- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kepimpinan peringkat akar umbi

Must read


menjadi asas pembangunan seluruh masyarakat

 

Kepimpinan akar umbi, bermula dari segenap peringkat masyarakat, iaitu dari tahap ketua kaum/ketua kampung/tuai rumah, pemimpin-pemimpin masyarakat lain sehinggalah Temenggung memainkan peranan penting dalam mengubah masyarakat menjadi golongan yang lebih baik dan teratur.

Kata Ketua Menteri Sarawak semasa berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak Bahagian Kuching dan Samarahan 2010 di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching pada malam 29 September lalu, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, kepimpinan yang bermula di peringkat akar umbi menjadi asas kepada pembangunan seluruh masyarakat.


Beliau berkata tanpa adanya nilai-nilai kepimpinan, sesuatu kumpulan orang ramai adalah seperti ‘sebuah masyarakat tanpa kemudi’, dan yang tidak tahu haluannya.


“Oleh itu, soal kepimpinan harus diterapkan, bermula di peringkat bawahan sehinggalah peringkat atasan masyarakat. Tiada manusia yang lahir lalu terus dapat menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan dalam diri mereka. Ia bermula dari proses mendapatkan ilmu pengetahuan, pembelajaran, pergaulan serta belajar dari orang yang pandai serta berpengalaman,” jelas beliau.


Dengan itu, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib menyeru ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum sebagai para pemimpin di peringkat akar umbi agar memainkan peranan mereka yang penting dalam aspek kepimpinan, dengan menyediakan masyarakat dengan ilmu pengetahuan demi membolehkan mereka bergerak seiring dengan pembangunan sekarang.


“Sesebuah negara itu tidak akan dapat berjaya dan menjadi maju sekiranya ia mengenepikan aspek kepimpinan,” kata beliau.


YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib berkata lagi, hanya dengan adanya kepimpinan, penerimaan masyarakat terhadap usaha pembangunan kerajaan akan dapat menukar corak ekonomi rakyat dari pendapatan sederhana ke pendapatan yang lebih tinggi.


“Saya yakin rakyat negeri ini, akan dapat mengubah taraf hidup mereka dari kemiskinan kepada kesenangan, dengan adanya nikmat keamanan, kestabilan politik dan perpaduan serta terus menaruh keyakinan tinggi kepada perkhidmatan kerajaan sekarang,” kata beliau.


Ketua Menteri berkata lagi, sejak mula memimpin Sarawak, beliau telah menekankan nilai-nilai kepimpinan yang tinggi di bawah ‘Politik Pembangunan’, yang telah membawa konsep-konsep kepimpinan dan pembangunan bersama.


Penekanan kepada aspek kepimpinan, para pemimpin negeri ini telah dapat menentukan pembangunan telah berjalan kerana menyedari tiada pembangunan adalah mungkin tanpa nilai kepimpinan, selain dari perpaduan yang utuh di kalangan masyarakat pelbagai kaum yang terdiri dari masyarakat Melanau, Iban, Bidayuh, Cina, Melayu dan sebagainya, kata beliau lagi.


Kata YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib, selama memimpin Sarawak, beliau sedar usaha membawa perpaduan dan kestabilan tidak dapat dilakukan dala masa yang singkat.


“Tanpa kestabilan politik, adalah mustahil Sarawak dapat muncul antara negari yang maju sekarang,” beliau berkata lagi.


Selain dari itu, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib memberitahu lagi, untuk menjadi seorang pemimpin, seseorang itu harus belajar memahami masalah orang lain, dan mereka juga harus belajar menyelesaikan masalah-masalah kecil sebelum mereka beralih pula ke masalah seterusnya, yang pastinya lebih besar dan lebih sukar untuk ditangani.


“Sebagai pemimpin di kawasan masing-masing, kita harus cuba mendedahkan rakyat di bawah pentadbiran kita kepada pengetahuan baru, agar mereka juga dapat berfikir dalam cara yang baru,” tambah beliau. “Itulah sebabnya, banyak kawasan-kawasan kecil tidak dapat berubah dan maju dalam masa yang singkat kerana masyarakat yang ada di sana masih lagi berfikir dengan cara yang lama, dan ini haruslah diubah.”


Cara berfikir yang baru, kata beliau, adalah pembangunan sebenar, dan boleh mengubah cara hidup masyarakat setempat, dari yang sukar kepada yang lebih menyelesakan, dan menjadi masyarakat yang mewah, bukan sahaja dari segi kewangan, malah dari aspek sosial.


YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib turut memberikan peringatan kepada masyarakat agar tidak mengapi-apikan perasaan perkauman yang boleh menjejaskan dan merosakkan hubungan di antara kaum, dan seterusnya mempertahankan keamanan yang selama ini dinikmati.


“Jangan sekali-kali bermain dengan sentimen-sentimen perkauman dan juga menjadi berpecah-belah, kerana nanti kita sendiri yang akan rugi. Kita semua harus bergerak bersama seiring dengan kemajuan,” kata beliau lagi.


Antara pemimpin yang turut hadir dalam majlis perasmian pada malam itu termasuklah YB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Penasihat Khas di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem, Dato Sri Awang Asfia Awang Nasar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Abdul Ghafur Shariff.


Seramai 952 orang ketua masyarakat dan ketua kaum dari Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan menghadiri Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak 2010 yang berlangsung pada 29 dan 30 September.


Seminar itu diadakan bagi meningkatkan pemahaman ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum mengenai agenda pembangunan negeri Sarawak terkini, selain dari peranan-peranan serta tanggungjawab-tanggungjawab pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi, serta kaedah-kaedah pengurusan dan kepimpinan berkesan.


Ia adalah anjuran bersama Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) Jabatan Ketua Menteri Sarawak dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article