- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

C.E.R.T Tindakan Pantas Cipta Perbezaan

Must read

Program Community Emergency Response Team (C.E.R.T) yang dilaksanakan Unit Keselamatan Negeri (UKN) Jabatan Ketua Menteri telah mendapat pengiktirafan sebagai “paling inovatif” semasa penilaian penarafan 5 bintang JKM, dan kini menjadi penanda aras kepada pencapaian cemerlang Unit tersebut sepanjang tahun 2011.

Program tersebut merupakan pengemblengan usaha kerajaan, pemimpin dan masyarakat dalam memastikan persediaan yang berkesan dan tindak balas yang lebih tersusun di kalangan ketiga-tiga pihak tersebut dalam menghadapi bencana.

C.E.R.T adalah berkaitan dengan kesiapsiagaan orang ramai membantu sesama sendiri, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan dan menyelamat dengan penglibatan yang menyeluruh. Program ini adalah satu pendekatan positif dan realistik terhadap situasi kecemasan dan bencana, di mana orang ramai boleh membuat tindakan pantas yang membantu mangsa pada saat yang kritikal.

Melalui latihan yang diberikan, orang ramai boleh, di antara lain, menguruskan utiliti dengan cekap dan memadamkan kebakaran kecil; membuat rawatan kecemasan membuka saluran pernafasan; mengawal pandarahan; menyediakan bantuan perubatan asas; mencari dan menyelamat mangsa; dan menjadikan diri sendiri sukarelawan cekap bertindak.

Antara visi utama program C.E.R.T ini adalah untuk mengurangkan penderitaan dan kerugian penduduk yang terjejas oleh bencana di negeri Sarawak dengan menekankan misi untuk meningkatkan keberkesanan ahliahlinya dalam persediaan menghadapi bencana dan mengurangkan kelemahan ahli-ahli yang terjejas dalam bencana.

C.E.R.T mampu menyumbang kepada pelaksanaan system pengoperasian yang lebih baik dengan memastikan persediaan yang berkesan dan tindakbalas yang lebih tersusun dari Jawatankuasa Bencana Negeri, pemimpin dan masyarakat, dalam menghadapi bencana yang mungkin melanda.

Kewujudan pendekatan ‘bebas daripada ketakutan’ di kalangan masyarakat di negeri Sarawak terutamanya dari segi ekonomi, politik, sosial dan alam sekitar dilihat selari dengan tindakan proaktif UKN bagi memastikan pihak atasan dapat membuat keputusan yang tepat dan sesuai dengan persekitaran di Sarawak berkaitan dengan keselamatan.

UKN diwujudkan bagi melaksanakan pelbagai program dalam konteks keselamatan dengan melibatkan rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan bagi melahirkan kehidupan masyarakat yang bebas daripada ketakutan.

Unit tersebut telah menggariskan perancangan strategik, antaranya merancang, memantau, menganalisa dan memberi khidmat nasihat dalam semua aspek keselamatan. Tindakan ini menjurus kepada persekitaran yang kondusif, selamat, sihat dan harmoni di negeri Sarawak untuk aktiviti ekonomi.

Ia turut bertanggungjawab terhadap hal ehwal pengurusan krisis bagi membolehkan persediaan rapi dan keyakinan yang tinggi dalam menghadapi krisis di negeri Sarawak di samping bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan fizikal dan perlindungan di jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

Konsep ‘multi-tasking’ dari segi penugasan dan kemahiran pelbagai di kalangan pegawai dan kakitangan adalah salah satu pendekatan inovasi yang telah diambil oleh UKN dalam usaha memanfaatkan sepenuhnya pegawai dan kakitangan yang terhad untuk melaksanakan skop kerja yang besar

Selain itu, konsep perkongsian (engaged partnership) juga telah diwujudkan antara agensi berkaitan keselamatan bagi memastikan kemahiran profesional mereka dapat disalur kepada masyarakat.

Berikutan kejayaan pada tahun 2011, unit tersebut telah mensasarkan beberapa strategi pada tahun 2012 seperti meningkatkan standard keselamatan dalaman dan luaran.

Lingkungan aspek keselamatan dalaman akan memfokuskan peningkatan keselamatan fizikal dan keselamatan pekerja di agensi-agensi Kerajaan Negeri, sementara keselamatan luaran akan memfokuskan keselamatan masyarakat dengan menekankan keselamatan dalam konteks ekonomi, sosial, politik dan alam sekitar.

Program-program yang dirancang sepanjang tahun ini akan dijalankan secara ‘engaged partnership’ dengan agensi-agensi profesional yang berkaitan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article