Senam Ria Bandarayaku 2011
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) akan menganjurkan pertandingan Senam Ria BandarayaKu 2011 sempena Program 4U BandarayaKu @ Esplanade Kuching 2011 pada 9 Julai 2011 (Sabtu), bertempat di Esplanade Kuching, Jalan Gambier, Kuching.
Menurut kenyataan media DBKU, penyertaan tersebut terbuka kepada semua wargakota yang bermastautin di Sarawak yang berusia dalam lingkungan 14 tahun ke atas dan setiap penyertaan tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
Setiap kumpulan hanya terdiri daripada 6 orang ahli yang terdiri daripada lelaki sahaja, perempuan sahaja atau campuran.
Muzik adalah mengikut keperluan pasukan dan mestilah menyelitkan Rentak Malaysia dalam masa 5 minit sahaja. Muzik adalah dalam kiraan 130 hingga 145 rentak seminit.
Senam Ria mestilah mempunyai unsur Senam Tari yang memberikan penekanan kepada Gerakan Senaman dan kumpulan yang akan bertanding tidak dibenarkan mempunyai lebih daripada 2 orang dalam pasukan wakil/individu yang telah menyertai pertandingan peringkat negeri atau kebangsaan dari tahun 2006 hingga 2010 sama ada dalam pertandingan senaman/pertandingan tarian.
Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan/kemalangan/kehilangan semasa acara berlangsung dengan keputusan juri adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan.
Orang ramai dijemput menyertai Pertandingan Senam Ria bagi memeriahkan lagi program. Pelbagai hadiah menarik menanti anda.
Bagi sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Encik Muhd Abdullah (DBKU) di talian 010-9643877 / 082-446688 sambungan 130 atau Puan Mardini Hj. Mohd Tahir (KPSU) di Talian 082-440441 / 014-2068588