- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

SKIP, Piperine Johan Konvensyen KIK

Must read


Kumpulan SKIP -Johan Kategori Pengurusan

Kumpulan Piperine – Johan Kategori Teknikal

Kumpulan SKIP dan Kumpulan Piperine telah muncul sebagai pemenang tempat pertama bagi Kategori Pengurusan dan Kategori Teknikal masing-masing dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010 yang berlangsung pada 4 hingga 5 Ogos 2010 lalu.

Kumpulan SKIP dari Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak, Kuching mengetengahkan projek “Masalah Penyediaan dan Penghantaran Penyata Debit ke PTJ” sementara Kumpulan KIK Lembaga Lada Malaysia, Kuching, Piperine pula membawa projek mereka, “Masalah Pembaziran Sisa Analisa Lada Ringan” sebagai persembahan semasa konvensyen berkenaan.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,500, trofi dan sijil-sijil penghargaan dari Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, YB Datin Hajah Fatimah Abdullah semasa Majlis Penyampaian Anugerah konvensyen yang telah dianjurkan pada malam 5 Ogos lalu.

Kejayaan kedua-dua KIK itu melayakkan mereka untuk bertanding mewakili Sarawak dalam Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan yang dijangka akan berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur pada bulan Oktober nanti.

Sementara itu, Kumpulan Falcon (Jabatan Imigresen Malaysia, Bintulu) dengan tajuk projek “Kerumitan Proses Permohonan Kemudahan Imigresen Di Bawah Seksyen 66(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) Kepada Para Guru Yang Terlatih dari Semenanjung Malaysia Dan Sabah di Bahagian Visa, Pas dan Permit, Pejabat Imigresen Bahagian Bintulu” muncul pemenang tempat kedua Kategori Pengurusan dan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga kategori itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,500 berserta trofi dan sijil penghargaan pula dimenangi oleh Kumpulan KIK dari Jabatan Tanah dan Survei, Limbang, Lands Tahai-Q, yang membawa projek bertajuk “Meningkatkan Bilangan Penyambung Tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Untuk Lot Kediaman di Skim Penempatan Semula (SPS) Melalui Penambahbaikan Proses Kerja”.

Bagi Kategori Teknikal, yang juga menawarkan hadiah-hadiah yang serupa seperti Kategori Pengurusan, tempat kedua telah dimenangi oleh Kumpulan Belian dari UiTM Sarawak, dengan projek mereka “Kerosakan Buah Nanas yang Tinggi Semasa Proses Penuaian”, sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Kumpulan D’Innovator dari Lembaga Pelabuhan Miri yang mengetengahkan projek mereka, “Kelewatan Mengambil Peralatan Kargo Sewaktu” Kerja Kapal Dilakukan”.

Di samping itu juga, dua anugerah tambahan juga diperkenalkan semasa majlis pada malam itu.

Anugerah Persembahan Terbaik semasa konvensyen dimenangi oleh Kumpulan Piperine, sementara Anugerah Kumpulan Paling Kreatif dimenangi oleh sebuah lagi KIK Lembaga Pelabuhan Miri, K-9INE.

Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010 adalah anjuran Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri Sarawak (HRDQ), dan telah menyaksikan 17 buah KIK dari seluruh Sarawak mengambil bahagian.

Para pemenang semasa konvensyen yang bertemakan “Penambahbaikan Eko-Sistem Inovasi Memacu Kecemerlangan Organisasi” itu telah dinilai melalui persembahan setiap dari 17 KIK yang sebelum itu telah memenangi tiga tempat terbaik dalam kategori masing-masing dalam Konvensyen KIK Peringkat Zon yang berlangsung di sepanjang bulan Julai lalu.

Tiga buah konvensyen KIK Peringkat Zon telah menarik penyertaan 58 buah KIK, iaitu 29 KIK bagi Kategori Pengurusan dan 4 bagi Kategori Teknikal bagi Zon Selatan (Kuching, Sri Aman, Samarahan dan Betong), 8 bagi Kategori Pengurusan bagi Zon Tengah (Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah), dan 15 bagi Kategori Pengurusan dan 2 bagi Teknikal  bagi Zon Utara (Miri, Bintulu dan Limbang).

Antara agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan yang telah diwakili semasa konvensyen tarmasuklah Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak, Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak (KASKA), Jabatan Tanah dan Survei, Universti Teknologi MARA Sarawak, Jabatan Penjara Pusat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Pelabuhan Miri, Lembaga Lada Malaysia dan Pustaka Negeri Sarawak. 

Lagi Gambar :

Kategori Pengurusan

Kumpulan Falcon (Tempat kedua)

Kumpulan Lands Tahai-Q, (Tempat ketiga)

Kategori Teknikal

Kumpulan Belian (Tempat Kedua)

Kumpulan D’Innovator (Tempat ketiga)

Anugerah Persembahan Terbaik

Kumpulan Piperine

Anugerah Kumpulan Paling Kreatif

Kumpulan K-9INE

Fakta Menarik

  • Skip,  Piperine, juga sebelum ini  menjadi johan bagi kategori masing-masing pada Konvensyen KIK Zon Selatan yang berlangsung pada 6 hingga 8 Julai 2010.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article