- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Daerah Kecil Belawai Nikmat Pembangunan SCORE Terus Dirasai

Must read

Bagi yang belum pernah berkunjung mahupun mengenali daerah kecil Belawai, akses untuk ke daerah kecil ini suatu masa dahulu boleh dikatakan sukar dan memakan masa yang agak lama. Ia hanya boleh dihubungi melalui sungai dengan perkhidmatan feri dan bot ekspres sebagai nadi utama pengangkutan.

Perjalanan ke Belawai dari Sibu atau Sarikei, bahagian yang terdekat dahulu perlu melalui perkhidmatan bot ekspres atau feri yang berhenti di Terminal Pelabuhan Tanjung Manis yang terletak di dalam Daerah Kecil Belawai. Namun kini, keadaan tersebut berubah setelah jalan raya yang menghubungkan Sibu ke Tanjung Manis telah siap dibina.

Terletak dalam kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE),terutama kawasan Tanjung Manis yang merupakan fokus industri Hub Halal, apa yang pasti Daerah Kecil Belawai bakal menikmati tempias pembangunan kawasan terbabit.

Pertumbuhan beberapa komponen pembangunan Hub Halal yang sedang rancak dilaksanakan sudah tentu memerlukan tenaga kerja tempatan yang berhampiran untuk mengisi peluang pekerjaan terbabit. Di samping itu, di kawasan itu terletaknya beberapa sektor utama industri seperti perkhidmatan dan latihan untuk perikanan laut dalam.

Daerah Kecil Belawai, yang terletak di bahagian tengah Sarawak dengan keluasan 730.53 kilometer persegi, merangkumi beberapa buah kampung dan kawasan antaranya ialah Kampung Belawai, Kampung Rajang, Kampung Jerijeh, Kampung Paloh, Kampung Sebako, Kampung Kedang, Kampung Sedi, Kampung Berangan, Kampung Stalun, Kampung Sebayang, Kampung Tusok, Semalau, Tanjung Manis dan Serdeng.

Ia dinaiktaraf ke status Daerah Kecil pada 4 April 1987, di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Daro dalam Bahagian Mukah. Populasi di daerah kecil ini adalah 8,259 orang dengan majoriti penduduknya adalah berbangsa Melanau diikuti penduduk bangsa Iban yang tinggal di beberapa buah kawasan dan rumah panjang di sekitar pedalaman.

Industri SCORE Mengubah Daerah Belawai

Penduduk Belawai amat bertuah sekali kerana Tanjung Manis terletak di dalam wilayah SCORE dengan pembangunan sebuah Hub Halal terbesar di dunia dengan keluasan sekitar 77,000 hektar menjelang tahun 2030.

Ia bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya golongan muda yang mempunyai minat dalam industri akuakultur, bioteknologi, perladangan, penternakan dan penghasilan dan pemprosesan makanan halal yang bakal dieksport ke serata dunia.

Usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan membangunkan kluster industri kelapa sawit di Tanjung Manis yang merangkumi projek-projek Central Oil Distribution Terminal (CODT) atau Terminal Pusat Agihan Minyak, projek Kelapa Sawit Bersepadu; Taman Industri Ringan Petrokimia, Oleokimia dan projek Oil, Gas and Chemical (OGC) Jetty membuka ruang kepada penduduk untuk meneroka peluang-peluang kerjaya yang ada.

Tanjung Manis yang pernah menjadi sebuah pusat industry perkayuan terkemuka di Sarawak sebelum peranannya diperluaskan kepada kawasan pembangunan Hub Halal dalam SCORE.

Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sebuah agensi Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan membangunkan Tanjung Manis sebagai pusat industri perkayuan sejak tahun 1984 sehingga wujudnya Bandar Baru Tanjung Manis.

Di Bandar Baru Tanjung Manis, terdapat deretan beberapa buah rumah kedai menjual barangan keperluan, kedai serbaneka, restoran, bank serta menempatkan beberapa buah pejabat Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Di situ juga terdapat sebuah Balai Polis yang tersergam indah.

Pengunjung dan ahli perniagaan yang datang dari luar kini tidak perlu bimbang untuk bermalam di Bandar Baru Tanjung Manis kerana terdapat sebuah hotel penginapan di situ.

Komponen Tanjung Manis juga menempatkan Pelabuhan Perikanan Bersepadu di mana pendaratan ikan laut dalam dilakukan dari masa ke semasa di bawah selenggaraan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Di sekitar kawasan pelabuhan tersebut juga terletaknya bangunan pejabat pentadbiran LKIM yang turut dijadikan Pusat Latihan Perikanan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai National Agriculture Training Council (NATC).

