- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

KIPPAS akan tambah baik

Must read

perkhidmatan Jabatan Imigresen



Kiosk Pembaharuan Pasport Malaysia (KIPPAS) Jabatan Imigresen Malaysia yang ke-15 telah dilancarkan pada 1 Oktober 2010 di Lobi Bangunan Sultan Iskandar, Kuching, dan pelancarannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, YBhg Md Yahaya Basimin.


Kiosk berkenaan, yang telah dibangunkan oleh IRIS Corporation Bhd, akan berfungsi untuk menerima permohonan pembaharuan Pasport Malaysia, sementara urusan pengeluaran dan penyerahannya masih dilakukan di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia.


Majlis pelancaran itu juga dihadiri antara lain oleh Pengarah Imigresen Malaysia Sarawak, YBhg Datu Robert Lian, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak, YBhg Datu Haji Abu Bakar Mat, Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia Sarawak, Encik Ahmad Khazali Haji Mat Desa serta wakil IRIS Corporation Bhd, Cik Salina Abd Jalil.


YBhg Md Yahaya memberitahu Kerajaan sentiasa mengambil berat dan mengutamakan keperluan rakyat dalam menambah baik dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, dan harapan serta matlamat perkhidmatan kerajaan adalah untuk memberikan yang terbaik kepada orang ramai dalam setiap perkhidmatan yang diberikannya.


“Ini selaras dengan matlamat Kerajaan dan semangat 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Semangat dan pelaksanaannya hendaklah difahami supaya penjawat awam sentiasa konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” kata beliau.


Dengan mengambil kira perkara tersebut, tambah beliau, kerajaan telah bersetuju dengan permohonan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meletakkan kiosk di lobi Bangunan Sultan Iskandar sebagai meletakkan kepentingan pelanggan dalam permohonan pembaharuan Pasport Malaysia, dan beliau percaya kiosk berkenaan akan memberikan impak positif kepada era transformasi kerajaan dalam pembangunan dan pelaksanaan teknologi IT.


YBhg Md Yahaya juga mengingatkan pegawai-pegawai Imigresen, terutama yang bertanggungjawab terhadap kelancaran operasi dan kemudahan KIPPAS agar perlu memastikan ia dapat memberikan perkhidmatan terbaik, cepat dan berkesan setiap masa agar sesuai dengan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pegawai barisan hadapan dan jabatan yang berasaskan perkhidmatan.


“Kecekapan tuan-tuan dan puan-puan perlu sentiasa ditingkatkan, selari dengan harapan pelanggan dan perkembangan teknologi terkini. Pastikan bahawa jangkaan pelanggan dan pemohon yang mengemukakan permohonan melalui kiosk ini akan terjawab bila mereka hadir untuk mengutip passport gantian baharu di kaunter yang disediakan menurut tempoh masa yang ditentukan dalam resit dan Piagam Pelanggan Jabatan Imigresen,” beliau mengingatkan.


Beliau seterusnya berkata, pelanggan dan orang ramai akan mengukur mutu perkhidmatan yang diberikan, dan juga terhadap perkhidmatan awam.


“Masih terdapat kakitangan di barisan hadapan yang tidak mesra pelanggan, dan mempunyai sikap yang boleh menyinggung perasaan orang ramai ketika berurusan dengan mereka. Sikap negatif kakitangan tersebut akan menggambarkan imej keseluruhan perkhidmatan kaunter awam, seterusnya memberikan tanggapan negatif kepada orang ramai,” kata YBhg Md Yahaya.


Sikap seperti itu, jelas beliau, perlu diperbetulkan dan para kakitangan harus lebih prihatin membantu orang ramai yang memerlukan sesuatu perkhidmatan.


Sementara itu, YBhg Datu Robert menjelaskan KIPPAS merupakan satu kaedah baru dalam usaha Iabatan Imigresen Malaysia menerapkan pembangunan dan kepentingan IT dalam memberikan kemudahan imigresen kepada orang ramai.


