- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Daerah Kecil Belawai Nikmat Pembangunan SCORE

Must read

Terus
Dirasai

Bagi yang belum pernah berkunjung mahupun mengenali
daerah kecil Belawai, akses untuk ke daerah kecil ini suatu masa dahulu boleh
dikatakan sukar dan memakan masa yang agak lama. Ia hanya boleh dihubungi
melalui sungai dengan perkhidmatan feri dan bot ekspres sebagai nadi utama
pengangkutan.

Perjalanan ke Belawai dari Sibu atau Sarikei,
bahagian yang terdekat dahulu perlu melalui perkhidmatan bot ekspres atau feri
yang berhenti di Terminal Pelabuhan Tanjung Manis yang terletak di dalam Daerah
Kecil Belawai. Namun kini, keadaan tersebut berubah setelah jalan raya yang
menghubungkan Sibu ke Tanjung Manis telah siap dibina.

Terletak dalam kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui
Sarawak (SCORE),terutama kawasan Tanjung Manis yang merupakan fokus industri
Hub Halal, apa yang pasti Daerah Kecil Belawai bakal menikmati tempias
pembangunan kawasan terbabit.

Pertumbuhan beberapa komponen pembangunan Hub Halal
yang sedang rancak dilaksanakan sudah tentu memerlukan tenaga kerja tempatan
yang berhampiran untuk mengisi peluang pekerjaan terbabit. Di samping itu, di kawasan
itu terletaknya beberapa sektor utama industri seperti perkhidmatan dan latihan
untuk perikanan laut dalam.

Daerah Kecil Belawai, yang terletak di bahagian
tengah Sarawak dengan keluasan 730.53 kilometer persegi, merangkumi beberapa
buah kampung dan kawasan antaranya ialah Kampung Belawai, Kampung Rajang, Kampung
Jerijeh, Kampung Paloh, Kampung Sebako, Kampung Kedang, Kampung Sedi, Kampung Berangan,
Kampung Stalun, Kampung Sebayang, Kampung Tusok, Semalau, Tanjung Manis dan
Serdeng.

Ia dinaiktaraf ke status Daerah Kecil pada 4 April
1987, di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Daro dalam Bahagian Mukah. Populasi
di daerah kecil ini adalah 8,259 orang dengan majoriti penduduknya adalah berbangsa
Melanau diikuti penduduk bangsa Iban yang tinggal di beberapa buah kawasan dan rumah
panjang di sekitar pedalaman.

Industri
SCORE Mengubah Daerah Belawai

Penduduk Belawai amat bertuah sekali kerana Tanjung
Manis terletak di dalam wilayah SCORE dengan pembangunan sebuah Hub Halal
terbesar di dunia dengan keluasan sekitar 77,000 hektar menjelang tahun 2030.

Ia bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan
terutamanya golongan muda yang mempunyai minat dalam industri akuakultur, bioteknologi,
perladangan, penternakan dan penghasilan dan pemprosesan makanan halal yang bakal
dieksport ke serata dunia.

Usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan membangunkan kluster
industri kelapa sawit di Tanjung Manis yang merangkumi projek-projek Central
Oil Distribution Terminal (CODT) atau Terminal Pusat Agihan Minyak, projek
Kelapa Sawit Bersepadu; Taman Industri Ringan Petrokimia, Oleokimia dan projek
Oil, Gas and Chemical (OGC) Jetty membuka ruang kepada penduduk untuk meneroka
peluang-peluang kerjaya yang ada.

Tanjung Manis yang pernah menjadi sebuah pusat industry
perkayuan terkemuka di Sarawak sebelum peranannya diperluaskan kepada kawasan
pembangunan Hub Halal dalam SCORE.

Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA)
sebuah agensi Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan membangunkan Tanjung
Manis sebagai pusat industri perkayuan sejak tahun 1984 sehingga wujudnya
Bandar Baru Tanjung Manis.

Di Bandar Baru Tanjung Manis, terdapat deretan
beberapa buah rumah kedai menjual barangan keperluan, kedai serbaneka,
restoran, bank serta menempatkan beberapa buah pejabat Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Di situ juga terdapat sebuah Balai Polis yang tersergam indah.

Pengunjung dan ahli perniagaan yang datang dari
luar kini tidak perlu bimbang untuk bermalam di Bandar Baru Tanjung Manis
kerana terdapat sebuah hotel penginapan di situ.

Komponen Tanjung Manis juga menempatkan Pelabuhan Perikanan
Bersepadu di mana pendaratan ikan laut dalam dilakukan dari masa ke semasa di
bawah selenggaraan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Di sekitar kawasan pelabuhan tersebut juga terletaknya
bangunan pejabat pentadbiran LKIM yang turut dijadikan Pusat Latihan Perikanan Majlis Latihan
Pertanian Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai National Agriculture Training
Council (NATC).

