- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Program Randau Agenda Sosial :

Must read

Ruang Bicara Pembangunan Sosial Di Peringkat Akar Umbi

Oleh    :   Yii See Yong  (Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi)


’Lain padang, lain belalang’ adalah ungkapan yang sering digunakan untuk menggambarkan perbezaan atau kelainan situasi atau adat resam dari satu tempat ke satu tempat yang lain.  Umpama wujudnya, kelainan isu-isu sosial kerana situasi sosial setempat yang berbeza. 

Untuk mengenalpasti isu-isu sosial di peringkat komuniti dengan lebih dekat lagi, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sarawak melalui Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (MPSU) telah dan sedang melaksanakan satu program yang dinamakan Randau Agenda Sosial.

Di kalangan masyarakat Iban, ’berandau’ bermaksud berkumpul untuk berbual, berbicara atau berbincang mengenai hal-hal semasa yang melibatkan penduduk rumah panjang dan kebiasaannya diadakan dalam suasana santai di ruai rumah panjang.

Program Randau merupakan satu program baru yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (MPSU) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dan Pejabat Residen dan Daerah.

Konsep ’randau’ sebagai ruang sosial untuk membicarakan sesuatu isu di peringkat akar umbi sama ada secara formal atau tidak formal masih relevan di zaman moden ini.  Apatah lagi dengan landakan cabaran-cabaran sosial yang memerlukan perhatian dan tindakan segera pelbagai pihak sama ada di peringkat luas atau komuniti.

Berdasarkan konsep itu, Program Randau dijalankan untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan tentang isu-isu atau masalah-masalah sosial di sesebuah Bahagian.

Ia berkonsepkan perbincangan dan pengkongsian pengalaman tentang isu-isu sosial setempat di sesebuah Bahagian.  Selain itu, Program Randau juga membuka peluang kepada semua pihak berkenaan untuk berinteraksi dan meningkatkan jaringan kerjasama dalam usaha menangani isu-isu sosial setempat.

Daripada pandangan, cadangan dan maklum balas tersebut, ianya diharap dapat membantu dan melengkapkan usaha pihak Jawatankuasa Sosial Bahagian (JKSB) untuk merancang dan melaksanakan Pelan Tindakan Sosial Bahagian dan program pembangunan sosial selaras dengan kehendak dan situasi setempat.

Program Randau dijalankan melalui kaedah pembentangan, perbincangan panel dan perbincangan kumpulan.  Pihak MPSU dan AZAM mengadakan perbincangan awal dengan Timbalan Residen (Sosial) untuk menentukan topik-topik kertas kerja dan tajuk perbincangan panel yang bersesuaian dengan situasi setempat sebelum program itu dilaksanakan.

Sebagai permulaan, Program Randau dibahagikan kepada dua iaitu Randau Agenda Sosial dan Randau Pencegahan Jenayah.  Kedua-duanya diadakan untuk memenuhi objektif-objektif Agenda Sosial Negeri Sarawak yang diperkenalkan pada tahun 2007.

Objektif umum Agenda Sosial negeri menekankan pembangunan masyarakat majmuk yang seimbang dan harmoni menjelang tahun 2020 sebagai sebahagian daripada bangsa negara Malaysia yang bersatu. 

Salah satu daripada objektif-objektif dasar Agenda Sosial Negeri tersebut adalah penekanan terhadap menangani masalah jenayah dan masalah-masalah sosial bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat. Jelas sekali, kesejahteraan dan kemakmuran setempat diutamakan bagi mencapai pembangunan sosial yang lestari.  

Program Randau Agenda Sosial lebih bersifat umum, manakala, Randau Pencegahan Jenayah menyediakan satu wadah khas yang berfokuskan isu jenayah, perkongsian maklumat dan pengalaman setempat. 

Oleh yang demikian, Randau Pencegahan Jenayah juga diadakan dengan objektif sampingan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk membanteras dan mencegah kejadian jenayah.

Setakat ini, empat (4) program Randau Agenda Sosial dan satu (1) program Randau Pencegahan telah berjaya dilaksanakan.  Pada tahun 2009, Randau Agenda Sosial yang pertama dianjurkan di Dewan Stephen Kalong Ningkan di Betong.  Pada tahun 2010, Kapit menjadi tuan rumah pada 21 Julai 2010 dan di Mukah pada 27 Julai 2010 dan seterusnya di Kuching pada 22 November 2010 bertempat di Hotel Regency Rajah Court.  Bagi Randau Pencegahan Jenayah pula, kali pertama diadakan di Miri pada 9 Ogos 2010. 

Memandangkan sokongan dan penyertaan yang amat menggalakkan maka, Program-program Randau ini akan diteruskan di beberapa Bahagian lain pada tahun 2011.

Bagi menepati golongan sasaran program ini, pihak Pejabat Residen dan Daerah memainkan peranan dalam mengenalpasti para peserta di setiap Bahagian yang terdiri daripada kakitangan awam, ahli-ahli pertubuhan, golongan belia dan ketua-ketua masyarakat. 

Ahli-ahli panel yang dijemput pula, adalah daripada pihak-pihak berkepentingan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan, Pihak Berkuasa Tempatan, Persatuan Ibubapa dan Guru, Persatuan Belia dan Ketua-ketua Masyarakat.  

Daripada pemerhatian setiap sesi perbincangan dalam kumpulan, para peserta telah mempamerkan keprihatinan, kesungguhan dan kreativiti mereka dalam membicarakan sesuatu  isu sosial. 

Hasilnya, pelbagai idea bernas dan menarik telah dicadangkan untuk memantapkan lagi pembangunan sosial setempat contohnya, idea untuk menubuhkan sebuah persatuan anti alkoholisme telah dibangkitkan dalam satu kumpulan yang membincangkan mengenai isu alkoholisme.

Antara isu-isu yang dibincangkan dalam Randau Agenda Sosial ialah yang berkaitan dengan kekeluargaan,  pendidikan dan latihan, belia dan sukan, keselamatan dan ketenteraman, kesihatan, sosial, ekonomi, alkoholisme dan kemudahan rekreasi. 

Bagi Randau Pencegahan Jenayah pula, isu-isu yang sering dibincangkan ialah jenayah juvana, jenayah keganasan, jenayah harta dan jenayah yang melibatkan warga asing.

Pihak Pejabat Residen dan Daerah melalui Residen (Sosial) diharap dapat mengambil kira semua cadangan membina dan pandangan dari akar umbi yang dicetuskan dalam Program Randau tersebut untuk dikemukakan di Mesyuarat JKSB dalam merancang pembangunan sosial di peringkat Bahagian. 

Di samping itu, pihak JKSB amat digalakkan untuk mengadakan Program Randau yang serupa atas initiatif dan kreativiti sendiri.  Sebagai contoh, Program Randau boleh diadakan untuk memberi tumpuan khas kepada sesuatu isu spesifik ataupun secara informal di kampung-kampung atau rumah-rumah panjang.

Sebagai kesimpulannya, konsep utama Program Randau bertujuan ke arah mempertingkatkan sesi perjumpaan dan perbincangan secara tidak formal di kalangan masyarakat setempat. Khususnya, untuk membicarakan isu-isu sosial dengan harapan pertemuan sedemikian dapat menghasilkan idea-idea bernas dalam usaha untuk memantapkan pembangunan sosial di peringkat akar umbi.

 

 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article