Untuk 1 JKM (Jabatan Ketua Menteri)
Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti (HRDQ), Jabatan Ketua Menteri mengorak langkah proaktif untuk mewujudkan sebuah kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di bawah teraju Jabatan Ketua Menteri tersebut dengan menganjurkan buat julung kalinya Kursus Inovatif dan Kreatif Untuk Jabatan Ketua Menteri selama 3 hari pada 9 hingga 11 Februari yang lepas.
Seramai lebih kurang 30 orang peserta daripada pelbagai unit dalam Jabatan Ketua Menteri terlibat dalam kursus selama tiga (3) hari tersebut dengan dilatih oleh fasilitator, Abdul Rahman Bin Abdul Kamis.
Menurut Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti (HRDQ) Jabatan Ketua Menteri, Dr. Sabariah Putit ketika merasmikan penutupan Kursus KIK berkata ia melakarkan sejarah tersendiri kerana inilah kali pertama dianjurkan untuk Jabatan Ketua Menteri.
Jelas beliau, adalah menjadi harapan agar hasil daripada kursus tersebut, dapat mengenalpasti ahli-ahli daripada unit tertentu dalam Jabatan Ketua Menteri bagi membentuk pasukan KIK bagi Jabatan Ketua Menteri.
Sejajar dengan aspirasi 1JKM,seperti yang disuarakan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani ketika Perhimpunan Bulanan JKM awal tahun ini, menurut beliau sudah tiba masanya JKM mempunyai kumpulan KIK sendiri yang menghimpunkan ahli kumpulan yang terdiri daripada pelbagai unit dalam sebuah jabatan tersebut.
Terdahulu sebelum itu, wakil peserta, Encik Clement Langet Sabang berkata idea menghimpunkan peserta daripada pelbagai unit amatlah bertepatan dalam usaha mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi di kalangan mereka.
Beliau mengesyorkan agar bimbingan dan latihan berterusan perlulah diadakan lebih kerap, terutama kepada para peserta yang bakal menjadi ahli kumpulan KIK untuk Jabatan Ketua Menteri.
Ia amat penting, menurutnya bagi memastikan peserta ini khususnya dan kumpulan KIK amnya nanti bagi bakal mengerakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam organisasi tersebut.
Dalam perkara berkaitan, menurut penyelaras kursus tersebut daripada Unit HRDQ, Jabatan Ketua Menteri, Encik Dolhadi Marzuki, berkata selain Jabatan Ketua Menteri, pihaknya turut mengadakan kursus yang serupa untuk agensi kerajaan di zon utara (Miri) pada 21 hingga 22 Februari dan zon tengah (Sibu) pada 24 hingga 25 Februari 2011.
Menurutnya, tujuan penganjuran kursus tersebut adalah sebagai kesinambungan usaha HRDQ, untuk memberi pendedahan seterusnya meningkatkan penyertaan kumpulan KIK yang bertanding pada peringkat zon pada tahun ini berikutan sambutan mengalakkan pada tahun lepas.
Sebagai rekod menurutnya, penglibatan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat pada konvensyen tahun lepas (2010) ialah agensi kerajaan negeri (48 buah kumpulan, dengan 36 agensi dan jabatan kerajaan) manakala agensi kerajaan persekutuan (16 buah kumpulan dengan 11 agensi dan jabatan kerajaan).