Sebilangan besar pelatih yang mengikuti kursus
berasal dari Daerah dan Bahagian yang berhampiran seperti Sibu, Sarikei, Mukah
dan Bintulu.

Dengan adanya pusat latihan tersebut, ia telah
memberi peluang kepada golongan muda tempatan terutamanya lepasan SPM untuk melanjutkan
pelajaran dan latihan dalam bidang teknikal perikanan dan pengendalian kapal
selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Belawai sebagai peneraju
industri perikanan menjelang tahun 2015.

Memandangkan aktivitiaktiviti perindustrian di
Tanjung Manis kini sedang pesat membangun dan kian bertambah berikutan
pembangunan projekprojek SCORE di kawasan tersebut, tempo pembangunan dijangka
semakin rancak.

Biarpun masih terdapat beberapa cabaran tertentu, terutamanya
dari segi system komunikasi, dijangkakan ia akan diatasi apabila lebih banyak menara
komunikasi dibina untuk memperluaskan liputan di sekitar kawasan tersebut, untuk
kemudahan pengguna terutamanya pemaju industri yang terdiri daripada
pelabur-pelabur asing.

Selain daripada itu, pusatpusat komersil yang sedia
ada belum begitu memberi kemudahan secukupnya dan masih belum mampu memenuhi
kehendak peniaga dan pengguna tempatan dan orang luar.

Namun demikian, segala kekurangan ini akan dapat
diatasi apabila arus pembangunan semakin pesat demi memenuhi keperluan SCORE.

Kepesatan ekonomi yang dialami di Tanjung Manis
juga akan meningkatkan pertumbuhan projek perumahan yang diramal akan dimajukan
dalam masa beberapa tahun akan datang, berikutan pertambahan penduduk yang terdiri
daripada golongan yang bekerja di kawasan perindustrian SCORE.

Kini, setelah lebih 20 tahun dinaiktaraf sebagai
Daerah Kecil, Belawai terus membangun di bawah pentadbiran yang sentiasa
komited dalam menerajui pembangunan yang seimbang dan mapan.

Kerancakan pelaksanaan program dan projek
pembangunan yang memberi sumbangan positif secara keseluruhannya sentiasa dipastikan
demi kesejahteraan masyarakatnya.

Perubahan
Kegiatan Ekonomi

Suatu ketika dahulu, penternakan udang harimau pernah
popular di kalangan penduduk dan telah menjadi aktiviti utama di Daerah Kecil tersebut.
Namun, kini ia tidak lagi diusahakan dan sebaliknya industri sarang burung
walit telah mengambil tempat.

Industri tersebut telah mencecah pendapatan bulanan
sehingga puluhan ribu ringgit berdasarkan permintaan tinggi di peringkat global
sehingga membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk menceburi industry tersebut.
Di sesetengah kawasan, beberapa buah rumah sarang burung walit milik pengusahapengusaha
tempatan jelas kelihatan di tepi-tepi jalan.

Terkenal dengan aktiviti dan industri berasaskan
perikanan dan pertanian setelah sekian lama, sudah ramai di kalangan penduduknya
mengusahakan industri kecil dan sederhana mengeluarkan produk makanan hasil tangkapan
laut dan sungai dengan yang popular seperti sotong kering, sesar unjur, salai
pipus, keropok ikan dan keropok udang.

Terdapat juga sebahagian penduduk mengusahakan
kilang kecil memproses roti canai, mi kuning dan kuih kering tradisional di
samping penduduk yang mengusahakan ternakan lembu dan kolam ikan air tawar.

Kepesatan
Pembangunan Infrastruktur

Daerah Kecil Belawai telah mengalami perubahan
positif serta pembangunan dari segi infrastruktur dan infostruktur yang ketara
pada hari ini. Ini dapat disaksikan melalui perkhidmatan penerbangan
pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tanjung Manis menghubungkan Tanjung
Manis dengan Kuching, yang merupakan salah satu perubahan dan pembangunan
infrastruktur yang paling ketara di Daerah Kecil Belawai.

Menggunakan perkhidmatan pesawat MASwings jenis
DHC- 6 Twin Otter, pesawat yang dapat menampung 19 penumpang tersebut telah
melakukan penerbangan sulungnya ketika majlis perasmian Lapangan Terbang
Tanjung Manis pada tahun 2008.

Pembinaan lapangan terbang tersebut telah membuka lembaran
baru dalam system pengangkutan di Belawai malah merancakkan lagi pertumbuhan ekonominya
di mana ia memudahkan urusan pelaburan terutama bagi pelabur-pelabur dan
pengusaha industri yang keluar masuk di Tanjung Manis yang terangkum di dalam kawasan
SCORE.

Jaringan jalan raya yang menghubungkan Sibu ke Tanjung
Manis, Belawai, Rajang dan Jerijeh yang telah siap sepenuhnya pada tahun 2010 memberi
keselesaan kepada penduduk tempatan serta orang luar yang datang berkunjung.

