Perubatan Percuma
Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 pada 22 Mac 2011 yang berkuatkuasa mulai tarikh semasa tersebut.
Menurut beliau, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.
Walau bagaimanapun, katanya ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.
Pada majlis tersebut juga, kerajaan juga memutuskan bahawa ganjaran akan dibayar seratus peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah Skim Pencen, sekaligus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.
Menurutnya, ganjaran itu diberikan adalah berkat usaha kerajaan menguruskan kewangan dengan bijak sehingga negara mulai pulih daripada masalah ekonomi.
Beliau turut berkata kajian semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) juga sedang dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.
Kajian tersebut, menurutnya bukan sahaja meneliti aspek saraan semata-mata tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamis bagi menterjemahkan agenda transformasi kerajaan serta ekonomi.