Pemberian Baucer Buku 1Malaysia (BBIM) seperti yang diumumkan pada bajet 2013 dijangka akan memberi manfaat kepada 1.3 juta orang pelajar terutama pelajar di institusi pengajian awam, swasta dan politeknik.
Keseluruhannya melibatkan peruntukan sejumlah RM325 juta dengan inisiatif untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan juga memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan media daripada Kementerian Pengajian Tinggi, setiap pelajar akan menerima 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) yang berjumlah RM250 serta boleh dituntut di agensi/ institusi oleh pelajar sendiri. Waris atau wakil adalah tidak dibenarkan untuk membuat tuntutan bagi pihak pelajar yang layak.
Inisiatif tersebut, menurut kenyataan itu lagi adalah secara one-off bagi sesi 2013 sahaja serta sah diguna pakai selama 5 bulan sahaja iaitu mulai 1 Januari sehingga 31 Mei 2013.
Pelajar yang layak menerima bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) adalah terdiri daripada
• warganegara Malaysia;
• sedang melanjutkan pengajian dan berstatus aktif di pusat matrikulasi/tingkatan 6/ Politeknik/ Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta tempatan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2013;
• menuntut di institusi pengajian di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi atau institusi pengajian yang telah berdaftar di bawah akta-akta yang berkuatkuasa;
• sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau separa masa;
• sedang melanjutkan pengajian dalam matrikulasi/ tingkatan 6/ diploma/ diploma lanjutan/ sarjana muda/ sarjana/ doktor falsafah/ kursus profesional dengan kelayakan yang diiktiraf oleh Kerajaan atau badan-badan profesional di Malaysia;
• sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan; dan
• berada di Malaysia dalam tempoh pelaksanaan BB1M.
Kenyataan media itu turut menjelaskan bahawa penggunaan baucer tersebut adalah untuk pembelian buku-buku akademik, jurnal, dan majalah ilmiah berdasarkan keperluan agensi/ institusi masing-masing.
Jelas kenyataan itu lagi, pelajar boleh menggunakan baucar tersebut dengan mengemukakan kad pengenalan di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini. Baki baucar yang tidak habis digunakan adalah dianggap luput dan tidak boleh dituntut dengan tempoh sah laku baucar adalah selama 5 bulan sahaja.
Walaubagaimanapun, pelajar tertakluk kepada tatacara penggunaan baucer dan tindakan akan diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan dalam penggunaan baucer tersebut.
Untuk keterangan lanjut pelajar boleh melayari ke laman web, sila layari www.mohe.gov.my/bb1m atau www.facebook.com/moheofficial