Program Sejiwa Senada Di Serian
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dijadual merasmikan program Sejiwa Senada Bahagian Kota Samarahan di Pekan Serian pada 19 Mac 2011
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata Program Sejiwa Senada ke-10 akan bermula pada Jumaat hingga Sabtu ini, di Dewan Masyarakat Serian / Stadium Tertutup Serian, kira-kira 65km dari Bandaraya Kuching.
“Program Sejiwa Senada yang bertujuan mendekati rakyat dan mendengar masalah serta pandangan mereka telah pun menjelajah ke 9 Bahagian di Sarawak dan sehingga kini sejumlah lebih 500,000 pengunjung hadir ke program tersebut”, kata beliau pada Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama anggota Perkhidmatan Awam di Negeri Sarawak pada 14 Mac 2011 yang lepas.
Dalam perkara berkaitan, pada hari yang sama, Perdana Menteri turut mengadakan Tinjauan Mesra di Pekan Serian dan Kampung Semera, Sadong Jaya, Samarahan.
Beliau turut mengadakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Semera dan di Perkarangan Pasar Kenyalang Park, Kuching. Beliau juga akan bertemu dengan rakan-rakan Facebook di sesi perjumpaan khas "Mari Berjumpa, Mari Berhubung" di Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya.