- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Anugerah Inovasi Ketua Menteri Sarawak (AIKMS)

Must read

Mengantikan Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak (AKKMS)

Sejajar dengan kedatangan tahun 2010 yang telah diisytiharkan oleh kerajaan sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti, mulai tahun ini Anugerah Inovasi Ketua Menteri Sarawak (AIKMS) akan diperkenalkan bagi menggantikan Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak (AKKMS).

Ini dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Abdul Ghafur Sharif semasa berucap semasa merasmikan seminar “Sharing of Best Practices” di Auditorium Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah di sini pada pagi Isnin lepas.

“Oleh yang demikian, semua ketua jabatan (sektor perkhidmatan awam) diseru agar memberi sokongan penuh bagi menggalakkan pembudayaan inovasi sebagai amalan harian dalam sistem penyampaian perkhidmatan mereka,” kata beliau, yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Tambah beliau, untuk terus kekal berdaya saing dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan awam di Sarawak, agensi-agensi kerajaan perlu terus proaktif dalam melaksanakan amalan pengurusan yang baru serta menanda aras amalan terbaik dan inovasi perkhidmatan dari agensi-agensi yang cemerlang, selaras dengan kehendak pelanggan-pelanggan mereka yang sentiasa berubah-ubah.

Berkaitan inovasi, beliau turut juga memberitahu kerajaan negeri Sarawak amat komited dan serius dalam memastikan kualiti yang berteraskan kreativiti dan inovasi dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan dalam perkhidmatan awam negeri ini.

“Kita semua sedia maklum, mutakhir ini banyak perubahan telah berlaku dalam perkhidmatan awam sejajar dengan kehendak dan jangkaan rakyat, antaranya, gagasan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru dan yang terbaru Rancangan Malaysia Ke-10. Keempat-keempat ini merupakan tonggak penting kepada agenda pembangunan kerajaan,” beliau menjelaskan.

Kata beliau lagi, di peringkat negeri pula, antara usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan dalam mengubah sistem penyampaian perkhidmatan awam adalah dengan menerapkan nilai-nilai serta budaya inovasi termasuklah melalui Program Sejiwa Senada, Konvensyen Inovasi dan Kreativiti (KIK) dan juga AKKMS.

AKKMS 2009 telah berlangsung serentak dengan  Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010 yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching pada 5 hingga 6 Mei lalu.

Seminar sehari yang dihadiri kira-kira 200 orang penjawat awam itu menyaksikan ceramah-ceramah disampaikan oleh wakil-wakil dari Majlis Bandaraya Miri (MBM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuching, yang masing-masing telah berjaya memenangi Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak, Anugerah Kualiti Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Anugerah Kualiti Setiausaha Kerajaan Persekutuan semasa AKKMS 2009 lalu.

Selain dari itu, turut memberikan ceramah semasa seminar itu ialah Abdul Rahim Md Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Pengurusan dan Transformasi) Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan hadir sama semasa perasmian ialah Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti (HRDQ), Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Dr Razali Abon dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurut beliau seminar yang diadakan itu adalah lanjutan kepada usaha urus setia AKKMS, berobjektif utama memberi peluang kepada agensi-agensi perkhidmatan awam negeri yang lain mempelajari dari pemenang-pemenang AKKMS 2009 mengenai amalan-amalan terbaik yang telah dilaksanakan dalam agensi mereka bagi memantapkan sistem penyampaian mereka yang telah menyumbang kepada kemenangan mereka.

Dr Razali pula memberitahu seminar berkenaan adalah anjuran bersama Unit HRDQ dan Yayasan Sarawak, dan kerjasama itu adalah satu lagi inisiatif bagi meningkatkan semangat kerja berpasukan di antara agensi kerajaan negeri.

“Penganjuran program seperti ini akan dipanjangkan ke Zon Tengah dan Utara (Sarawak) agar semua agensi kerajaan negeri berpeluang mendapat faedah seperti yang kita akan dapat hari ini,” kata beliau.

Kapsyen

Kapsyen gambar:  [IMG_4133]

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sumber Manusia) YBhg Datu Abdul Ghafur bin Shariff menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Pengurusan dan Transformasi) Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Abdul Rahim Md Noor pada seminar "Sharing of Best Practices" yang diadakan di Auditorium Yayasan Sarawak, Kuching, pada 12 Julai 2010. Turut kelihatan ialah Pengarah Yayasan Sarawak, En. Abu Bakar bin Marzuki (kiri) dan Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti Jabatan Ketua Menteri, Dr. Razali bin Abon (kanan).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article