- Advertisement -spot_img
4,841
published news
and counting

Talikhidmat, Aspek Protokol dan Pengurusan Majlis Akan Dipertingkatkan

Must read

Setelah memperkenalkan versi Talikhidmat 3.0 sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) Talikhidmat yang dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri semasa Program Sejiwa Senada di Bandaraya Miri pada 22 Januari 2011, usaha berterusan mempromosikan penggunaan Talikhidmat terus dipertingkatkan untuk tahun 2012.

Malah, perkhidmatan tersebut akan diperkukuhkan lagi menerusi kaji selidik kepuasan pelanggan serta sesi dialog bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan sistem Talikhidmat.

Ini adalah sebahagian daripada kesinambungan pelaksanaan program bagi tahun 2011 bagi Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat (UPAK) yang dipertanggungjawab mengendalikan Talikhidmat yang telah terbukti keberkesanannya apabila sehingga Disember 2011, sistem ini menerima sejumlah 13,507 aduan dengan 183 aduan menerusi SMS.

Selain sistem tersebut, perkhidmatan UPAK turut diketengahkan semasa Program Sejiwa Senada yang menjelajah seluruh negeri Sarawak sepanjang tahun 2010 sehingga pertengahan 2011. Hasilnya Unit ini turut diumumkan sebagai pemenang kategori ‘booth terbaik’ dalam program berkenaan.

Di dalam aspek meningkatkan kepuasan pelanggan dan stakeholders, UPAK turut menambah baik sistem e-Jemputan sedia ada, kepada sistem baru dikenali sebagai Event Management System (e-Mas). Melalui sistem ini, urusan mengeluar dan memantau jemputan akan menjadi lebih efisien.

Bagi tahun 2012, UPAK akan terus mengimplementasikan perancangan strategik yang digariskan seperti penyediaan manual berkaitan protokol dan pengurusan majlis, mengaplikasikan sistem e-Mas dan menambah baik sistem Talikhidmat sedia ada.

Malah, UPAK juga merancang mengadakan soal selidik kepuasan pelanggan terhadap Perayaan Utama Peringkat Negeri Sarawak dan membuat penstrukturan semula, bagi memantapkan fungsi dan penyampaian perkhidmatannya.

Segalanya dilaksana berpandukan piagam pelanggan yang menitikberatkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan UPAK.

Beberapa pencapaian UPAK sepanjang tahun 2011 antara lain melibatkan aspek pengurusan pejabat;UPAK telah mendapat pensijilan semula 5S pada 29 Julai 2011 dan membantu Jabatan Ketua Menteri mendapatkan pensijilan MS ISO 9001 : 2008, selain turut terlibat dalam Penarafan Bintang JKM yang lalu.

Pada tahun 2011, UPAK juga membantu memastikan kelancaran lima (5) Perayaan Utama Peringkat Negeri yang telah dijadual, seperti Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri tahun ini yang menampilkan elemen kelainan iaitu persembahan atas air oleh kumpulan Stars of Florida.

Selain itu, Sambutan Hari Jadi Ke-90 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak juga disambut meriah dengan penyertaan pelbagai agensi, persatuan dan kumpulan dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa. Persembahan padang yang disertai pelbagai peringkat umur juga menceriakan lagi suasana sambutan. Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri bagi mengenang jasa dan pengorbanan para perajurit negara pula telah julung kali diadakan pada tahun ini.

Pada tahun 2011, sebanyak 455 majlis telah diadakan yang turut melibatkan penganjuran oleh pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan serta syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan. Umumnya, UPAK turut membantu urusan protokol dan sambutan bagi setiap majlis ini.

Selain itu, terdapat kira-kira 52 siri lawatan dicatat pada tahun 2011 yang melibatkan golongan kenamaan ke Sarawak, misalnya lawatan oleh YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri.

Bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan, UPAK turut memperkenalkan beberapa pendekatan inovasi dalam menambah baik mutu perkhidmatannya. Misalnya, penggunaan hammerhead telah diperkenalkan di lapangan terbang bagi memudahkan permaidani merah diubah suai kedudukannya di hadapan pintu kapal terbang.

Urusan pengendalian majlis juga akan ditingkatkan agar tugasan menyambut dan mengiringi tetamu menjadi lebih efisien.

Langkah-langkah penambahbaikan, pengurusan dan penyelenggaraan kenderaan VIP juga sedang diusahakan. Ketika ini, UPAK sedang menjalankan tempoh percubaan terhadap Sistem Quantum Trac yang dijangka dapat membantu mengawal selia penggunaan kenderaan VIP selain dapat memantau tabiat pemanduan para pemandu. Melalui sistem ini juga, pegawai pengangkutan akan dapat memantau pergerakan setiap kenderaan di bawah jagaan Unit ini dengan lebih mudah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article