“Usaha murni kerajaan dalam meningkatkan perkhidmatannya cuba direalisasikan oleh Jabatan Imigresen, selari dengan kemajuan IT pada masa ini. Jabatan Imigresen Malaysia begitu komited untuk memanfaatkan kaedah dan berusaha gigih demi kepentingan pelanggannya, yang dapat membantu mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam. Permohonan melalui kiosk ini akan menjadi lebih mudah, cepat dan berkesan,” jelas beliau.


KIPPAS, kata beliau lagi, akan menjadi sangat bermanfaat kepada orang ramai dan pelanggan Imigresen kerana ia berupaya menerima permohonan gantian atau pembaharuan Pasport Malaysia tanpa memerlukan pemohonnya hadir beratur di kaunter-kaunter biasa Imigresen.


“Pemohon hanya perlu mengemukakan permohonan dan melaksanakan bayaran melalui kiosk sebelum ia dikutip oleh pegawai Imigresen untuk proses pengeluaran Pasport Malaysia. Kutipan atau serahan pasport akan disempurnakan di kaunter biasa di Tingkat 1 (Bangunan Sultan Iskandar), dengan menunjukkan resit penerimaan yang telah dikeluarkan oleh KIPPAS,” jelas YBhg Datu Robert.


Jelas beliau lagi, dengan pelaksanaan KIPPAS juga, pejabat pengeluaran Pasport Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar akan melaksanakan pengeluaran Pasport Malaysia dalam tempoh 01 jam di kaunter-kaunter pasport, melengkapkan pengeluaran 01 Jam Pasport Malaysia bagi Jabatan Imigresen Malaysia di Sarawak.


Sebelum ini, sejak 11 Mei 2010, hanya empat buah pejabat pengeluar di Sarawak, iaitu di Sibu, Miri, Limbang dan Bintulu yang melaksanakan pengeluaran 01 Jam terlebih dahulu.


“Pengeluaran 01 jam ini adalah untuk pengeluaran Pasport Malaysia baharu atau gantian pembaharuan yang tidak melibatkan permohonan bermasalah, akibat kerosakan atau kes kehilangan. Kes-kes seperti ini diuruskan dengan prosedur berbeza dalam tempoh waktu sehingga satu bulan, yang bertujuan untuk Jabatan ini menapis permohonan tersebut jika wujud unsur-unsur yang boleh menjejaskan keselamatan Pasport Malaysia itu sendiri sebelum gantiannya dikeluarkan,” kata beliau lagi.


Pada enam (6)  bulan pertama tahun lalu, beliau memberitahu, pengeluaran Pasport Malaysia bagi negeri Sarawak adalah sebanyak 41,764 naskhah, berbanding dengan 62,612 naskhah pada tempoh sama pada tahun ini, menandakan peningkatan sebanyak 50 peratus, disebabkan pelaksanaan pengeluaran Pasport Malaysia bernilai RM100 yang mempunyai sah laku untuk 2 tahun bermula Oktober 2009, serta didorong oleh pengeluaran 01 Jam Pasport Malaysia.


“Jabatan Imigresen Malaysia telah memilih pejabat di Kuching ini untuk menempatkan KIPPAS setelah mengambil kira beban atau jumlah permohonan yang tinggi, dalam usaha untuk membantu pelanggan-pelanggannya. Warga Imigresen ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak  kerana membenarkan kita memanfaatkan lobi utama bangunan ini demi keselesaan pelanggan,” kata YBhg Datu Robert.


Beliau juga memberitahu pegawai-pegawai beliau di Bahagian Pasport telah diarahkan agar memastikan perkhidmatan KIPPAS dapat diuruskan dan dikendalikan dengan mudah, cepat dan berkesan.


“Keyakinan tinggi pelanggan terhadap perkhidmatan yang disumbangkan kita akan terpancar dan terbukti apabila KIPPAS mampu dan berkesan dalam pengeluaran 01 Jam Pasport Malaysia. Ini adalah satu cabaran bagi kita semua, namun semua harus sedar kejayaan dan keberkesanan kiosk ini hanya akan dapat dilihat jika ada komitmen serta integriti tinggi yang ditunjukkan dan diamalkan oleh setiap pegawai kita,” beliau berkata lagi.
 



 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article