Pasar Belawai yang menempatkan peniaga-peniaga sentiasa
sibuk terutamanya pada hujung minggu sehingga berlakunya kesesakan jalan keluar
masuk ke pasar tersebut.

Situasi ini menandakan arus pembangunan yang sedang
dialami oleh Daerah Kecil Belawai apabila Jambatan Semalau, laluan terakhir yang
menghubungkan Belawai dengan Bahagian Sibu telah siap dibina.

Dengan adanya jambatan tersebut, perjalanan dari
Sibu ke Belawai kini mengambil masa lebih kurang dua jam dan kesibukan pasar
Belawai disebabkan oleh ramai pengunjung dari Sibu dan Sarikei yang datang
menggunakan pengangkutan darat.

Penduduk dan orang luar kini boleh berulang alik
dengan lebih selesa berbanding dengan pengangkutan air yang bergantung kepada
paras air sungai dan alam semula jadi serta lebih terdedah kepada risiko
terutamanya ketika keadaan cuaca yang tidak menentu.

Urusan perniagaan juga semakin berkembang dan
bergerak pantas apabila hasil pertanian dan jualan boleh dihantar dari satu
tempat ke satu tempat yang lain melalui jalan raya. Tempoh penghantaran juga
menjadi singkat, melancarkan urusan jual beli.

Kemudahan
awam di Belawai

Di Belawai, terdapat sebuah sekolah menengah Sekolah
Menengah Kebangsaan Belawai, sebuah sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Abang Buyuk,
Jerijeh), dan sebuah tadika (Tadika KEMAS Kampung Jerijeh). Walaupun bilangannya amat minima, namun
ia tidak menghalang generasi mudanya untuk menikmati kemudahan pendidikan yang
ada, melalui bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan.

Penduduk Belawai juga telah lama menikmati
kemudahan bekalan air dan elektrik yang sedia ada dengan jumlah keseluruhan pengguna
seramai 8,259 orang.

Pada masa sekarang, Kerajaan sedang berusaha melakukan
peningkatan dan penambahbaikan bekalan air bersih dan elektrik di beberapa buah
kawasan terutamanya di kawasan pedalaman.

Dari segi komunikasi pula, pengguna-pengguna
telefon di Daerah Kecil Belawai merangkumi kawasan Belawai seramai 285 orang,
Rajang 124, Jerijeh dan Tanjung Manis masing-masing seramai 287 orang
menjadikan jumlah keseluruhan pengguna seramai 696 orang. Jumlah pengguna
telefon agak kecil dan liputan komunikasinya agak terhad kerana hanya terdapat
satu menara komunikasi di Daerah Kecil Belawai.

Potensi
Pelancongan Belawai

Keindahan Pantai Belawai bukan sahaja dinikmati dan
dikunjungi masyarakat setempat malahan pengunjung yang dating dari luar juga
meluangkan masa di situ, terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Malah terdapat penduduk tempatan yang
memanfaatkannya sebagai pusat perhentian pelancongan. Pantai Belawai pernah
dijadikan tapak carnival dan ‘Pesta Pantai Belawai’ yang diadakan setiap tahun.
Pelbagai acara menarik dijalankan seperti perlumbaan bot laju dan sukaneka yang
mampu mengundang kehadiran orang ramai.

Belawai yang terkenal dengan Songket Rajang yang mempunyai
identiti dan keunikan tersendiri dengan diusahakan oleh penduduk di Pusat
Tenunan Songket Kampung Rajang, sebuah pusat kegiatan industri di bawah ‘Program
Satu Daerah Satu Industri’ (SDSI).

Malahan kain songket yang dihasilkan sentiasa
mendapat tempahan termasuk daripada orang-orang kenamaan dari dalam dan luar
negeri.

Pusat ini juga sentiasa dikunjungi pelancong-pelancong
dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara yang ingin melihat sendiri
proses tenunan Songket Rajang serta keunikan tenunannya.

Seperti Mukah yang terkenal dengan Pesta Kaul
Mukah, Daerah Kecil Belawai juga memiliki pesta seumpama yang dipanggil Pesta
Kaul Belawai yang menarik ribuan pengunjung setiap tahun ia dianjurkan.

Senarai Agensi Kerajaan / GLC / Pusat Latihan yang
terdapat di Daerah Kecil Belawai:

• Jabatan Kerja Raya

• Jabatan Perikanan Laut

• Jabatan Penerangan

• Jabatan Pendaftaran Negara

• Jabatan Kesihatan

• Jabatan Imigresen

• Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia

• Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak

• Polis DiRaja Malaysia

• Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

• Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia

• Lembaga Pelabuhan Rajang Tanjung Manis

• Syarikat Pos Malaysia Berhad

• GIATMARA

• Pusat Latihan Perikanan Majlis Latihan Pertanian
Kebangsaan

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article