- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Lautan bendera, perasaan perpaduan nasional

Must read

Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching telah dipenuhi oleh kira-kira 5,000 orang pada malam 16 September lalu, sempena sambutan Hari Malaysia 2010 peringkat negeri Sarawak, dengan mereka yang hadir mengibarkan dengan rasa penuh bangga Jalur Gemilang.


Sambutan yang kali pertama diadakan itu menyaksikan stadium tertutup tersebut menjadi lautan bendera yang dikibarkan oleh para hadirin, yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, YBhg Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Norkiah.


Turut menyerikan acara sambutan pada malam itu dengan kehadiran mereka termasuklah Timbalan Ketua Menteri (I) Sarawak, YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang mewakili  Ketua Menteri, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, YB Dato Sri William Mawan Ikom.


Selain dari itu, hadir sama adalah Menteri Pembangunan Tanah, YB Dato Sri Dr James Masing, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, YB Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan ramai ahli-ahli Kabinet negeri serta wakil-wakil rakyat


Sambutan yang bertemakan “1Malaysia: Menjana Transformasi” amat meriah dan disambut dengan semangat perpaduan dan integrasi nasional, dengan banyak aktiviti diadakan, di mana rakyat telah menunjukkan semangat patriotik mereka.


Para hadirin telah terpesona dengan tayangan sebuah dokumentari sejarah Sarawak yang bertajuk “Liku-liku Pembentukan Malaysia”, yang mengisahkan liku-liku yang dihadapi oleh golongan nasionalis negeri ini dalam mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya membawa kepada pembentukan Malaysia, yang telah berlangsung pada 16 September 1963.


Turut diadakan pada sambutan pada malam itu adalah upacara menaikkan ‘Jalur Gemilang’ oleh anggota Tentera Laut Di-raja Malaysia, acara menyanyikan lagu Negaraku dan lain-lain lagu kenegaraan seperti Jalur Gemilang, Malaysia Berjaya dan Satu Malaysia, bacaan syair ‘Penegasan Satu Makna’ serta persembahan tarian tradisional dan semasa bertajuk ‘Malaysia Harapan Bersama’, serta persembahan oleh artis-artis tempatan.


Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Hari Malaysia sebagai cuti umum dan sambutan kebangsaan pada tahun lalu sebagai pengiktirafan peranan yang telah dimainkan Sarawak dan Sabah dalam penubuhan Malaysia, dan bagi sambutan di Kuching pada tahun ini, seramai 500 orang peserta dari pelbagai lapisan kaum telah menjayakannya.


YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata rakyat harus bersyukur kerana negara ini kekal stabil dari segi politik dan telah berjaya meraikan sambutan Hari Malaysia buat kali pertama dalam suasana yang aman dan harmoni.


Biarpun begitu, beliau mengingatkan mereka agar tidak leka dengan memikirkan kestabilan itu akan kekal selamanya, kerana seandainya ia tidak dijaga, kerana ia adalah sesuatu yang agak rapuh dan boleh dirosakkan dalam sekelip mata.


“Justeru, kita tidak harus membenarkan sesiapa menjadi penghalang antara kita. Kita tidak boleh membiarkan sesiapa pun datang dan memberitahu kita yang kita tidak membuat perkara yang betul. Mereka seperti ini ingin merosakkan kestabilan dan negeri ini, dan mereka harus disisihkan,” kata YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.


Kata beliau lagi, apa-apa yang kejayaan telah dicapai, sama ada sekarang atau sebelum ini, sama ada oleh generasi sekarang atau oleh golongan terdahulu, akan musnah dalam sekelip mata jika rakyat tidak menghargai keamanan, kestabilan politik dan keharmonian kaum yang ada sekarang.


Generasi muda juga, kata beliau, harus memahami bagaimana golongan lama dahulu telah berjuang demi kemerdekaan, sehinggakan mengorbankan nyawa demi negara dan rakyat.


“Kita amat gembira Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan September 16 setiap tahun sebagai Hari Malaysia. Harapannya, ini akan membuatkan golongan muda kita untuk memahami sepenuhnya kepentingan dan maksud sebenar kemerdekaan,” beliau berkata.


Rakyat Sarawak juga tidak harus membiarkan perbezaan kaum, agama dan politik di antara mereka menghalang negeri ini dari terus membangun, dan mereka harus mencontohi golongan dahulu yang telah mengenepikan kepentingan diri untuk kekal bersatu semasa berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara 47 tahun lalu.


Kata YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan lagi, ia adalah semangat yang harus dikekalkan, dan rakyat juga harus bersatu tenaga untuk negara.


Semangat kerjasama dan perasaan ingin bersatu tenaga masih lagi wujud sekarang, kata beliau, dengan galakan Perdana Menteri, dan usaha-usaha yang telah dimulakan oleh pemimpin-pemimpin negara yang lalu telah menjadi agenda utama Malaysia dan juga melalui gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan’.


Mengenai Perdana Menteri, YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata beliau adalah seorang pemimpin yang ingin membawa rakyat kekal sebagai masyarakat yang bersatu, Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu dengan impian yang serupa.


Beliau juga berkata dalam 47 tahun, Sarawak telah membangun dan maju bersama lain-lain bahagian negara ini, biarpun bermula sebagai sebuah negeri yang mundur, namun kini adalah salah sebuah negeri yang paling maju di Malaysia.


“Ini adalah hasil dari perancangan baik dan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” jelas beliau.


YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan juga menyatakan mengenai cabaran yang dihadapi sekarang adalah bagaimana untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, dan menegaskan ia akan dapat dicapai sekiranya rakyat negara ini kekal bersatu.


YB Dato Sri William Mawan, yang juga menteri bertugas dalam pengelolaan sambutan, berkata beliau amat gembira dengan kehadiran rakyat yang berasal dari pelbagai lapisan masyarakat di Stadium Perpaduan bagi menyambut sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak kali pertama itu.


“Adalah amat menggembirakan bagi kita untuk menyambutnya dalam perasaan aman dan harmoni untuk pertama kali dalam sejarah,” kata beliau dalam ucapan beliau.


Seperti YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, YB Dato Sri William Mawan juga mengingatkan golongan muda agar kekal memahami bagaimana Malaysia telah lahir serta sumbangan yang telah diberikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu negara.


“Semangat patriotik serta cintakan negara harus kekal membara,” kata beliau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article