- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Program “Turun Padang” dan “Outreach”

Must read

Pedalaman Sarawak Sasar Tingkatkan Kadar Miliki MyKad Tahun 2011

Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak (JPNS) telah mensasarkan semua individu yang lahir di pedalaman Sarawak akan memiliki dokumen pengenalan diri yang menjadi fokus utama pada tahun ini (2011) berdasarkan  kepada tujuh komitmen utama KDN yang telah ditekankan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia semasa Perutusan Tahun 2011 pada 7 Januari 2011, terutamanya Komitmen Ke-2, ‘Memberi Nilai Tambah kepada KPI JPN’.

Bagi memastikannya tercapai, JPN akan meneruskan serta meningkatkan lagi program turun padang ataupun “outreach” melalui Mobile JPN 1 Malaysia, dengan membuat operasi ke kawasan-kawasan masyarakat Penan, kawasan W-Spot (kaunter bergerak berjadual) dan kawasan-kawasan lain yang dikenalpasti masih menghadapi masalah penduduk tidak berdokumen diri.

Bagi tahun 2011, sejumlah 67 lawatan Mobile JPN 1 Malaysia dijadualkan bagi Bahagian-bahagian Kuching, Miri, Betong, Bintulu dan Kapit, dan bagi kawasan-kawasan Penan pula, sebanyak 24 lawatan serupa akan dilaksanakan dalam daerah-daerah Baram, Miri dan Belaga, Bintulu.

Sejumlah 15 lawatan ke kawasan operasi W-Spot di dua daerah itu juga dirancang untuk diadakan pada sepanjang tahun 2011, dengan W-Spot merupakan satu kawasan di mana 80 peratus dari penduduknya telah memperolehi dokumen-dokumen pengenalan diri dan lawatan-lawatan berkala dibuat tiga atau enam bulan sekali mengikut keperluan.

JPNS juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di seluruh Sarawak dengan mengambil bahagian dalam  Program Sejiwa Senada, di samping meneruskan penglibatan dalam pameran dan Program 1KDN yang akan dianjurkan oleh KDN.

Pada tahun 2010, JPNS telah terlibat dalam Program Sejiwa Senada di Sibu, Bintulu, Betong, Sarikei, Mukah dan Kapit, dan pada tahun 2011, ia akan melibatkan diri dengan program-program serupa di Bahagian-Bahagian Miri, Limbang, Sri Aman, Samarahan dan Kuching. Manakala Tiga Program 1KDN telah diadakan di Sibu, Kuching dan Limbang pada tahun 2010.

Untuk tahun 2011 pula, selain dari Lawatan Mobile JPN 1 Malaysia, JPNS akan terbabit dengan Ops Murid iaitu untuk melawat ke sekolah-sekolah di Sarawak yang telah dikenal pasti mempunyai pelajar-pelajar yang tiada dokumen pengenalan diri pada dua bulan pertama tahun itu, serta Ops Prihatin dengan jabatan itu merancang 12 program bagi ‘membawa’ perkhidmatan mereka ke golongan orang kurang upaya/uzur dan yang menghuni institusi kerajaan/swasta.

JPNS juga telah merancang sejumlah 11 program sesi taklimat/jerayawara melibatkan kesemua sebelas Bahagian di Negeri Sarawak.

Perancangan tersebut adalah  kesinambungan daripada beberapa kejayaan yang dicapai JPNS pada tahun lepas (2010) disamping mempertingkatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JPN bagi tahun-tahun terdahulu (2009 dan 2010). Ia juga dilihat  sebagai  ‘Memberi Nilai Tambah kepada KPI JPN Sarawak pada tahun 2011’ dalam usaha ke arah perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini.

Butiran perancangan  ini telah dijelaskan sendiri oleh  Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Malaysia, YBhg Dato’ Alwi Haji Ibrahim yang telah mengadakan satu perjumpaan dengan wakil-wakil media Sarawak baru-baru ini.

Menurut beliau, perancangan dan pelaksanaan tersebut dibuat bagi tujuan menggerakkan agenda berkaitan ‘menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubunga permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran’, untuk memastikan inisiatif yang dilaksanakan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article