Tujuh Teras Utama telah digariskan dalam Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan lagi prestasi pencapaian pendidikan ke tahap yang menjadi lebih baik.
Demikian diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak Kementerian Pelajaran Malaysia, di Pekan Kecil Paitan, Daerah Beluran, Sabah pada 18 April 2013.
Tujuh (7) teras utama tersebut ialah :
- Teras Pertama adalah meningkatkan kualiti kepimpinan dan kemahiragn mengurus di semua peringkat terutamanya di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan sekolah. Usaha ini telahpun dimulakan pada tahun ini melalui Anjakan Ke-8 PPPM iaitu mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian di semua peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Teras Kedua pula akan memberikan tumpuan kepada isu yang berkaitan kurikulum, penyusunan pengajaran, pendekatan pedagogi dan penilaian pengajaran. Langkah ini bertujuan untuk memastikan murid-murid pedalaman dapat mencapai prestasi akademik yang cemerlang setanding dengan murid di kawasan bandar.
- Teras Ketiga meningkatkan pembangunan infrastruktur fizikal, akses internet dan persekitaran pembelajaran maya. Sekolah dan asrama akan dilengkapi dengan kemudahan capaian internet sekurang-kurangnya 2Mbps serta kemudahan radio amatur bagi membolehkan murid dan guru memanfaatkan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
- Teras Keempat pula, kualiti murid dan prasekolah akan terus ditingkatkan dengan harapan semua murid mampu meningkatkan diri sendiri untuk belajar dan boleh berjaya. Oleh itu, pendekatan membangunkan sekolah K9 di Sabah dan Sarawak akan terus diperluaskan bagi menjamin kesinambungan pendidikan murid di peringkat rendah ke peringkat menengah dapat dilaksanakan.
- Teras Kelima akan memastikan kualiti dan kebajikan guru terjamin. Bersesuaian dengan konsep rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, keperluan dan kebajikan guru-guru yang mengajar di kawasan-kawasan pedalaman akan terus dibela. Rumah guru sedia ada akan dinaiktaraf atau ditambah mengikut keperluan dan ditentukan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bersama Kementerian, khusus di kawasan pedalaman 2 dan pedalaman 3. Ini adalah untuk memastikan guru-guru sebagai peneraju utama sistem pendidikan memperoleh kediaman yang selesa dan kondusif. Selain itu, usaha ini juga diharapkan dapat meningkatkan lagi motivasi dan kualiti hidup guru.
- Teras Keenam pula adalah untuk meningkatkan kemudahan asrama yang kondusif serta teraputik. Oleh itu, asrama sedia ada akan dinaiktaraf atau ditambah bilangannya mengikut keperluan bagi memastikan asrama tersebut berupaya menampung keperluan murid. Selain itu, rumah transit atau bilik tamu bagi ibubapa bermalam juga akan disediakan bagi memudahkan mereka berurusan dengan anak-anak. Sekolah-sekolah pedalaman yang akan menerima kemudahan ini akan ditentukan oleh JPN bersama Kementerian, supaya ianya dapat dioptimakan penggunaannya berasaskan keperluan sebenar murid di kawasan terlibat.
- Teras Ketujuh ekosistem pembelajaran akan dibentuk bagi membina jaringan yang harmonis dengan masyarakat setempat dan rakan sinergi, di mana usahasama antara masyarakat setempat dan sekolah di kawasan tersebut akan dipertingkatkan. Oleh itu, penglibatan, penyertaan dan dokongan semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan anak-anak berjaya dalam pendidikan mereka. Saya juga menyeru agar semua pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang aktif, manakala pemimpin setempat menjadi pendorong kepada kejayaan pelajaran anak-anak.