Seramai 12 qari dan 9 qariah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri 2014 di Dewan Suarah Bintulu yang telah bermula pada 13 dan berakhir pada 16 April.
Johan qari telah dimenangi oleh Encik Hadi Sharkawi dari Kuching. Beliau merupakan johan Majlis Tilawah Peringkat Negeri tahun lepas yang diadakan di Mukah. Naib johan disandang oleh peserta yang juga berasal dari Kuching, Haji Awang Ibrahim Awang Sabudin manakala tempat ketiga dimenangi oleh Encik Mohd Faizul Mohd Aziz dari Sarikei.
Untuk kategori qariah pula, johan dimenangi oleh Hajah Roziah Haji Ayup dari Mukah yang pernah menjadi johan selama tiga tahun berturut-turut pada 2010 hingga 2012. Naib johan jatuh kepada Hajah Salina Haji Ali juga dari Mukah dan qariah dari Betong, Hajah Fatimah Haji Adenan di tempat ketiga.
Peserta-peserta yang mengambil bahagian turut mendapat hadiah saguhati berupa wang tunai dan sijil penyertaan.
Kedua-dua johan qari dan qariah secara automatik akan mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Negeri Sembilan pada 13 hingga 17 Mei nanti.
Hadiah telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Turut hadir, isteri Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg serta isteri Datin Amar Hajah Jumaani, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri Datin Amar Hajah Fatimah Haji Iskandar, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Yang Di Pertua Majlis Islam Sarawak Datu Haji Putit Matzen, Residen Bintulu Haji Muhamad Yakub Kari, menteri-menteri muda, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat dan masyarakat setempat.