- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Minggu Inovasi Agensi Persekutuan Sarawak

Must read

Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak (PSUPS) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Cawangan Sarawak, Institut Tadbiran Negara (INTAN), Sarawak dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak akan menganjurkan Minggu Inovasi Agensi Persekutuan Sarawak pada 8 hingga 10 Disember ini.

Penganjuran Minggu Inovasi Agensi Persekutuan Sarawak adalah merupakan pengiktirafan dan penghargaan terhadap jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini dengan memperkenalkan hasil inovasi bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.

Selain itu, program ini bertujuan untuk memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif dalam cara bekerja di dalam Sektor Awam khususnya di negeri ini.

Objektif utama mengadakan Minggu Inovasi Agensi Persekutuan Sarawak ini adalah untuk mempertengahkan dan mengiktiraf keberhasilan inovasi terutamanya di Jabatan/Agensi Kerajaan. Selain untuk perkongsian pengalaman dan idea dalam perhasilan inovasi dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kreativiti dan inovasi dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Sempena dengan Minggu Inovasi Agensi Persekutuan Sarawak beberapa program telah dirancang khas seperti pameran, seminar inovasi dan Majlis Anugerah Inovasi Persekutuan Setiausaha Persekutuan Sarawak (SUPS) 2010. 

Sebanyak lapan booth pameran akan diadakan pada 8 sehingga 10 Disember ini di lobi Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, Kuching. Pameran bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan dibuka kepada orang ramai.   Agensi-agensi yang terlibat akan mempamerkan projek-projek yang dicipta dan informasi untuk dikongsikan kepada semua pihak.

Agensi-agensi yang terlibat dalam pameran Minggu Inovasi Agensi Persekutuan adalah seperti Bahagian Kesihatan Pergigian Sarawak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Cawangan Sarawak, GIATMARA Batang Sadong, Kota Samarahan, Universiti Teknologi MARA Sarawak, Kampus Samarahan, Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Cawangan Sarawak dan Lembaga Lada Malaysia.          

Selain pameran, Seminar Inovasi akan diadakan pada 10 Disember di Auditorium Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, Kuching mulai jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 12.00 tengah hari. Seramai 360 tetamu jemputan terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan, wakil-wakil ketua Jabatan dan Peserta Anugerah akan menghadiri seminar ini.    

Seminar Inovasi ini akan dirasmikan oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Md Yahaya Basimin. Di antara pihak yang dijemput untuk membentangkan kertas dalam seminar ini ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Unit Inovasi Khas (UNIK) Jabatan Perdana Menteri.

Manakala, Majlis Anugerah Inovasi Persekutuan Setiausaha Persekutuan Sarawak (SUPS) 2010 akan berlangsung pada sebelah malam 10 Disember di Colosseum 1, Hotel Pullman. Majlis ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Fadillah Yusof.

Majlis ini merupakan acara kemuncak sempena Minggu Inovasi Agensi Persekutuan Sarawak.

Terdapat dua anugerah yang dipertandingkan iaitu Anugerah Inovasi dan Kreativiti Setiausaha Persekutuan Sarawak (AIKSUPS) dan Anugerah Laman Web Setiausaha Persekutuan Sarawak (ALWSUPS).

Anugerah AIKSUPS menerima sebanyak 30 penyertaan, manakala Anugerah ALWSUPS menerima 26 penyertaan daripada pelbagai agensi Kerajaan. Pemenang-pemenang bagi setiap anugerah akan menerima sebuah piala, wang tunai dan sijil penyertaan.

Seramai 360 tetamu jemputan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua-ketua Jabatan dan peserta Anugerah akan menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Setiausaha Persekutuan Sarawak 2010 tersebut. 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article