Pertingkatkan KPI Tahun 2010
Pelaksanaan dan pengenalan beberapa “nilai tambah” dalam program Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Sarawak pada tahun lepas (2010) telah menghasilkan kejayaan serta mempertingkatkan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi dua tahun sebelumnya (2009) dan (2010) menepati sasaran jabatan tersebut dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
Demikian jelas, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Malaysia, YBhg Dato’ Alwi Haji Ibrahim ketika mengadakan satu perjumpaan dengan wakil-wakil media Sarawak baru-baru ini.
Menurut beliau, antara nilai tambah yang diperkenalkan JPN bagi mempertingkatkan mutu system penyampaian perkhidmatan termasuk yang melibatkan Sarawak, iaitu melancarkan Cetakan MyKad 1 jam di JPN, Kuching mulai 17 Oktober 2010, dengan 899 MyKad dicetak pada bulan pertama, 2,943 pada bulan November 2010, 3,573 pada Disember 2010 dan 362 pada bulan pertama tahun 2011 (setakat 7 Januari).
Lain-lain nilai tambah antaranya menambah baik Piagam Pelanggan bagi urusan kewarganegaraan, dengan semua permohonan akan diproses dalam tempoh dua tahun dari tarikh permohonan lengkap diterima, pelancaran Cetakan MyKid Ekspres di JPN Putrajaya mulai 11 November 2010, dan perkhidmatan secara atas talian, iaitu semakan MyKad Online, MyPR Online dan MyKid Online.
Satu lagi nilai tambah adalah mengadakan serahan bersepadu dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) untuk menyelesaikan masalah MyKad yang tidak dituntut, berjumlah 400,000 keping, di seluruh negara, dan setakat 10 Januari 2011, jumlah tersebut berkurangan kepada 7,865 keping sahaja.
JPN Sarawak (JPNS) telah berjaya melaksanakan 64 operasi Unit Khas Bergerak (UKB) ke kawasan pedalaman, dan program berkenaan telah memberikan manfaat kepada 5,856 penduduk, selain dari merekodkan 610 permohonan lewat kelahiran melalui kaunter di seluruh negeri, di mana 503 darinya telah berjaya diselesaikan.
Jabatan tersebut juga telah menjayakan Program Taklimat kepada para pemimpin masyarakat dan Residen-residen Bahagian, di mana ianya telah meilbatkan sembilan bahagian di Sarawak pada tahun 2010, dengan taklimat disampaikan oleh Pengarah dan pegawai-pegawai tinggi JPNS untuk menjelaskan program-program JPN dalam menyelesaikan isu berkenaan penduduk tiada dokumen pengenalan diri.
Selain dari itu, JPNS juga mengadakan Program Outreach dengan kerjasama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) di sebelas kawasan pedalaman bermula April hingga Disember 2010.