Pihak Berkuasa Tempatan
Amalan Integriti diyakini boleh meningkatkan tadbir urus pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
Pada masa yang sama, amalan sedemikian mampu mewujudkan rasa hormat dari kalangan masyarakat ke atas PBT yang berpaksikan integriti yang tinggi, kejujuran dan kebolepercayaan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Langkah penambahbaikannya juga perlu mengambil kira kepuasan pelanggan atau customer satisfaction, bersifat “result oriented” dan bukan “task oriented”.
Sehubungan itu, menyedari betapa pentingnya nilai-nilai murni yang mencerminkan integriti, seminar satu hari bagi membicarakan tentang integriti melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak akan diadakan pada 22 November 2010 (Isnin) bertempat di Auditorium DBKU
Ia adalah anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri (JKM), Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (KASKA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan DBKU, tujuan seminar ini diadakan adalah bertujuan meningkatkan kefahaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai integriti, meningkatkan komitmen untuk menghayati dan mengamalkan nilai integriti dan meningkatkan kesedaran untuk menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan PBT melalui pembudayaan integriti.
Seminar itu turut menyentuh beberapa perkara mengenai isu-isu semasa dan bagaimana PBT dapat melaksanakan peranannya dengan penuh rasa tanggungjawab supaya dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.
Selain itu, PBT perlu mengambil pendekatan berfikiran terbuka dan juga meningkatkan kesedaran menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Bagi mencapainya, PBT harus menjadi yang terbaik dari segi kualiti kerja, produktiviti, budaya kerja, berakhlak dan pengalaman nilai-nilai murni supaya tugas-tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di organisasi masing-masing.
Seminar tersebut akan dirasmikan oleh Ybhg. Datu Abdul Ghafur Shariff, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri pada sebelah paginya. Sementara pada sebelah petang, majlis penutupan dilakukan oleh Tuan Haji Mohd Atei bin Abang Medaan, Datuk Bandar Kuching Utara.
Sebanyak tiga (3) tajuk ceramah pembentangan akan diadakan iaitu Pembudayaan Integriti dalam PBT yang disampaikan oleh Encik Mohamad Diah Wahari, Pengarah Sektor Awam, Institut Integriti Malaysia ; Isu dan Cabaran Pengurusan PBT dan Perspektif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Encik Mohd Nor bin Ali, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Sarawak manakala pembentangan ketiga, Isu Salah Laku dan Penyelewengan Dalam PBT Dari Perspektif Audit oleh Puan Ong Swee Leng, Pengarah, Sektor Audit Kerajaan Negeri Jabatan Audit Negara.