO, Puan Shamsiah Kamaruddin, “Perlindungan Cap Dagangan” serta “Bagaimana Melindungi Reka Bentuk Perindustrian” keduanya oleh Encik Abdul Aziz Ismail, “Petunjuk Geografi Sebagai Alternatif Penjenamaan” oleh Encik Atek @ Sabas Sanggeng dan “Cabaran dan Halangan Dalam Membanteras Penguatkuasaan Barangan Tiruan dan Cetak Rompak” oleh seorang penceramah dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sarawak.


 


YB Haji Mohd Naroden juga memberitahu semasa majlis perasmian yang turut dihadiri oleh Pengarah UPUB, JKM Puan Hajah Sutin Sahmat, mengenai wujudnya empat komponen harta intelek baru yang kurang diketahui umum tetapi amat penting bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya dan hasil buminya.


 


“Komponen-komponen tersebut adalah petunjuk geografi (geographical indication, GI), pengetahuan tradisi (traditional knowledge, TK), sumber genetik (genetic resources, GR) dan penyataan kebudayaan tradisional (traditional cultural expression, TCE),” kata beliau.


 


Sarawak, kata beliau, telah mempunyai produk-produk yang didaftarkan sebagai GI seperti lada Sarawak, beras Bario, beras Bajong dan beras Biris, termasuklah yang terkini, buah dabai.


 


“Usaha perlu terus dipergiatkan untuk mendaftar lebih banyak produk, terutamanya makanan dan hasil pertanian. Saya ingin syorkan tebaloi, kek lapis Sarawak dan banyak produk lain yang khususnya hanya diusahakan di Sarawak untuk membuat pendaftaran GI ke atas produk-produk tersebut,” kata YB Haji Mohd Naroden.


 


Pendaftaran produk sebagai GI, kata beliau, bukan sahaja penting untuk memperolehi harga premium di pasaran tetapi juga bertujuan untuk melindungi hak harta intelek komuniti tempatan dan yang berpotensi sebagai produk pelancongan.


 


Selain dari itu juga, YB Haji Mohd Naroden menyatakan mengenai peningkatan kreativiti dan inovasi rakyat Malaysia serta kecekapan operasi pemprosesan permohonan harta intelek, sesuatu yang dapat dilihat melalui pertambahan bilangan permohonan harta intelek yang difailkan atau didaftarkan di MyIPO.


 


“Bagi negeri Sarawak pada tahun 2008, terdapat sebanyak 173 permohonan cap dagangan, 2 permohonan paten dan satu permohonan GI telah didaftarkan. Pada tahun lalu, jumlah permohonan cap dagangan semakin bertambah sebanyak 35.8 peratus, iaitu kepada 235, permohonan paten kepada 6, dua permohonan reka bentuk perindustrian dan dua permohonan bagi GI,” kata beliau.


 


Pada tahun ini pula, YB Haji Mohd Naroden berkata setakat lima bulan pertama, sebanyak 77 permohonan cap dagangan, 1 permohonan paten dan 1 permohonan petunjuk geografi dari negeri ini telah didaftarkan dengan MyIPO.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article