- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Memperkasakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Must read

melalui penerapan Anjakan Pendekatan

Pendidikan awal kanakkanak merupakan elemen penting dalam membentuk corak pembelajaran masa hadapan yang lebih baik dan seimbang.

Untuk menjamin pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti pelbagai langkah diambil oleh pihak Kerajaan. Salah satunya adalah melalui anjakan pendekatan atau lebih dikenali sebagai ‘The Way Forward’.

Kaedah pendekatan ini telah disampaikan oleh YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak yang juga merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak semasa Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri 6 Tahun 2011 yang berlangsung di Kuching baru-baru ini.

Penyediaan tawaran beberapa kursus professional yang “mesra guru” dan penyediaan peruntukkan dana pusat untuk membantu para pendidik dan pengasuh melanjutkan pengajian tanpa bebanan kewangan adalah antara intipati anjakan pendekatan tersebut.

Pelbagai ruang dan peluang latihan baru perlu diterokai untuk menambah tenaga pendidik dan pengasuh yang berkelayakan dan komited.

Selain itu, kaedah pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak haruslah disesuaikan dengan persekitaran Sarawak yang unik dan tersendiri dan antara usaha yang boleh difikirkan secara serius adalah membuka dan menambah bilangan pusat bimbingan dan asuhan kanak-kanak di rumahrumah persendirian, rumah panjang mahupun rumah ibadah.

Keunikan dari segi geografi dan kebudayaan di Sarawak ini memerlukan pelbagai strategi dan pendekatan yang berbeza di dalam menyentuh keperluan bagi pendidikan awal kanak-kanak di dalam negeri ini.

Menurut beliau, risiko kanak-kanak terlepas peluang pendidikan dan perkembangan sosio-ekonomi dapat dikurangkan dengan menyediakan asas pendidikan awal kanak-kanak yang kuat dan komprehensif yang menggabungkan pendidikan formal yang berasaskan permainan dan penjagaan bimbingan dan nasihat dari rumah.

Asas kesejahteraan kanakkanak adalah hubungan yang positif, suasana pengasuhan dan imej positif mereka sebagai individu yang berkebolehan di dalam dan di luar rumah mereka sendiri.

Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memastikan setiap kanakkanak berhak kepada  yang terbaik.

Tidak terhad di rumah sahaja, penglibatan di peringkat sekolah, kejiranan dan institusi sosial juga memainkan peranan penting di mana kanak-kanak dan ibu bapa dapat berinteraksi, sekaligus menyumbang dalam pembinaan modal insan dalam sesebuah komuniti.

Antara penekanan dan fokus dalam misi untuk memperbaiki kualiti dan membangunkan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak adalah membina hubungan positif di kalangan semua yang terlibat di dalam proses pembelajaran kanak-kanak ini termasuklah institusi profesional dan agensiagensi pengurusan.

Selain itu, gabungan kebudayaan dan persekitaran pendidikan yang mampu menyemai kekuatan jiwa dan kewibawaan guru.

Ia turut, mengenalpasti aset kekuatan kanak-kanak dan kepelbagaian kecerdasan yang dimiliki oleh mereka dan berusaha mengembangkannya sebaik-baiknya.

Penglibatan ibu bapa dan rakan sebaya pula turut digalakkan di dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan.

Usaha Kerajaan menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti seharusnya di sambut baik dan dihargai oleh semua pihak supaya setiap pendekatan ini dapat memberikan pendidikan yang berkualiti kepada pewaris negara masa hadapan ini.

Konvensyen kali keenam ini bertemakan ‘Pembangunan Kecerdasan Pelbagai dalam Kalangan Kanak- Kanak Asas Pembentukan Insan Berketrampilan’ dengan mempersembahkan empat pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Kecerdasan Pelbagai (MI) Dalam Pentaksiran (Ujian Psikmetrik)’ oleh Dr. Hanizah Hamzah daripada Lembaga Peperiksaan  Malaysia; ‘Kepelbagaian Kecerdasan (MI) Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak oleh Encik Tajul Effandy bin Hassan daripada Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia; ‘Kepelbagaian Kecerdasan (MI) Dan Pemilihan Kerjaya oleh Encik Edris Aden daripada Jabatan Kaunseling, UNIMAS; dan ‘Kepelbagaian Kecerdasan (MI) Dalam Pendidikan’ oleh Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article