- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mentransformasi modal insan Sarawak

Must read

perlu kepakaran teknologi, kepimpinan bertenaga dan berinovasi

Usaha mengubah modal insan negeri Sarawak dari apa yang wujud sekarang agar menjadi sesuatu yang lebih produktif memerlukan kepimpinan yang bertenaga dan cemerlang, selain dari dibantu kesan dan impak dari teknologi.

“Teknologi sekarang ini bukan lagi sesuatu keperluan biasa. Ia adalah sebahagian dari fabrik sosial seseorang pekerja. Blog-blog, Tweeter dan perkhidmatan rangkaian sosial lain telah mengubah cara kita bekerja dan hidup,” kata Timbalan Ketua Menteri (II) Sarawak, YB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dalam majlis makan malam sempena Asia HRD Congress Awards pada malam 8 Julai lalu juga menegaskan keperluan untuk modal insan berubah, berinovasi dan bertindak balas sewajarnya bukan lagi sesuatu yang berbentuk kemewahan, namun adalah amat perlu untuk mengekalkan kelangsungan dan kepentingan.

“Adalah diketahui organisasi-organisasi memerlukan strategi yang menyeluruh, munasabah dan tepat pada masanya bagi menilai inovasi dalam pembangunan modal insan,” beliau menjelaskan. “Kajian dan amalan terkini menunjukkan para pelabur tidak lagi memandang aset-aset fizikal dan rekod prestasi kewangan, namun lebih menumpukan kepada keupayaan dan keistimewaan sesebuah organisasi, seperti modal insan yang menjamin kejayaan berkekalan.”

YB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred juga berkata pembangunan modal insan adalah salah satu dari fokus utama dalam strategi negeri ini dalam membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyatnya, selain kepada negeri dan negara.

“Dengan mengambil kesempatan dari keadaan unik dengan adanya prinsip-prinsip yang tidak pernah berubah, menghormati budaya kita yang pelbagai, memang perlu kita berubah mengubah keadaan globalisasi,” kata beliau lagi “Sarawak mempunyai kelebihan nyata dengan memiliki banyak sumber asli yang boleh dibangunkan serta dinilai tambah ke dalam sebuah ekonomi yang moden dan berdaya maju. Dengan semua ini kita boleh membina kekayaan baru dan memperkembangkan kemakmuran negeri kita.”

Beliau seterusnya memberitahu dalam 40 tahun kebelakangan ini, banyak kemudahan prasarana sosial telah dibina bagi memberikan manfaat kepada rakyat, dengan keutamaan diberikan kepada pembangunan pendidikan, kesihatan, perumahan, kerohanian, kebudayaan dan sukan.

“Polisi kerajaan negeri dalam pembangunan pendidikan telah membawa kepada pembinaan ribuan buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar. Sejumlah institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga telah dibina di negeri ini dengan tahap celik huruf di Sarawak pula telah meningkat kepada 85 peratus,” jelas YB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred.

Penganjuran Asia HRD Congress dari 6 hingga 8 Julai lalu, kata beliau, sememangnya adalah amat tepat pada masanya dalam usaha kerajaan bagi membangunkan dan memperkukuhkan modal insan negeri ini dalam bersedia dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) terutamanya, sementara mengekalkan kelebihan daya saing negeri ini untuk kejayaan jangka panjang.

Pada majlis makan malam tersebut, anugerah-anugerah telah disampaikan kepada para penerima yang telah mencapai kejayaan dalam sektor pembangunan sumber manusia, dengan anugerah-anugerah dibahagikan kepada kategori-kategori Sumbangan kepada Komuniti Sumber Manusia, Sumbangan kepada Organisasi dan Sumbangan kepada Masyarakat.

Penerima-penerima bagi Anugerah Sumbangan kepada Komuniti Sumber Manusia adalah Pengarah Akademik Institut Pengurusan Petronas, Yasir Abdul Rahman, Naib Presiden Kanan Bahagian Sumber Manusia Maxis Berhad Azmi Ujang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Profesional Singapore Training and Development Association (STADA), Ong Teong Wan; Presiden dan Pengurus Negara Ericsson Malaysia, Krishnakumar Guda, Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran Petrofac Malaysia, Nordin Ahmad, Perunding Pembangunan Sumber Manusia Kerajaan Arab Saudi, Dr Mahmoud Magsoud Khan, Penasihat Khas kepada Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Prof Dr Raduan Che Ros dan bekas Presiden USA National Speakers Association, Daryl Scott Friedman.

Bagi Kategori Sumbangan kepada Organisasi pula, para penerima adalah SAJ Holdings (Malaysia) Sdn Bhd, Riyad Bank dari Arab Saudi, Vikram Cement Works dari India, Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Emirsyah Satar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.

Anugerah-anugerah Kategori Sumbangan kepada Masyarakat disampaikan kepada Pengarah Urusan Westports Malaysia Sdn Bhd, Tan Sri G Gnanalingam dan Menteri Kerja Raya Bahrain, YM Engineer Fahmi Ali Al Jowder.

Anugerah Asia HRD Congress adalah sebuah inisiatif bebas bagi mengiktiraf organisasi-organisasi dan orang-orang perseorangan yang memberikan sumbangan cemerlang dalam pembangunan modal insan.

Sejak ia dimulakan pada tahun 2003, di mana hanya terdapat lima penerima anugerah dari dua negara, dan kini ia telah berkembang menjadi sebuah acara tahunan berprestij dengan Senarai Kehormat yang mengandungi 74 penerima anugerah dari 12 negara.

Antara yang turut hadir dalam majlis makan gala tersebut adalah pengerusi Jawatankuasa Anugerah Asia HRD Congress 2010, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ketua Pegawai Eksekutif SMR HR Group, R Palan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article