Sebilangan besar pelatih yang mengikuti kursus berasal dari Daerah dan Bahagian yang berhampiran seperti Sibu, Sarikei, Mukah dan Bintulu.

Dengan adanya pusat latihan tersebut, ia telah memberi peluang kepada golongan muda tempatan terutamanya lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran dan latihan dalam bidang teknikal perikanan dan pengendalian kapal selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Belawai sebagai peneraju industri perikanan menjelang tahun 2015.

Memandangkan aktivitiaktiviti perindustrian di Tanjung Manis kini sedang pesat membangun dan kian bertambah berikutan pembangunan projekprojek SCORE di kawasan tersebut, tempo pembangunan dijangka semakin rancak.

Biarpun masih terdapat beberapa cabaran tertentu, terutamanya dari segi system komunikasi, dijangkakan ia akan diatasi apabila lebih banyak menara komunikasi dibina untuk memperluaskan liputan di sekitar kawasan tersebut, untuk kemudahan pengguna terutamanya pemaju industri yang terdiri daripada pelabur-pelabur asing.

Selain daripada itu, pusatpusat komersil yang sedia ada belum begitu memberi kemudahan secukupnya dan masih belum mampu memenuhi kehendak peniaga dan pengguna tempatan dan orang luar.

Namun demikian, segala kekurangan ini akan dapat diatasi apabila arus pembangunan semakin pesat demi memenuhi keperluan SCORE.

Kepesatan ekonomi yang dialami di Tanjung Manis juga akan meningkatkan pertumbuhan projek perumahan yang diramal akan dimajukan dalam masa beberapa tahun akan datang, berikutan pertambahan penduduk yang terdiri daripada golongan yang bekerja di kawasan perindustrian SCORE.

Kini, setelah lebih 20 tahun dinaiktaraf sebagai Daerah Kecil, Belawai terus membangun di bawah pentadbiran yang sentiasa komited dalam menerajui pembangunan yang seimbang dan mapan.

Kerancakan pelaksanaan program dan projek pembangunan yang memberi sumbangan positif secara keseluruhannya sentiasa dipastikan demi kesejahteraan masyarakatnya.

Perubahan Kegiatan Ekonomi

Suatu ketika dahulu, penternakan udang harimau pernah popular di kalangan penduduk dan telah menjadi aktiviti utama di Daerah Kecil tersebut. Namun, kini ia tidak lagi diusahakan dan sebaliknya industri sarang burung walit telah mengambil tempat.

Industri tersebut telah mencecah pendapatan bulanan sehingga puluhan ribu ringgit berdasarkan permintaan tinggi di peringkat global sehingga membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk menceburi industry tersebut. Di sesetengah kawasan, beberapa buah rumah sarang burung walit milik pengusahapengusaha tempatan jelas kelihatan di tepi-tepi jalan.

Terkenal dengan aktiviti dan industri berasaskan perikanan dan pertanian setelah sekian lama, sudah ramai di kalangan penduduknya mengusahakan industri kecil dan sederhana mengeluarkan produk makanan hasil tangkapan laut dan sungai dengan yang popular seperti sotong kering, sesar unjur, salai pipus, keropok ikan dan keropok udang.

Terdapat juga sebahagian penduduk mengusahakan kilang kecil memproses roti canai, mi kuning dan kuih kering tradisional di samping penduduk yang mengusahakan ternakan lembu dan kolam ikan air tawar.

Kepesatan Pembangunan Infrastruktur

Daerah Kecil Belawai telah mengalami perubahan positif serta pembangunan dari segi infrastruktur dan infostruktur yang ketara pada hari ini. Ini dapat disaksikan melalui perkhidmatan penerbangan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tanjung Manis menghubungkan Tanjung Manis dengan Kuching, yang merupakan salah satu perubahan dan pembangunan infrastruktur yang paling ketara di Daerah Kecil Belawai.

Menggunakan perkhidmatan pesawat MASwings jenis DHC- 6 Twin Otter, pesawat yang dapat menampung 19 penumpang tersebut telah melakukan penerbangan sulungnya ketika majlis perasmian Lapangan Terbang Tanjung Manis pada tahun 2008.

Pembinaan lapangan terbang tersebut telah membuka lembaran baru dalam system pengangkutan di Belawai malah merancakkan lagi pertumbuhan ekonominya di mana ia memudahkan urusan pelaburan terutama bagi pelabur-pelabur dan pengusaha industri yang keluar masuk di Tanjung Manis yang terangkum di dalam kawasan SCORE.

Jaringan jalan raya yang menghubungkan Sibu ke Tanjung Manis, Belawai, Rajang dan Jerijeh yang telah siap sepenuhnya pada tahun 2010 memberi keselesaan kepada penduduk tempatan serta orang luar yang datang berkunjung.

