- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

3 Disiplin Utama Penentu Kejayaan Sarawak

Must read

Masa Hadapan

Keupayaan Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, pada masa hadapan, ke arah negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2020, berteraskan amalan tiga (3) disiplin utama iaitu Disiplin Ekonomi, Disiplin Politik dan Disiplin Personal (sikap individu).

Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, memperincikan bahawa bagi mengekalkan pembangunan ekonomi yang pesat pada masa hadapan, disiplin dalam bidang ekonomi adalah salah satu faktor penting memastikan kelangsungan kejayaan sesebuah negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak yang turut dihadiri Yang Di- Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah di Dataran Perbarisan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Malah, kata Ketua Menteri lagi, kejayaan Malaysia mempertahankan ekonominya adalah hasil daripada perancangan serta sistem kewangan yang cekap dengan didasari oleh rakyat yang memahami serta bekerjasama mengharungi gelombang ekonomi yang tidak menentu ini.

Sarawak seharusnya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di luar negara seperti penutupan beberapa buah syarikat elektronik gergasi. Antara faktor yang dikenalpasti kejatuhan ekonomi dunia adalah kerana ketidakcekapan tadbirannya serta gejala rasuah.

Difahamkan bahawa faktor tersebut juga adalah punca utama kejatuhan ekonomi seperti Greece, yang kemudiannya merebak ke Portugal, Ireland dan Itali, manakala Sepanyol juga mempunyai punca masalah yang sama serta dibebani hutang di luar kemampuan.

Bagaimanapun, bagi Malaysia faktor ekonomi serta pembangunan ekonomi harus dipertahankan dan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Bagi mengekalkan matlamat tersebut, banyak peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat, tanpa mengira di mana mereka berada; di bandar mahupun di luar bandar.

Setakat ini, institute berdasarkan kemahiran dalam bidang urusniaga telah pun diwujudkan di seluruh Malaysia dan pelbagai seminar dan latihan keusahawanan turut disediakan oleh beberapa buah agensi di setiap daerah dalam bandar dan luar bandar.

Pakej seperti ini disediakan khas untuk usahawan yang sudah bersedia untuk memulakan perniagaan dan ia memberi pendekatan baru dan peluang baru kepada rakyat.

Disiplin dalam politik mempunyai banyak pendekatan dan salah satu daripadanya ialah melalui kepimpinan yang mendahulukan rakyat.

Oleh yang demikian, rakyat harus faham dan belajar memahami sesebuah keputusan pihak kerajaan dan berfikiran rasional untuk bekerjasama dengan kerajaan serta memberi tindak balas yang sewajarnya dalam langkah untuk membina keyakinan rakyat dalam ekonomi dan pembangunan negeri.

Politik yang berdisiplin akan mewujudkan warganegara Malaysia yang beridentiti dan disegani oleh masyarakat lain, manakala nilai yang diterapkan dan diamal adalah bersifat positif dan diterima oleh semua bangsa dan penganut semua agama di Malaysia.

Disiplin dalam politik juga akan mewujudkan sebuah negara yang harmoni, dan dapat mengelak serta menghapuskan sikap negatif.

Elemen ketiga yang diketengahkan adalah kepentingan Disiplin Personal dalam sebuah negara maju. Disiplin Personal adalah keupayaan seseorang untuk mengambil tindakan tepat tanpa mengira keadaan emosi diri sendiri. Disiplin Personal ini amat berkait rapat dalam etika kerja sesebuah kerajaan dengan tujuan untuk mencapai tahap negara yang maju dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, kerajaan kepimpinan kini telah membuktikan bahawa dengan mengamalkan tiga disiplin utama itu, kemajuan dan perpaduan negara yang berbilang bangsa dan agama berjaya dicapai.

Cabaran tersebut cukup hebat di Sarawak, namun dengan berasaskan tiga disiplin, beliau yakin ia dapat menekankan semangat kerjasama semua kaum dan segala masalah dapat diatasi bersama.

Ketua Menteri berkata amalan politik jalanan seperti berdemonstrasi dan merosakkan harta banda awam bukannya cara yang betul tetapi sebaliknya ia boleh merosakkan negara dan perpaduan rakyat.

Untuk mencapai era pembangunan yang maju dan makmur, rakyat perlu ada motivasi diri dan disiplin yang kuat untuk menjadi lebih maju di masa yang akan datang.

Kemajuan untuk diri sendiri juga secara langsung adalah untuk pembangunan negeri dan ia suatu hasil perjuangan yang banyak pengorbanan dan menggambarkan semangat dan disiplin yang kuat rakyat dalam budaya saing hebat zaman sekarang.

Segala aspek dalam kehidupan kita seharian memerlukan disiplin yang tinggi.

Keamanan, kekayaan budaya dan hasil kemajuan yang Sarawak kecapi pada masa kini kesemuanya bermula dari titik tolak satu anjakan perjuangan yang mengalihkannya daripada zaman yang naif, kepada zaman yang memulakan kegemilangan.

Dalam usia 48 tahun Merdeka dalam Malaysia, banyak cabaran dan halangan yang dilalui untuk memastikan Sarawak terus maju dan bergerak ke hadapan.

Kerajaan negeri sentiasa memastikan usaha-usaha pembangunan dilaksanakan secara bijak dan berterusan dengan memberikan tumpuan kepada sektor-sektor pembangunan yang memberi kelebihan kepada Sarawak, termasuk Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article