- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sarawak, tuan rumah untuk Perayaan Hari Guru

Must read

Negeri Sarawak menjadi tuan rumah untuk Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-40 bagi Tahun 2011 mulai 12 hingga 16 Mei ini. Majlis Pelancaran perayaan tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 Mei ini. Tema Hari Guru pada tahun ini adalah Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Sambutan perayaan tersebut dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan Solat Hajat di SMK Tun Abang Haji Openg dan acara keagamaan di St. Joseph Cathedral. Manakala Festival Hari Guru 2011 diadakan di Tebingan Sungai Kuching mulai 13 hingga 16 Mei ini pada jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Festival anjuran Utusan Melayu (M) Berhad melalui Unit Pendidikan Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia ini berkonsepkan 1 Pendidikan 1 Malaysia.

Aktiviti yang akan diadakan sepanjang festival adalah pameran Hari Guru, pelbagai bentuk pertandingan, jualan dan demonstrasi produk oleh pempamer, permainan berasaskan pendidikan, jualan buku-buku dan majalah dan sebagainya dan ia turut melibatkan interaksi secara langsung antara warga pendidik, pelajar, sektor korporat, agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan masyarakat setempat.

Bank Simpanan Nasional akan mengadakan pertandingan mewarna pada 14 Mei, jam 1.00 petang manakala Pertandingan Catur Bistari akan diadakan pada 16 Mei, jam 10.00 pagi. Selain itu, turut diadakan E-Lab Tongue Twister, Choral Speaking dan Nasyid Kontemporari.    

Manakala bagi peminat karakter Upin dan Ipin, mereka berpeluang melihat kedua watak tersebut pada 14 dan 15 Mei di Tebingan Sungai Kuching. Persembahan hiburan turut tidak dilupakan dengan menampilkan artis AF dan artis terkenal tanahair. Pada 16 Mei pula, selepas majlis pelancaran perayaan Hari Guru, Timbalan Perdana Menteri dijangka melawat festival tersebut.

Selain itu, pada 14 Mei turut diadakan Pertandingan Akhir Bahas Guru di Dewan Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

 Pada 15 Mei pula diadakan Forum Pendidikan Hari Guru 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Ahli panel yang terlibat ialah Dato’ Devamany a/l S. Krishnasamy, Prof. Madya Dr. Hajah Fatimah Haji Bujang, Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce dan Awangku Merali Pengiran Mohamed. Forum tersebut akan dipengerusikan oleh Dr. Jeniri Amir.

Manakala pada sebelah malam 15 Mei pula diadakan Majlis Makan Malam di Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang dijangka dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article