Pasar Belawai yang menempatkan peniaga-peniaga sentiasa sibuk terutamanya pada hujung minggu sehingga berlakunya kesesakan jalan keluar masuk ke pasar tersebut.

Situasi ini menandakan arus pembangunan yang sedang dialami oleh Daerah Kecil Belawai apabila Jambatan Semalau, laluan terakhir yang menghubungkan Belawai dengan Bahagian Sibu telah siap dibina.

Dengan adanya jambatan tersebut, perjalanan dari Sibu ke Belawai kini mengambil masa lebih kurang dua jam dan kesibukan pasar Belawai disebabkan oleh ramai pengunjung dari Sibu dan Sarikei yang datang menggunakan pengangkutan darat.

Penduduk dan orang luar kini boleh berulang alik dengan lebih selesa berbanding dengan pengangkutan air yang bergantung kepada paras air sungai dan alam semula jadi serta lebih terdedah kepada risiko terutamanya ketika keadaan cuaca yang tidak menentu.

Urusan perniagaan juga semakin berkembang dan bergerak pantas apabila hasil pertanian dan jualan boleh dihantar dari satu tempat ke satu tempat yang lain melalui jalan raya. Tempoh penghantaran juga menjadi singkat, melancarkan urusan jual beli.

Kemudahan awam di Belawai

Di Belawai, terdapat sebuah sekolah menengah Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai, sebuah sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Abang Buyuk, Jerijeh), dan sebuah tadika (Tadika KEMAS Kampung Jerijeh). Walaupun bilangannya amat minima, namun ia tidak menghalang generasi mudanya untuk menikmati kemudahan pendidikan yang ada, melalui bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan.

Penduduk Belawai juga telah lama menikmati kemudahan bekalan air dan elektrik yang sedia ada dengan jumlah keseluruhan pengguna seramai 8,259 orang.

Pada masa sekarang, Kerajaan sedang berusaha melakukan peningkatan dan penambahbaikan bekalan air bersih dan elektrik di beberapa buah kawasan terutamanya di kawasan pedalaman.

Dari segi komunikasi pula, pengguna-pengguna telefon di Daerah Kecil Belawai merangkumi kawasan Belawai seramai 285 orang, Rajang 124, Jerijeh dan Tanjung Manis masing-masing seramai 287 orang menjadikan jumlah keseluruhan pengguna seramai 696 orang. Jumlah pengguna telefon agak kecil dan liputan komunikasinya agak terhad kerana hanya terdapat satu menara komunikasi di Daerah Kecil Belawai.

Potensi Pelancongan Belawai

Keindahan Pantai Belawai bukan sahaja dinikmati dan dikunjungi masyarakat setempat malahan pengunjung yang dating dari luar juga meluangkan masa di situ, terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Malah terdapat penduduk tempatan yang memanfaatkannya sebagai pusat perhentian pelancongan. Pantai Belawai pernah dijadikan tapak carnival dan ‘Pesta Pantai Belawai’ yang diadakan setiap tahun. Pelbagai acara menarik dijalankan seperti perlumbaan bot laju dan sukaneka yang mampu mengundang kehadiran orang ramai.

Belawai yang terkenal dengan Songket Rajang yang mempunyai identiti dan keunikan tersendiri dengan diusahakan oleh penduduk di Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang, sebuah pusat kegiatan industri di bawah ‘Program Satu Daerah Satu Industri’ (SDSI).

Malahan kain songket yang dihasilkan sentiasa mendapat tempahan termasuk daripada orang-orang kenamaan dari dalam dan luar negeri.

Pusat ini juga sentiasa dikunjungi pelancong-pelancong dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara yang ingin melihat sendiri proses tenunan Songket Rajang serta keunikan tenunannya.

Seperti Mukah yang terkenal dengan Pesta Kaul Mukah, Daerah Kecil Belawai juga memiliki pesta seumpama yang dipanggil Pesta Kaul Belawai yang menarik ribuan pengunjung setiap tahun ia dianjurkan.

Senarai Agensi Kerajaan / GLC / Pusat Latihan yang terdapat di Daerah Kecil Belawai:

  • Jabatan Kerja Raya
  • Jabatan Perikanan Laut
  • Jabatan Penerangan
  • Jabatan Pendaftaran Negara
  • Jabatan Kesihatan
  • Jabatan Imigresen
  • Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia
  • Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak
  • Polis DiRaja Malaysia
  • Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
  • Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
  • Lembaga Pelabuhan Rajang Tanjung Manis
  • Syarikat Pos Malaysia Berhad
  • GIATMARA
  • Pusat Latihan Perikanan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article