- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Hidup Bersatu Padu Tanpa Mengira Kaum

Must read

(GAMBAR) YAB Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem menerima cenderamata dari Penghulu Haji Abang  Zawawie mewakili kaum Melayu (tiga dari kiri), Temenggung Nunong Dandan mewakili kaum Iban (dua dari kiri) dan  Pemanca Kueh Tu Teck mewakili kaum Cina (kiri)

Tanpa mengira kaum, masyarakat di Sarawak perlu hidup bersatu padu di antara satu sama lain serta haruslah memiliki identiti sendiri melalui perpaduan yang wujud tanpa pertelagahan dan hidup dalam keadaan aman.

Berikut antara amanat yang disampaikan Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai 2014 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 14 Jun lalu.

Hadir sama ialah isteri beliau, Puan Sri Dato Hajah Jamilah Haji Anu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang serta isteri Dato Seri Empiang Jabu, Menteri Perusahaan dan Komoditi Malaysia YB Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Menteri Muda Kebajikan Sarawak Encik Robert Lawson Chuat, dif-dif kenamaan, ketua- ketua jabatan dan ketua-ketua-ketua Masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa unsur-unsur perkauman tidak akan wujud sama sekali di negeri ini kerana beliau tidak akan membiarkan perkara ini melanda penduduk.

Bercakap mengenai pembangunan, beliau akan memberi penekanan kepada pembangunan kawasan luar bandar kerana jurang perbezaan dari segi infrastruktur antara kawasan bandar dan luar bandar masih ketara.

Kemudahan yang terdapat di sekolah-sekolah luar bandar juga akan dipertingkatkan agar setaraf dengan sekolah-sekolah di bandar.

Beliau turut menyatakan untuk meneruskan program pendidikan teknikal melalui dasar-dasar yang telah dirancang oleh Mantan Ketua Menteri Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

YAB Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem juga menyeru supaya rakyat Sarawak terus hidup dalam perpaduan seperti yang dinikmati sekarang dan tidak membenarkan anasir-anasir luar memecah belahkan perpaduan masyarakat.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100 ribu kepada Masjid Jamek Betong, RM20 ribu untuk setiap surau iaitu Surau Setia Kampung Baru Betong, Surau Darul Takwa Kampung Baru Ulu Betong, Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Salam Kampung Fasa Baru Melayu Betong dan Surau Darul Takwa Kampung  Tengah Betong.

Manakala sumbangan sebanyak RM200 ribu disampaikan kepada gereja St. Augustine Betong untuk pembesaran gereja tersebut dan  RM200 ribu disumbangkan kepada Sekolah Chung Hua Betong.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article