- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sarawak akan terus nikmati kemakmuran ekonomi

Must read

dengan adanya sumber manusia cekap serta berkemahiran: KM

Sumber manusia yang berkemahiran tinggi di kalangan penduduk negeri ini akan membawa ekonomi Sarawak ke tahap yang lebih maju menerusi penerokaan pelbagai sektor industri, kata Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Dengan mempunyai sumber manusia yang cekap dan mahir, Sarawak akan terus menikmati kemakmuran ekonomi,” kata beliau semasa berucap dalam majlis Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Asia HRD Congress 2010 kepada beliau, yang berlangsung di Borneo Convention Centre, Kuching pada petang 9 Julai lalu.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Asia HRD Congress 2010 berkenaan telah disampaikan kepada YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib oleh Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Asia HRD Congress 2010, satu acara berprestij  yang juga berlangsung di Kuching dari 6 hingga 8 Julai lalu, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Kemakmuran tersebut, kata beliau lagi, boleh dicapai dengan menerokai sepenuhnya potensi perusahaan hiliran yang termasuk industri perkayuan dan perladangan kelapa sawit, dan selaras dengan tujuan tersebut, kerajaan negeri telah merancang strategi bagi membangunkan potensi pendidikan dan kemahiran di kalangan rakyat negeri Sarawak

YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib seterusnya berkata hasil positif pembangunan pendidikan dalam melahirkan sumber manusia yang bermutu sudah boleh dilihat setelah adanya perancangan rapi serta berwawasan oleh kerajaan.

“Di setiap rumah di negeri ini, sebagai contohnya, termasuk di rumah-rumah di pedalaman serta rumah-rumah panjang, kita boleh temui sekurang-kurangnya seorang yang merupakan lepasan ijazah, malah ada rumah yang mempunyai tiga atau empat graduan. Itu belum lagi bagi rumah-rumah di kawasan-kawasan bandar,” kata beliau. “Itulah di antara pencapaian cemerlang kita dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran setakat ini.”

Namun begitu, beliau mengingatkan, semua tidak harus berpuas hati dengan pencapaian berkenaan sahaja, kerana keperluan tenaga kerja sering berubah mengikut keadaan dan keperluan industri semasa.

Ketua Menteri juga memberitahu yang Pelan Induk Tenaga Kerja Negeri Sarawak, yang sedang disediakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang mengandungi golongan profesional, dijangka akan siap menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.
 
Sebaik sahaja pelan induk itu siap, Sarawak akan menjadi amat bersedia dalam fasa pembangunan seterusnya, kata YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib dalam majlis yang juga menyaksikan pelancaran buku “People Development A Leader’s Journey in the Transformation of Sarawak – Taib Mahmud”.

Pelan itu, kata beliau, akan membolehkan Sarawak memberi tumpuan yang lebih luas dan menyeluruh dalam usaha membangunkan ekonomi khususnya ketika pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), yang merupakan antara usaha kerajaan mencorakkan ekonomi yang berasaskan tenaga.

Dari itu dengan wujudnya industri berasaskan tenaga dan lain-lain industri sampingannya, Sarawak akan mengalami pertambahan peluang pekerjaan, iaitu dijangka bertambah sebanyak setengah juta orang apabila SCORE sudah beroperasi sepenuhnya, dari jumlah guna tenaga kerja sebanyak kira-kira sejuta orang pada waktu ini.

Biarpun begitu, tambah beliau, untuk jangka masa pendek, Sarawak akan mengalami kekurangan tenaga kerja malah bagi yang separa berkemahiran, namun sementara menantikan rakyat negeri ini dilatih, Sarawak boleh menggunakan tenaga kerja asing.

“Penyelesaian terbaik, saya percaya adalah untuk mempunyai rakyat kita sendiri untuk bekerja untuk kita,” beliau menjelaskan.

Rakyat Sarawak kata beliau lagi, boleh memilih sebarang jurusan dalam pendidikan tinggi mereka, tanpa perlu bimbang sukar untuk mencari pekerjaan apabila tamat pengajian nanti, biarpun mungkin tidak mudah pada mulanya.

“Itulah yang amat menariknya dengan adanya pelan induk tenaga kerja kita itu nanti, yang memandang jauh sehingga 20 tahun lagi bagi membolehkan kita berkembang dan membangun mengikut perjalanan masa. Sarawak akan pasti mampu melepasi setiap cabaran yang mendatang di masa hadapan,” beliau berkata.
 
Beliau seterusnya menegaskan dalam usaha membangunkan ekonomi negeri ini, Sarawak tidak akan dapat untuk hanya bergantung kepada pasaran tempatannya, dan ia perlu meneroka pasaran luar negara dengan menghasilkan keluaran-keluaran industri hiliran yang bermutu.

“Ini semua bukan mudah, tetapi ia akan dapat dicapai dengan adanya strategi-strategi yang dirancang dalam membangunkan sumber manusia,” kata beliau lagi.

Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, YB Dato Sr Dr James Masing, serta penulis-penulis bersama buku yang dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif, Centre for Modern Management (CMM) Sabariah Putit dan Ketua Pegawai Eksekutif, SMR Group R.Palan, yang juga pengasas Asia HRD Congress.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article