- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bangunan baru, aspirasi baru

Must read

bagi Pejabat Daerah Serian


Pejabat Daerah Serian dijangka akan dapat berfungsi dengan lebih cemerlang dalam menawarkan peranan dan perkhidmatannya kepada penduduk di daerah itu, dengan siapnya bangunan Pejabat Daerah yang baru pada bulan Ogos 2010, dengan urusan pentadbiran dijangka akan berpindah ke bangunan baru berkenaan pada hujung tahun ini.


Pejabat Daerah yang baru itu, terletak di Jalan Taman Danu, Serian, kira-kira 500 meter dari pejabat yang ada sekarang, akan membolehkan Pejabat Daerah Serian melaksanakan tanggungjawabnya kepada lebih 103, 000 penduduk daerah (mengikut banci tahun 2007) yang tinggal di daerah yang seluas 2,106 kilometer persegi itu.


Bangunan pejabat baru itu, yang jauh lebih besar dari pejabat sekarang, akan menggantikan Pejabat Daerah yang terletak di pinggir bandar Serian, dibina pada tahun 1970 dan telah melaksanakan baktinya kepada masyarakat di Serian selama empat dekad, setelah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, YAB Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’akub pada 28 Ogos 1971.


Ini melengkapkan proses evolusi fizikal Pejabat Daerah Serian, yang sebelum ditempatkan di pejabat sekarang, hanya memiliki bangunan yang diperbuat dari kayu belian dan kayu keras, yang diberikan secara percuma oleh para penduduk tempatan untuk pembinaannya pada tahun 1955.


Pastinya bangunan baru Pejabat Daerah Serian itu nanti akan memberikan lebih semangat kepada Pegawai Daerah, Encik Sinde Muling serta 24 kakitangan pejabat daerah yang telah terpilih sebagai pemenang Anugerah Kualiti Pejabat Daerah 2009 semasa Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak 2009 lalu dalam menawarkan perkhidmatan kepada rakyat di daerah Serian.


Selain dari memenangi anugerah tersebut, dengan adanya bangunan baru itu nanti, Pejabat Daerah Serian akan melangkah setapak ke arah pencapaian misinya, ‘menjadi organisasi unggul dalam pentadbiran daerah berteraskan perkhidmatan yang mesra, berkualiti dan berintegriti’.


Ia juga pastinya akan menyokong pencapaian objektif-objektifnya juga, iaitu untuk menjadi sebuah organisasi yang disegani dan dihormati sebagai pusat pentadbiran dan perkhidmatan kepada masyarakat, merancang dan melaksana pembangunan infrastruktur sosio-ekonomi serta membekal dan mentadbir pelbagai perkhidmatan awam.


Daerah Serian meliputi kawasan pentadbiran yang terbahagi kepada dua kawasan, iaitu Daerah Serian itu sendiri (keluasan 1,685 kilometer persegi) dan Daerah Kecil Tebedu (421 kilometer persegi), yang mengandungi 272 buah kampung (243 di Daerah Serian, 29 di Daerah Kecil Tebedu) dengan pecahan penduduk mengikut kumpulan etnik, 65.98 peratus Bidayuh, 15.4 peratus Iban, 10.08 peratus Cina dan 8.54 peratus Melayu.


Mengenai perkembangan Daerah Serian, ianya dikenali sebagai Daerah Ulu Sadong dahulunya, dan dinamakan sebagai Daerah Serian pada Februari 1955, setelah dipisahkan dari Daerah Hilir Sadong (Simunjan) yang mana keduanya termasuk dalam Daerah Sadong, yang telah ada sejak tahun 1901 lagi.


Pegawai daerah pertamanya adalah seorang warganegara Inggeris, H.R. Barlow, yang menjadi pegawai daerah Serian dari Februari 1954 hingga June 1955, sementara pegawai daerah anak tempatannya adalah Willam Nais, yang berkhidmat dari Mei 1957 hingga Oktober 1958.


Sejak penubuhan Daerah Serian, majoriti pegawai-pegawai daerahnya adalah anak-anak Sarawak, suatu perkara yang amat membanggakan dan Encik Sinde, pegawai daerah sekarang adalah anak jati Serian sendiri.


Mengikut sejarahnya, nama ‘Serian’ itu datang dari nama ‘Sungei Rian’, sebuah anak sungai yang mengalir tidak jauh dari bangunan pejabat daerah sekarang, dipercayai dinamakan mengikut durian, tanaman buah-buahan yang sehingga kini memang boleh didapati dengan banyak di daerah ini.


Serian merupakan salah satu dari empat daerah dalam Bahagian Samarahan, yang telah diisytiharkan menjadi sebuah bahagian pada 1 Januari 1987.


Pusat pentadbiran Daerah Serian terletak di Bandar Serian, yang terletak 64 kilometer dari Kuching, yang merupakan bandar terbesar di Bahagian Samarahan.


Sementara itu, Daerah Kecil Tebedu telah dinaik taraf menjadi sebuah daerah kecil pada tahun 1974, dengan pusat pentadbirannya di pekan Tebedu, atau juga Bandar Baru Mutiara, yang mempunyai kedudukan strategik di sempadan Sarawak/Kalimantan Barat, Indonesia dan menjadi sebuah pintu masuk antarabangsa penting ke Sarawak sekarang.


Pejabat Daerah Kecil Tebedu, yang terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Serian, mempunyai sembilan orang kakitangan, diketuai oleh Pegawai Tadbir Tebedu, Bai @ Udin ak Dungak.


Pejabat Daerah Serian secara umumnya, merupakan organisasi yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran Daerah Serian, dan berperanan penting dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat di bawah pentadbirannya.


Antara fungsi utama pejabat tersebut adalah menyelaras aktiviti-aktiviti agensi kerajaan, merancang, melaksana, menyelaras, mengesan serta melapor projek-projek pembangunan dan juga melaksanakan tugas-tugas pentadbiran daerah yang merangkumi pentadbiran institusi masyarakat, perkhidmatan statutori dan hal ehwal masyarakat.


Ia juga melaksanakan tugas-tugas mengawal, mewujudkan dan mengekalkan keamanan dan keselamatan kawasan daerah, melaksana dan menyelaras tugas-tugas secretariat bagi upacara dan program rasmi kerajaan serta mengurus hal ehwal pentadbiran am, sumber manusia, harta, kewangan dan belanjawan pejabat.


Pejabat Daerah Serian mempunyai fungsi-fungsi perundangan (seperti memproses serta merekod probet dan mengeluarkan surat kuasa mentadbir, pendaftaran dan pemprosesan pengambilan anak angkat, pengeluaran permit membeli peluru, mendaftar dan mendengar kes-kes Mahkamah Bumiputera serta memproses pertukaran hak milik tanah.


Ia juga mempunyai fungsi-fungsi pembangunan, iaitu berkaitan perancangan dan pelaksanaan projek-projek kecil luar bandar (MRP), penyelarasan projek-projek pembangunan, penyelarasan program-program pembangunan dan aktiviti-aktiviti kerajaan dan agensi-agensi yagn tidak mempunyai wakil di Serian, serta fungsi-fungsi pentadbiran seperti pengurusan dan pembangunan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengumpulan data asas bagi kampung-kampung serta membantu menyelaras perayaan peringkat bahagian.


Semua fungsi berkenaan pastinya akan dapat dilaksanakan dengan amat lancar apabila bangunan Pejabat Daerah Serian yang baru itu mula beroperasi pada hujung tahun ini nanti.


 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article